Kaabah Dibina Sejak Zaman Nabi Adam


kaabah-3RUMAH ibadat yang dimaksudkan oleh ayat itu merupakan Kaabah. Iaitu perkataan Arab bermaksud tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran, selain turut bermakna segi empat berbentuk kiub.

Kaabah di Kota Mekah tidak sahaja disifatkan sebagai rumah ibadat pertama malah dikatakan binaan pertama dibina di muka bumi ini, iaitu sejak zaman Nabi Adam a.s lagi.

Mungkin sesuai dengan antara gelaran lain yang diberikan kepada Kaabah, iaitu Baitul Ateeq yang bermakna paling awal atau paling lama (Kaabah juga digelar Baitul Haram yang bermakna Rumah yang dihormati).

Dikatakan Allah telah memerintahkan Nabi Adam supaya mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit.

Itulah keistimewaan Kaabah yang kekal sehingga ke hari ini apabila mempunyai kedudukan yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di langit.

Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w menyebut Kota Mekah dipilih sebagai tempat binaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat.

Baitul Makmur merupakan tempat khas yang diciptakan Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy.

Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukan untuk menghabiskan satu tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari Kiamat.

Sebelum terciptanya Baitul Makmur, seluruh malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Allah Yang Maha Agung.

Dikatakan ketika Nabi Ibrahim dalam usia yang lewat, baginda diperintahkan oleh Allah untuk membina Kaabah dengan bantuan putera baginda Nabi Ismail.

Nabi Ibrahim dan anaknya itu diperintahkan oleh Allah supaya membina semula Kaabah yang sesetengah riwayat binaan itu dibina di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang runtuh akibat banjir besar dan taufan yang melanda di zaman Nabi Nuh as.

Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau menyekutukan sesuatu pun denganKu dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud.” (Surah al-Hajj: 26-27)

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim dikatakan menggunakan batu-batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Ketika membina Kaabah itu, Nabi Ibrahim berkata kepada Ismail: “Bawakan batu yang baik kepadaku untuk aku letakkan di satu sudut supaya ia menjadi tanda kepada manusia”.

Hajar Aswad

Kemudian Malaikat Jibril memberi ilham kepada Ismail supaya mencari batu hitam (Hajar Aswad) untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim.

Persoalan mengenai batu hitam atau Hajar Aswad ini benarkah batu ini dikatakan berasal dari syurga? Benarkah malaikat Jibrail mengambilnya dari syurga dan menyerahkan batu itu kepada Nabi Ismail?

Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga. Riwayat oleh Sa’id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka’b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia.

Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad ialah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini.

Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.

Tidak ditemukan maklumat yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat ataukah Nabi Adam a.s.

Sesetengah ada diceritakan bahawa batu tersebut berasal dari syurga yang sama-sama turun ke bumi bersama-sama dengan Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa.

Batu itu kemudiannya hilang ketika berlaku banjir besar zaman Nabi Nuh dan sehinggalah ditemui semula oleh Nabi Ismail dengan bantuan Malaikat Jibrail.

Walau apa pun mengenai latar belakang dan asal usul batu ini, setelah beroleh batu tersebut Nabi Ibrahim berdiri dan meletakkan batu itu di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah), yang tingginya sekitar 150 sentimeter dari permukaan tanah.

Setiap kali bangun, mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Ketika Nabi Ibrahim berdiri di satu sudut, bekas tapak kaki baginda itu yang kini dikenali sebagai Makam Ibrahim.

Sementara Hijir Ismail merupakan suatu kawasan lengkungan yang berbentuk separa bulatan yang terletak di Utara Kaabah.

Pada asalnya kawasan ini merupakan tempat berteduh bagi Nabi Ibrahim sepanjang sesi pembinaan Kaabah dan menunaikan ibadah haji di Baitullah.

Seterusnya ia menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail. Pada waktu itu juga, kawasan itu tidak menjadi sebahagian daripada binaan Kaabah.

Namun begitu, selepas pembinaan Kaabah oleh bangsa Arab Quraisy, ukuran panjangnya telah dikecilkan sebanyak 6 hasta 1 jengkal, sebahagian daripada Hijir Ismail telah dimasukkan sebagai kawasan Kaabah.

Justeru, bagi mereka yang tiada kesempatan untuk masuk ke dalam Kaabah, memadailah bagi dirinya berada di Hijir Ismail untuk beribadat.

Diingatkan bahawa seseorang itu adalah dilarang melakukan tawaf di Hijir Ismail kerana ia merupakan sebahagian daripada Kaabah.

Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat haji.

Kaabah dengan segala macam keistimewaan telah berdiri kukuh selama hampir 2,000 tahun hingga ke saat ini.

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim
Sumber: islam2u.com

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 2, 2009.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers

%d bloggers like this: