Komunikasi Berkesan Jamin Kejayaan Organisasi


“Islam tuntut pemimpin berhemah, bijak salur maklumat agar mudah kakitangan bertindak

KEPEMIMPINAN adalah cabang proses pendidikan manusia supaya sistem pentadbiran organisasi mahupun negara selari dengan petunjuk Allah. Salah satu prasyarat menjadikan organisasi itu berjaya ialah komunikasi yang berkesan antara pemimpin dan orang bawahan.

Setiap pentadbir atau pemimpin organisasi perlu memberi perhatian terhadap usaha mewujudkan sistem komunikasi berkesan. Kegagalan berkomunikasi boleh menimbulkan banyak masalah yang menjejaskan kecekapan dan kelicinan perjalanan organisasi.

Komunikasi adalah proses pertukaran maklumat demi mewujudkan suasana saling memahami dan hubungan manusia dengan baik. Proses komunikasi dianggap sistem yang membolehkan maklumat disampaikan secara berkesan antara ahli dalam organisasi.

Komunikasi kepemimpinan adalah gaya, kaedah dan strategi komunikasi yang digunakan pemimpin ketika menjalankan tugas formal dan tidak formal dalam organisasi. Tugas itu termasuk memberi arahan, taklimat dan penjelasan, pada masa sama mendapatkan maklum balas kakitangan.

Persoalan kepemimpinan dianggap sama penting dengan komunikasi dalam Islam. Islam mengakui perlunya pemimpin dalam setiap sistem sosial. Abu Dawud meriwayatkan daripada Abu Said dan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila ada tiga orang bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka untuk menjadi ketua atau amir.”

Pemimpin diperlukan untuk membolehkan sistem sosial berfungsi. Dengan kata lain, pemimpin mempunyai tanggungjawab mengawal, mengurus dan mentadbir individu dalam sistem sosial itu.

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap seseorang daripada kamu ialah pemimpin. Setiap kamu bertanggungjawab terhadap mereka di bawah pimpinan kamu.”

Pemimpin wajib ditaati, tetapi dalam Islam taat setia itu adalah bersyarat. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan ketika dilantik menjadi Khalifah Islam pertama berkata:

“Taatilah aku selama aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka tidak wajib bagi kamu mentaati aku.”

Pemimpin harus menjadi contoh kepada yang dipimpin. Teladan yang perlu ditunjukkan bukan saja dari segi kaedah dan strategi berkomunikasi, tetapi juga berkaitan akhlak serta amal ibadat.

Seseorang yang baik dalam komunikasi, tetapi kurang akhlak dan ibadat belum boleh dianggap pemimpin yang baik. Islam meragui kebolehan seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik jika akhlaknya buruk dan kurang amalan.

Seorang pemimpin menurut kaca mata Islam harus mematuhi syarat yang perlu dijadikan panduan:

  • Sentiasa bersifat mahmudah (terpuji) seperti berilmu, adil, berani, bermoral, pemurah, pemaaf, bertimbang rasa, menepati janji, benar, tegas bijaksana, waras berfikir, merendah diri (tawaduk).
  • Memelihara hubungan baik dengan Allah sesuai firman bermaksud:

“Dan ingatlah Aku tidak menjadikan jin dan manusia melakukan untuk mereka beribadat kepada Ku.”

(Surah az-Zariyat, ayat 56)

  • Memelihara hubungan baik dengan manusia. Firman Allah bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai.”

(Surah Ali Imran, ayat 103)

  • Memelihara hubungan baik dengan alam sekitar iaitu tumbuh-tumbuhan dan binatang sesuai hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Kasihanilah kepada setiap penghuni (makhluk) di bumi semoga kamu dikasihani mereka yang di langit.”

Islam menetapkan prinsip komunikasi yang wajar diikuti pemimpin antaranya bercakap lemah lembut, menggunakan perkataan baik, menggunakan hikmah dan nasihat baik dan bercakap benar.

Pemimpin juga perlu berbahas dengan lebih baik, menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tingkat kecerdasan pendengar, menyebut perkara penting berulang kali, mengotakan apa yang dikata dan mengambil kira pandangan serta fikiran orang lain.

Fungsi komunikasi adalah menyalurkan keperluan mencapai sesuatu matlamat organisasi. Setiap pemimpin bertanggungjawab menentukan komunikasi dengan anggota bawahan sentiasa terkawal dan tidak menyimpang kepada suasana yang menyulitkan keadaan. Tujuannya semata-mata untuk menjamin keharmonian bersama, baik untuk diri keluarga, organisasi dan negara.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 12, 2009.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: