BEKERJA MENGIKUT KAEDAH ISLAM



“SEKIRANYA … Pekerja Curi Masa Ketika Di Pejabat, Buat Kerja Peribadi Akan Diperhitung oleh Allah S.W.T.”

Tarikh 1 Mei setiap tahun telah diistiharkan sebagai cuti am bagi sambutan “Hari Pekerja” di seluruh pelusuk dunia. Sambutan tahunan ini diadakan diseruh dunia adalah untuk menghargai jasa pekerja-pekerja negara masing-masing. Di sini ternyatalah bahawa dunia menghargai bertapa pentingnya pekerja atau buruh. Pekerja atau buruh ialah seseorang yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk. Sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita adalah pekerja. Kita harus faham bahawa sesuatu pekerjaan yang di utuskan kepada kita adalah sesuatu kegiatan untuk mendapat rezeki yang halal dalam bidang kehidupan yang utama dalam islam dan ianya adalah satu ibadat jika memenuhi syarat-syaratnya.

ep-1

Sebagai pekerja, terutama pekerja yang beragama islam haruslah menjalankan kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.

ep-4

Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.

ep-5

Rasulullah S.A.W. pernah ditanya:

“Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.”

(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.

ep-6

Jika semuanya pekerjaan itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera. Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.

ep-7

Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?. Kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia umumnya, dan kakitangan awam dan swasta khususnya memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya. Selari dengan ajaran Islam, Allah S.W.T. telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.

Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah S.W.T. kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah , ayat 286)

Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini. Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T..

Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya.

ep-8

Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya.”

(Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.

ep-9

Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.

ep-10

Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 1, 2009.

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers

%d bloggers like this: