IMPIAN, HARAPAN DAN REALITI PERJUANGAN WANITA


Bagi sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa, keturunan dan kebudayaan, kita memerlukan perpaduan yang kukuh. Sebenarnya jika dilihat secara positif pelbagaian bangsa, keturunan, kebudayaan dan agama yang terdapat di negara kita merupakan satu potensi yang tidak ternilai. Jika digunakan dengan bijak dan terkawal potensi perbezaan yang wujud di negara kita, akan mengukuhkan lagi kemampuan dan ketahanan negara kita. Kita tidak boleh menafikan bahawa kejayaan yang dicapai oleh negara kita setakat ini ialah, antara lainnya, kerana wujudnya asas-asas perpaduan.

Bagaimanapun, perpaduan yang lebih kukuh adalah perlu bagi menentukan masa depan negara yang lebih cerah dan terjamin. Masa depan negara – buruk baiknya – terletak di tangan rakyat sendiri. Oleh hal yang demikian itu, negara memerlukan penglibatan dan kerjasama positif dan bertanggungjawab daripada semua pihak, termasuk kaum wanita, di dalam semua usaha dan kegiatan pembangunan negara.

Setiap orang, sama ada sebagai individu atau dalam konteks pertubuhan, mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk memupuk perpaduan dan meningkatkan pembangunan negara. Pembangunan adalah perubahan ke arah pembaikan rohani dan jasmani yang menyeluruh di mana peranan utamanya dipegang oleh manusia. Proses pembangunan akan menjadi lebih sempurna lagi dengan bertambahnya penglibatan kaum wanita dalam projek-projek pembangunan kerana kaum wanita adalah merupakan sebahagian insan yang penting daripada masyarakat dan rakyat.

Perpaduan dan pembangunan wanita adalah aspek yang amat penting dalam pembangunan. Peranan wanita, terutamanya di dalam negara yang sedang pesat membangun, adalah besar. Peranan wanita bukan hanya setakat menjadi suri rumah tangga, mendidik anak-anak, atau menjaga makan dan pakaian suami tetapi juga dari segi sumbangan mental dan fizikal di dalam perkembangan ekonomi, pelajaran, dan lain-lain. Kaum wanita perlu berusaha memajukan diri mereka kerana kemajuan kaum wanita itu sendiri adalah sebahagian daripada pembangunan negara.

Untuk meningkatkan lagi kemajuan, kaum wanita hendaklah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya. Kaum wanita hendaklah saling bantu-membantu dan jangan cuba jatuh-menjatuhkan sesama sendiri. Perbuatan hasut-menghasut, dengki-mendengki dan sikap mementingkan diri sendiri tidak harus mendapat tempat demi kepentingan dan kemajuan kaum wanita.

Jika kita teliti, kemajuan yang dicapai oleh kaum wanita hari ini adalah merupakan hasil daripada perjuangan kaum wanita sendiri. Pencapaian wanita adalah hasil perjuangan wanita dan kemajuan seterusnya adalah di tangan wanita sendiri. Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin wanita bukan sahaja mesti memupuk kesedaran ke arah penyatuan tenaga di kalangan wanita, tetapi juga berusaha memupuk untuk mewujudkan barisan kepimpinan wanita yang jaguh dengan perjuangan yang tulen. Pemimpin-pemimpin wanita harus menjadi agen perubahan kepada masyarakat kaum wanita keseluruhannya bagi melahirkan individu wanita yang gigih, kreatif, berdisiplin, ingin maju, berdaya saing dan memiliki keperibadian serta nilai moral yang tinggi. Sifat-sifat ini adalah asas masyarakat yang dinamis.

Pencapaian wanita boleh dipertingkatkan lagi sekiranya tanggapan dan matlamat perjuangan kita itu jelas. Jika tidak, perjuangan ke arah perpaduan dan pembangunan wanita mungkin akan terjejas. Landasan perjuangan kita mestilah jelas dan menunjukkan penekanan kepada aspek-aspek tertentu, misalnya, pekerjaan, pelajaran dan lain-lain. Oleh sebab pemerintahan negara pada lazimnya adalah di tangan lelaki dan mereka Mungkin tidak begitu mendalam tentang tanggapan dan matlamat perjuangan wanita, usaha yang lebih mestilah dibuat oleh kaum wanita untuk meningkatkan pemahaman kaum lelaki mengenai peranan dan perjuangan kita ke arah pencapaian matlamat negara.

Peranan wanita adalah jelas sekali jika ditinjau dari sudut dan pandangan Islam. Islam menentukan peranan dan kedudukan kaum wanita di dalam masyarakat. Kita bersyukur bahawa kegiatan dan penglibatan kaum wanita di negara ini adalah bersesuaian dengan suasana serta taraf pembangunan yang terdapat di negara kita ini. Keperibadian dan nilai hidup wanita sebagaimana wujud di negara kita, tanpa sikap kebarat-baratan yang melulu dan terpedaya oleh budaya bebas atau “liberal”, adalah sesuai dengan aspirasi dan kehendak negara.

Memperjuangkan agama, bangsa, dan negara bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan. Perjuangan menuntut bukan setakat masa, tetapi jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan kedudukan. Firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya).”

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan sekalipun.

Insan-insan daripada jenis inilah yang perlu ada di kalangan pejuang-pejuang agama, bangsa, dan negara kini, termasuk wanita. Peranan wanita amat penting dan besar sekali dalam perjuangan kerana mereka merupakan pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu generasi pembela agama, bagaimana yang amat diperlukan.

Dalam suasana yang kadangkala membimbangkan kita dengan segala macam karenah manusia dan peristiwa tidak terduga, apa salahnya kita surut ke belakang barang sejenak, membuka semula lembaran sejarah perjuangan para ibu kita yang sama-sama berganding bahu seiring kaum bapa, yang mengimpikan kukuh berdirinya suatu bangsa, tegak berdaulatnya suatu  negara, dan murni terpeliharanya suatu agama di bumi tercinta ini.

Perjuangan wanita atau kaum ibu dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan secara besar-besaran. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air.

Dalam Mesyuarat Agung UMNO pada tahun itu, tiga tokoh wanita UMNO, iaitu Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu. Ekoran pertemuan itu Jabatan Kaum Ibu telah ditubuhkan pada 1947 dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi Pejabat Setiausaha.

Pada 25 Ogos 1949, bertempat di Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU) dengan Putih Mariah sebagai ketuanya. Inilah pertubuhan politik wanita pertama wujud di Tanah Melayu. Setahun kemudian kepimpinan APU diterajui oleh Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya, APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya. semangat memperjuangkan dan mempertahankan Islam dalam diri mereka. Beliau telah menjelajah ke seluruh pelOsOk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.

Tetapi antara September 1953 hingga Oktober 1954, kepimpinan APU menghadapi masalah apabila Ibu Zain terpaksa mengundurkan diri atas sebab-sebab kesihatan. Masalah timbul apabila Ibu Zain mencadangkan supaya Raja Perempuan Perlis Tengku Budriah mengambil alih sebagai ketua, tetapi beliau hanya bersetuju mengambil alih selama tiga bulan sahaja.

Oleh sebab itu, Jawatankuasa Kerja Agung UMNO telah mengambil keputusan melantik Khadijah Sidek menjadi Setiausaha Hal-Ehwal Kaum Ibu UMNO dan Pegawai Penerangan Perempuan. Kemudiannya, Khadijah dilantik mengetuai Pergerakan itu sehingga 1956 apabila beliau diberhentikan dan diganti oleh Fatimah Hashim sebagai pemangku jawatan itu atas persetujuan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam Perhimpunan Ahung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui Pergerakan itu hingga 1972. Bagi menguji sokongan rakyat pada UMNO, Kerajaan Brtish mencadangkan pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan Pertama diadakan pada 1955. Dalam pilihan raya itu Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi.

Kemerdekaan Tanah Melayu membuka lebih banyak peluang kepada wanita. Dari pilihan raya 1959 di mana Ibu Zain dan Fatimah Hashim bertanding kerusi Parlimen dan menang, hinggalah sekarang, bilangan tokoh wanita bertanding dalam pilihan raya bertambah.

Tragedi 13 Mei 1969 telah turut mempengaruhi corak politik tanah air. Pada Ogos 1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangan UMNO. Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.

Sengaja saya mencerakinkan kembali sejarah perjuangan para ibu di tanah air tercinta ini secara sepintas lalu untuk sama-sama kita menginsafi betapa besarnya jasa serikandi watan. Mereka telah merintis jalan yang penuh onak duri, dan kita adalah tugas dan tanggungjawab kita untuk melangsungkan perjuangan mereka dalam era dan suasana persekitaran yang jauh berbeza. Bagaimanapun, perbezaan-perbezaan itu hanyalah ibarat cerita yang berlainan, namun pada hakikatnya tetap dipancarkan pada layar dan panggung yang serupa. Layar dan panggung itu adalah hasil daripada apa yang kita lakukan sertakan usahakan untuk agama, bangsa, dan negara.

Dalam suasana masa kini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang besar, yang menuntut kerjasama semua pihak, terutama di kalangan wanita bagi menanganinya. Contohnya, kemunculan gerakan Islam liberal yang diterajui kononnya para bijak pandai di kalangan wanita Islam sendiri. Bukan kita menolak seratus peratus idea dan penemuan yang dicetuskan oleh golongan ini, namun secara dasarnya terdapat beberapa perkara yang bercanggah dengan tuntutan agama dan aturan budaya bangsa, lebih-lebih lagi yang menyangkut hal-hal atau kemaslahatan kaum wanita.

Oleh hal yang demikian itu, perjuangan wanita tidak hanya berkisar kepada perjuangan politik, malahan merentasi bidang-bidang yang lebih luas mencakupi permasalahan agama dan bangsa. Ini kerana agama dan bangsa adalah teras kekuatan kita semenjak zaman berzaman. Asas yang kukuh itu tidak harus diabaikan. Malahan kekuatan itu perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Kita juga tidak harus menyisihkan diri daripada berhadapan isu-isu yang besar dan menyerahkannya kepada pucuk kepimpinan tertinggi. Kita juga harus berperanan mengetengahkan dan kemudian mencari jalan penyelesaian secara permuafakatan untuk membantu mencari jalan keluar atau penyelesaian terhadap sesuatu isu.

Orang tua-tua dahulu pernah berkata: “Tegaknya panji-panji kebesaran kerana tiang-tiangnya daripada kayu yang terpilih.” Maknanya, kita adalah sebahagian daripada wanita terpilih untuk turut mempunyai peranan penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara, Di atas kesedaran itu, insya-Allah perjuangan wanita dalam memperkasakan agama, bangsa, dan negara akan sentiasa relevan sepanjang zaman.

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 20, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: