HARI BUMI: HARI KITA MENSYUKURI NIKMAT ALLAH SWT


Tanggal 22 April 2010, sekali lagi kita menyambut Hari Bumi. `Istimewanya’ Hari Bumi tahun ini kita sambut dalam keadaan benua Eropah dikabusi debu Gunung Berapi Eyjafjallajokul yang meletus baru-baru ini. Selain itu, China pula menyambut Hari Bumi dengan berkabung ekoran lebih 2,800orang terbunuh dalam gempa bumi di wilayah Yushu yang bersempadan dengan Tibet.  Haiti, Mexico dan Indonesia juga terpaksa meraikan Hari Bumi ini dalam kesedihan. Bencana gema bumi yang dahsyat telah membunuh ramai rakyat mereka.

Apa sudah jadi dengan bumi hingga kita perlu mengingatinya?

Tahun ini, Hari Bumi disambut buat kali ke-40 selepas dimulai buat kali pertama pada tarikh yang sama pada 1970 oleh Senator Gaylord Nelson di Amerika Syarikat. Motifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan di kalangan masyarakat seluruh dunia agar menjaga alam sekitar. Tujuannya, supaya bumi ini sentiasa menjadi tempat yang indah, bersih, segar, harmoni dan selamat untuk diduduki.

Kini 141 buah negara di seluruh dunia menyambutnya, dengan menjalankan pelbagai aktiviti. Mulai tarikh 22 April hingga Mei juga, pelbagai program dilangsungkan agar seluruh manusia yang menghuni bumi ini bersama-sama menjaga planet ini. Begitu jugalah di Malaysia.

Benar, bumi ini kian rosak. Udara dicemari. Air dikotori. Pokok-pokok ditebang. Hutan digondolkan, Bukit diratakan. Haiwan dibunuh. Asap kotor dilepaskan ke udara. Hingga akhirnya, lapisan ozon menjadi semakin nipis, dan bumi menjadi rumah kepada pelbagai penyakit.

Tetapi, cukupkah kalau sekadar meningkatkan kesedaran kepada alam sekitar sahaja? Tidak. Di pihak Barat, mereka hanya melihat fizikal dan emosi. Tetapi di dalam Islam, sesuatu itu bukan sekadar mempunyai nilai fizikal dan emosi, tetapi juga spiritual.

Sebenarnya, selain meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar, manusia juga perlu diberikan kesedaran tentang keajaiban bumi itu sendiri, yang dikurniakan Allah dengan segala keunikan, untuk kita duduki.

Seluruh penduduk planet bumi ini perlu diberitahu, bumi adalah ciptaan Allah yang sangat istimewa. Bumi yang merupakan planet kelima terbesar dari sembilan planet yang ada dalam tatasuria ini penuh dengan tanda-tanda kewujudan dan kebesaran Allah. Bentuknya bulat, dengan ukur lilit 12,743 kilometer serta luas permukaan 510 kilometer persegi. Sejumlah 29 peratus daripada permukaan bumi adalah daratan. Dan…

“Seandainya bumi ini lebih kecil daripada bentuknya sekarang, maka ia akan kekurangan, bahkan kehilangan atmosferanya kerana tarikan graviti yang lemah akan gagal mencegah gas daripada lepas ke ruang angkasa. Tetapi kalau saiz bumi ini lebih besar dari bentuknya yang ada sekarang, maka tarikan gravitinya akan mengumpul begitu banyak atmosfera, termasuk gas-gas yang merbahaya,” demikian pendapat pakar geologi terkenal Amerika Syarikat, Fraknk Press dan Raymond Siever.

Begitulah hebatnya bumi yang Allah ciptakan. Selain itu…

“Perut bumi pula sangat besar, namun ia merupakan mesin penghasil haba yang diseimbangkan dengan begitu rumit melalui bahan bakar radio aktifnya. Andainya ia bekerja lebih lambat, aktiviti geologi akan berjalan lebih lambat. Besi mungkin tidak akan mencair dan terbenam, dan medan magnet tidak akan terbentuk. Andainya lebih banyak bahan radio aktif, dan mesin ini bekerja lebih cepat, gas serta debu gunung berapi tentu telah menghalangi cahaya matahari, sehingga atmosfera menjadi pekat dan permukaan bumi digoncang oleh gempa serta letusan api setiap hari,” tambah kedua-dua ahli geologi itu lagi.

Allah juga telah melengkapkan bumi dengan tarikan graviti yang membolehkan kita dan seluruh makhluk dapat mendiaminya. Lihatlah, bumi melengkapkan putaran pada paksinya setiap 24 jam, atau sekitar 16,000 kilometer sejam. Jika kita merasakan jet pejuang itu pantas, tetapi kepantasan itu tidak akan sama dengan kecepatan bumi berputar.

Tetapi adakah kita rasakan putaran itu? Adakah kita terasa pening, atau tercampak dari permukaan bumi akibat kelajuan tadi? Tidak sama sekali kerana Allah telah menciptakan tarikan graviti, yang menyebabkan kita sentiasa berada di atas hamparan bumi.

Dalam masa yang sama, bumi mengelilingi matahari dengan kepantasan 104,000 kilometer sejam. Di samping itu, bumi bersama matahari dan planet-planet dalam tatasuria ini berputar dalam galaksi Bima Sakti dengan kepantasan 700 kilometer sesaat. Putarannya untuk dapat melengkapkan satu pusingan pusat Bima Sakti ini pula adalah selama 200 juta tahun cahaya. Juga, ketika bumi dan segala isi Bima Sakti ini berputar pada paksinya, galaksi ini turut beredar dengan kepantasan 32,000 kilometer sejam, bergerak menuju ke suatu tempat, entah ke mana. Sekali lagi, tidakkah kita melihat keagungan Allah, pada bumi dan segala isi cakerawala ini?

Kecepatan putaran bumi berputar pada paksinya itu menghasilkan pergantian siang dan malam seperti yang ada sekarang, iaitu 12 jam siang, 12 jam malam. Ianya satu keseimbangan yang sangat menakjubkan, cukup untuk makhluk di bumi ini berjaga dan bekerja, juga masa yang sama untuk ia berehat dan melelapkan mata.
Bayangkan, jika kita berada di planet Merkuri, yang paling hampir dengan matahari. Siangnya lebih daripada setahun, mengakibatkan perbezaan suhu antara siang dan malamnya mencapai 1,000 darjah Celsius. Bolehkah kita hidup dalam keadaan demikian? Itu belum keadaan melampau di Planet Pluto, yang paling jauh dari matahari. Mampukah kita hidup dalam keadaan cuaca yang ekstrem sejuknya, dipenuhi ais, gas metana, karbon dioksida dan nitrogen, manakala setahunnya adalah sama dengan 248 tahun di bumi?

Bumi ini juga Allah kurniakan dengan air. Hinggakan 70 peratus dari permukaan bumi ini adalah air. Air adalah cantuman hidrogen dan oksigen pada kadar tertentu. Setitis air terdiri daripada jutaan atom yang berbeza-beza jenisnya. Molekul pada zat air saling berpegangan, tetapi tidak terlalu erat hingga ia menjadi mudah terlerai. Allah menjadikannya sedemikian rupa hingga kita tidak perlu mengunyah air.

Allah ciptakan air ini bukan sekadar untuk penghilang dahaga, membasahkan tubuh atau mencuci pakaian, malah air adalah punca segala hidupan, seperti firman-Nya,

“Kami jadikan dari air segala sesuatu hidup.”

(Al-Anbiya: 21)

Benarlah, baik pokok, manusia mahu pun haiwan, segalanya takkan hidup tanpa air. Malah manusia juga adalah hidupan yang berasal dari setitis air, sebelum berubah menjadi seketul darah, daging dan menjadi jasad.

Di bumi juga Allah kurniakan kita dengan tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan ini mengeluarkan oksigen yang dihirup oleh manusia dan haiwan. Manakala manusia dan haiwan pula menghembuskan karbon dioksida agar tumbuhan dapat hidup dan berbuah. Begitulah harmoninya kehidupan yang Allah aturkan di bumi ini. Semuanya saling bekerjasama dan memerlukan.

Di bumi juga Allah ciptakan haiwan untuk menjadi makanan dan sahabat manusia, serta pelengkap kepada sebuah ekosistem semula jadi yang sangat unik. Dari haiwan kita dapat belajar untuk meneruskan kesinambungan hidup. Dari lalat kita belajar supaya menjadi berani, dari gagak kita belajar supaya mempunyai hati yang putih walaupun dipandang hina.

Dari virus yang membawa penyakit Allah mengajar kita supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mencari ilmu, manakala gunung-ganang itu Allah ciptakan agar manusia dapat memerhati bumi ini dari tempat yang tinggi untuk melihat keagungan-Nya.

Dari awan Allah turunkan hujan (air) manakala dari angin yang diciptakan, manusia berasa nyaman. Dari kawanan haiwan Allah mengajar kita supaya bersatu dan bekerjasama, manakala hidupan-hidupan laut pula dapat kita jadikan makanan dan ubatan.

Semua hidupan di bumi ini saling memerlukan. Ia hidup dalam satu ekosistem yang teratur dan harmoni. Hinggakan, tindakan sesuatu makhluk memakan atau memusnahkan makhluk yang lain juga sebenarnya Allah jadikan supaya keberadaan makhluk-makhluk itu sentiasa seimbang, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

Lebih penting lagi, di bumi ini Allah bekalkan kita dengan udara. Tanpa udara, yang di dalamnya terkandung oksigen dan karbon dioksida, akan matilah semua hidupan di muka bumi ini. Udara serta angin inilah yang membawa hujan ke sana ke mari, lalu bercantum dan menurunkan air (hujan) untuk menghidupkan segala hidupan tadi.

Pandang ke langit,kita melihat matahari. Malam, kita melihat bulan. Kedua-duanya menjadi teman kepada bumi. Planet bumi, matahari dan bulan ini dijadikan pada kedudukan yang tepat. Semuanya bergerak pada orbit yang tidak pernah berganjak. Seandainya bumi menjauh sedikit demi sedikit dari matahari, maka akan bekulah laut. Jika menghampiri matahari, maka akan terbakarlah ia.

Ringkasnya, bumi ini Allah lengkapkan dengan segala-galanya. Begitulah hebatnya bumi ini. Lalu, mengapa kita cemari dan rosakkannya (dengan kekotoran, perang, hasad dengki dan kerosakan) sedangkan inilah satu-satunya bumi yang kita ada, dan Allah telah menciptanya dengan penuh keajaiban, keseimbangan serta kesempurnaan?

Juga…

Tidakkah kita sedar bahawa bencana alam seperti letusan gunung berapi di Iceland misalnya, gempa bumi di Haiti dan China contohnya, tidak lain tidak bukan adalah sebagai peringatan supaya kita sentiasa mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang dihamparkannya di bumi ini?

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, bahtera-bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu air itu Dia hidupkan (suburkan) bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; (Pada semua itu) sungguh terdapat ayat-ayat bagi kaum yang berakal.”

(al-Baqarah: 16)

“Darinnya (bumi, tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan darinya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.”

(Thaha: 20)

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: