PERANAN IMAN DAN TAKWA DALAM KEHIDUPAN


Manusia adalah makhluk dwidimensi yang merangkumi kedua-dua unsur fizikal dan spiritual yang saling lengkap-melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain.  Akan tetapi unsur kerohanianlah yang merupakan aspek unik dan utama yang melonjakkan martabat manusia kepada sebaik-baik kejadian.

Akal dan pemikiran manusia adalah cirri utama yang membezakannya daripada seluruh kejadian yang lain.  Ianya merupakan satu manifestasi tanggungjawab dan kepintaran untuk mengurus dan mentadbir kejadian disekelilingnya mengikut acuan dan kemahuannya.  Disamping ia memiliki daya untuk berfikir dan menganalisis untuk mendapatkan apa yang difikirkan terbaik dan boleh mendatangkan manfaat kepada diri dan masyarakatnya.

Walau bagaimanapun, kemampuan akal amat terhad ia hanya berkisar di atas platform fizikal yang nyata.  Di sinilah letak peranan tubuh dan fizikal badan sebagai instrument untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi yang dicetuskan oleh akal dan pemikiran.  Kuasa akal amatlah terbatas dan tidak dapat mencapai hakikat dan kebenaran yang mutlak, kerana instrument yang digunakan hanyalah pancaindera dan deria yang hanya dapat mengesan perkara-perkara yang zahir dan bersifat fizikal sahaja disamping ia mudah dipengaruhi oleh persekitarannya.  Manakala, perkara-perkara yang ghaib dan di luar darinya tidak dapat ditafsirkan atau dimutlakkan kewujudannya oleh akal manusia.

Di sinilah letak peranan iman dan takwa sangat diperlukan selaku wahana untuk mendapatkan bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran melalui hidayah dan taufik Ilahi.  Mengikut panduan agama, peranan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dapat difahami dan dihayati dalam dua dimensi yang penting, iaitu:

Pertama; iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia bagi tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang selesa dan menyenangkan untuk berbakti dan mencari keredhaan Ilahi.  Disamping itu, iman dan takwa juga dapat memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi dan jati diri manusia yang unggul. Kekuatan ini bersesuaian dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan dan kepercayaan terhadap Pencipta dan kuasa agung yang telah menjadikan alam ini dan membawa manusia ke alam kehidupan ini.

Kedua; sebagai pemelihara dan penapis iman dan takwa memberi kekebalan atau kelalian kepada umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang perlaksanaan tugas khalifah di muka bumi.  Kerana kehidupan yang penuh dengan cabaran seperti hari ini, perlu dihadapi dengan persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang memadai.  Iman dan takwa juga memberi kekuatan dalaman kepada manusia untuk terus berjuang dalam kehidupan ini tanpa mudah pasrah dan bergantung kepada kemampuan orang lain.  Justeru, dorongan untuk bersaing dan berlumba dalam meraih kemajuan adalah termasuk sebahagian daripada iman yang tersemai dalam diri.

Dengan menghayati dua dimensi yang terkandung dalam prinsip keimanan dan ketakwaan ini, jelas memberi kebebasan kepada umat manusia untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa kepada kemajuan yang berasas kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga masyarakat yang dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t yang dikenali dalam Islam sebagai konsep negara yang maju, makmur dan mendapat keampunan Ilahi.

Ada empat perkara penting yang dihasilkan oleh prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t jika dihayati secara benar, iaitu:.

Pertama; menjadikan manusia bebas tidak dikongkong oleh kuasa lain selain daripada Allah Yang Maha Esa.  Akal fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan dan khurafat.  Hatinya merasa lapang tidak terikat dengan rasa rendah diri dan hina-dina.  Termasuk emosinya akan terkawal kerana ia merasa berserah diri kepada Yang Maha Kuasa setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada padanya.

Kedua; membentuk sahsiah seimbang yang tercermin dari tingkah laku dan cara berfikirnya.  Hasrat kehidupannya menuntut keredhaan Allah s.w.t terserlah ke arah kebaikan dunia dan akhirat.  Manhaj kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati kepada sesama manusia dan alam sekitarnya.

Ketiga; melahirkan rasa ketenangan dalam hidupnya.  Menutup pintu rasa takut dan khuatir, samada pada diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian.  Kerana ianya telah bergantung sepenuhnya kepada rahmat dan hidayah Tuhannya.  Aktiviti hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan akan redha Tuhannya, kerana semua amal kerja yang dilakukannya telah diniatkan sebagai sebahagian daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.

Keempat; membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang dibina di atas usaha dan yakin kepada Allah s.w.t.  Dengan demikian ia menikmati kehidupannya dengan penuh kepuasan kepada Tuhannya.  Rasa optimis dengan bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan semangat untuk beramal, beribadah sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia ini.

Daripada huraian ringkas di atas, ia menunjukkan bahawa penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi makna hidup yang sebenar kepada setiap manusia yang memilikinya dan seterusnya membangunkan umat yang bermoral dan berakhlak mulia, membangunkan tamadun yang kukuh dan bernilai.

Penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan memberi kekuatan kerohanian dan moral kepada masyarakat.  Ia boleh menjadi penunjuk dalam merealisasikan risalah hidup mereka di dunia ini, untuk mengambil bahagian dalam membangunkan tamadun dunia mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing.

Allah s.w.t menjanjikan bahawa menghayati nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi kemudahan mendapat rahmat yang berlipat ganda dan memperolehi petunjuk dalam kehidupan dunia serta akan menerima ganjaran kelak di kemudian hari.

Firman Allah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah s.w.t dan berimanlah kepada RasulNya, pasti (Allah) memberikan dua kali ganda daripada rahmatNYA dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu pakai berjalan (hidup di atas bumi) dan Dia akan mengampuni kamu.  Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(al-Hadid:28).

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 12, 2010.

5 Respons to “PERANAN IMAN DAN TAKWA DALAM KEHIDUPAN”

  1. TQ..MOHON SHARE (NBI KEDAH)

  2. terima kasih dapat maklumat ni…………

  3. Sangat mengena di hati, cocok untuk presentasi Pondok Romadhon, dapat menambah keimanan dan ketakwaan saya

  4. syukur alhmdulllah Ya Allah…

  5. makasih atas penerarangannya

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers

%d bloggers like this: