AMALAN SIHIR DIZAMAN MODEN – PAKSI KEJAHATAN SYAITAN


Zaman serba moden dan serba-serbi cangggih ini, jangan terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut saja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu dan seumpamanya, ia antara cabang sihir tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat.

Sesungguhnya perbuatan sihir itu tidak lain dan tidak bukan berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan kebaikan untuk orang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi mangsa.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Kisah sahabat yang menjadi mangsa sihir untuk tempoh jangka masa agak lama menimbulkan kekesalan kerana banyak kesan buruk terpaksa ditanggung seperti diganggu jelmaan lembaga hitam serta mengalami mimpi ngeri.

Walaupun sahabat tersebut dan keluarganya berusaha sedaya upaya berubat menggunakan amalan perubatan moden, tradisional serta perubatan Islam, penyakit dialami tidak berkurangan bahkan semakin teruk.

Kesengsaraan dilalui mangsa sihir mengundang persoalan, jika benarlah ada pihak melakukan kesilapan kepada kita sama ada secara sengaja atau tidak, apakah tidak ada cara lain untuk menyelesaikan permasalahan itu selain daripada sihir.

Bagaimana agaknya kepuasan yang dirasa pihak yang mengamalkan sihir itu apabila melihat mangsa terseksa secara fizikal, emosional, mental dan ada yang menemui ajal disebabkan sihir itu.

Alangkah baiknya jika perselisihan atau rasa tidak puas hati diselesaikan secara baik supaya dapat saling memaafkan serta berdamai.

Firman Allah s.w.t bermaksud: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Anfal: 61)

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir, rapuh nilai keimanannya. Golongan itu mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan serta hasutan syaitan. Inilah amalan orang yang fasik dan kufur.

Mereka ini tidak sedar bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan baik juga akan diterima daripada Allah, begitulah juga padah diterima jika dia melakukan kejahatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (al-Zalzalah: 7-8)

Islam mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dengan amalan sihir. Rasionalnya kerana amalan sihir itu dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim.

Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim di kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biak persengketaan, sifat dendam yang tidak surut, mengundang fitnah, berpecah-belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat. Bayangkan jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, pantang tercuit sihir, maka akan dibalas dengan sihir.

Umat Islam perlu mengelak daripada amalan sihir dan berusaha memerangi perbuatan itu dengan bersungguh-sungguh. Caranya ialah:

- Segenap lapisan masyarakat perlu utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam serta menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah selain memberi maksud sejahtera. Maka, menghayati Islam bermakna menyuburkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah.

- Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.

- Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah supaya teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat sihir manusia, jin dan syaitan.

- Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat atau surah tertentu di dalam al-Quran. Dengan izin Allah ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

- Memberi didikan kepada masyarakat akan bahaya amalan sihiryang bukan saja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda serta tidak rasional.

- Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah serta bertaubat nasuha kepada Allah.

- Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapapun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah kerana dengan izin-Nya pasti dapat menangkis sebarang perbuatan sihir jahat manusia, jin dan syaitan. Janganlah pula kaedah sama (iaitu sihir) hendak dipraktikkan untuk membalas kembali kejahatan pihak pengamal sihir berkenaan.

Sifat sabar juga perlu terus ada dalam diri selain mencari jalan penyelesaian terbaik dan menepati syariat Islam serta tawakal kepada Allah. Anggaplah bahawa itu adalah bentuk ujian Allah untuk menguji keteguhan nilai Islam dan iman seseorang.

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 5, 2011.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: