MEMPERKASAKAN INSTITUSI MASJID


Masjid pada zaman Rasulullah SAW merupakan pusat kegiatan kaum muslimin. Ia bukan setakat tempat ibadat dan solat bahkan merangkumi juga sebagai pusat perbincangan, pendidikan, pentadbiran, penyatuan ummah, siasah, sosial dan sebagainya.

Selari dengan peranan masjid yang menjadi nadi kekuatan umat itu, maka Baginda menjadikan masjid sebagai pusat pentadbirannya.

Langkah Rasulullah SAW ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 18:

Masjid juga dijadikan oleh Rasulullah SAW tempat Baginda menerima rombongan-rombongan yang datang menemui Baginda. Di sinilah tetamu-tetamu Rasulullah SAW di tempatkan dan bermalam.  Daripada sinilah juga rombongan dihantar ke perkampungan kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa di zaman Rasulullah SAW masjid menjadi tempat berkumpul para sahabat untuk solat berjemaah, mendengar pengajaran dari Baginda selepas solat atau sebelumnya. Di sinilah, para Sahabat telah dididik dan tradisi inilah yang diteruskan oleh mereka.

Sejarah kegemilangan Islam menyatakan bahawa kecemerlangan umat Islam melalui budaya ilmu adalah berpangkalan di masjid. Sebagai contoh masjid Kufah di Iraq menjadi pusat perkembangan ilmu hingga terkenal yang menghasilkan graduan seperti Imam Abu Hanifah. Masjid Amru al-As di Mesir  yang terkenal hingga sekarang. Antara tokoh yang masyhur dikaitkan dengan masjid ini ialah Imam Syafie. Menurut satu riwayat, masjid ini pernah mengadakan 40 halaqah pengajian pelbagai ilmu pengetahuan. Di Tunisia, masjid Kairouan telah menjadi tumpuan ulama’ dan penuntut seluruh dunia untuk menimba ilmu pengetahuan. Antara graduan terkenal yang dihasilkan oleh masjid ini ialah al-Khindi, pakar perubatan dan juga seorang jurutera yang  termasyhur. Universiti al-Azhar di Mesir adalah asalnya sebuah masjid (Jamiul Azhar). Ia telah didirikan sejak tahun 976 masihi dan dianggap universiti tertua di dunia yang mengeluarkan ratusan ribu graduan dalam pelbagai jurusan.

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu pada abad ke 12 Masihi turut menjadikan masjid sebagai mercu tanda kepesatan penyebaran dan perkembangan agama Islam. Masjid dijadikan pusat kegiatan perkembangan ilmu, kemasyarakatan dan pentadbiran.  Boleh dikatakan pada ketika itu di mana wujudnya Istana Raja di situlah juga dibina sebuah masjid. Secara umumnya kepesatan pembinaan masjid di negara kita menjadi petunjuk kepada peningkatan nilai-nilai ketamadunan Islam dan ia lebih bermakna lagi dengan adanya kesemarakan dan kesedaran kepenggunaan masjid sepenuhnya demi menjunjung kasih dan kecintaan kepada Islam sebagai ad-din di negara ini.

Di negara kita pengimarahan masjid melalui program keilmuan dilaksanakan dengan pengisian program-program takmir masjid dan surau yang telah berjalan semenjak tahun 1986 . Program ini diadakan bertujuan untuk mengimarahkan masjid dan surau  dengan kegiatan keilmuan Islam secara sistematik dan menyeluruh yang bertepatan dengan peranan masjid itu sendiri. Pada tahun ini pihak kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM32.6 juta bagi membayai program ini dan sehingga kini seramai 3,692 guru takmir disediakan. Setelah 25 tahun program ini  berlangsung ternyata ianya memberi manfaat besar dan kesan yang amat positif terhadap usaha mengimarahkan masjid dan surau dengan kegiatan keilmuan Islam demi untuk melahirkan umat Islam yang cintakan masjid, sayangkan agama dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 108:

Namun persoalan besar timbul di sini bahawa terdapat segelintir daripada masyarakat kita yang kurang berminat untuk menghadiri kelas-kelas  pengajian agama yang diadakan di masjid. Ada juga dikalangan mereka yang tiada maklumat langsung tentang adanya kelas-kelas pengajian seperti ini. Kelas-kelas pengajian agama dipandang remeh dan ianya dianggap sekadar sampingan sahaja. Justeru, mimbar menyeru umat Islam sekalian, agar meluangkan sedikit masa untuk mendekati diri dengan masjid serta menghadiri program-program keilmuan yang telah disediakan ini demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

Ingatlah bahawa Rasulullah SAW mengasuh umatnya mendekati dan cintakan masjid, kerana  mereka yang hatinya sentiasa terpaut dan cintakan masjid dapat menyelamatkan diri di hari akhirat kelak. Nabi SAW dalam salah satu sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa di antara orang yang mendapat perlindungan Allah SWT di hari Kiamat kelak ialah orang yang hatinya terikat dengan masjid. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dan seorang lelaki yang mana hatinya terpaut dengan masjid.”

(Riwayat al-Bukhari)

Marilah sama-sama kita melakukan usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan kembali program-program yang diadakan di masjid-masjid seluroh negara ini agar mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat. Bagi para jemaah yang mempunyai kebolehan dan kepakaran tertentu adalah dipohon bersama masjid menyumbangkan tenaga untuk kebaikan  anak kariah dan masyarakat setempat. Ingatlah bahawa masjid adalah paksi kehidupan masyarakat Islam.

Firman Allah SWT dalam  surah an-Nur ayat 36:

 

 

 

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 22, 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers

%d bloggers like this: