SYUKUR NIKMAT, TIDAK RIAK DAN TIDAK SALAHKAN ORANG LAIN


Terdapat sebuah anekdot menarik bagaimana dua pihak saling berbeza pandangan mengenai sebuah gelas yang berisikan hanya separuh air. Bagi mereka yang berfikiran positif, perspektif yang dlihatnya ialah separuh berisi dan berusaha untuk mengisi separuh lagi airnya penuh. Bagi pihak satu lagi, ia berfikir berasaskan ruang yang kosong, maka kekosongan terus dipersalahkan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Walau bagaimanapun,, pihak kedua tidak mengambil peluang untuk berfikir bagi memenuhi kekosongan tersebut. Mereka hanya berusaha untuk mengurangkan air yang berada dalam gelas sehingga semuanya menjadi kosong. Anekdot tersebut amat relevan apabila kita menilai kembali apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat, terutamanya apabila berhadapan dengan perebutan kuasa politik.

Sejak manusia mencipta ruang politik sebagai kaedah mendapatkan kuasa secara sah dan mencuba kaedah demokrasi sebagai perantaranya menjadikan persekitaran semakin bertaburan dengan riak. Pihak yang memandang gelas separuh kosong sentiasa mempersoalkan orang yang telah memenuhkan air separuh gelas.

Dalam pandangan itu tersasul pula pelbagai teori. Pihak yang mengisi air hingga ke separuh gelas tidak akan memenuhkan gelas tersebut, kerana air akan digunakan untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni. Tapi, apa yang lebih ketara ialah mereka membuat teori itulah sebenarnya lebih banyak menggunakan air yang berada dalam separuh gelas itu untuk kepentingan diri, keluarga, sahabat dan kroni.

Ragam berebut air yang separuh gelas itu oleh pihak yang memandang gelas separuh kosong adalah simbol kepada sikap melampau. Tindakan tersebut dianggap melampau ialah kerana tidak menghargai apa yang dilakukan oleh orang lain yang bertungkus lumus mengisi air sehingga mampu sampai ke separuh gelas.

Orang tidak menghargai jasa dan keringat orang lain itulah sebenarnya adalah termasuk dalam golongan yang tidak tahu dan mahu bersyukur. Mereka adalah golongan yang riak dan takbur.

Sikap riak dan takbur merupakan perilaku yang amat dibenci oleh Allah SWT. Salah satu prinsip asas Islam ialah mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya. Nikmat itu memang banyak, dengan menyedari akan kekurangan diri manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi kekurangan.

Dalam percubaan mendapatkan keselesaan, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah ada. Dari keadaan itulah maka kita akan berfikir secara positif sebagaimana difikirkan oleh mereka yang telah cuba mengisi air ke dalam gelas tersebut.

Atas kesyukuran itulah maka seseorang akan memperoleh ganjaran psikologi dan ketenteraman hati. Mereka akan dapat menjalani kehidupan yang aman, sejahtera dan tidak diselubungi dengan rasa takut akan kehilangan sesuatu kerana dia yakin bahawa Allah SWT sentiasa bermurah hati memberikan pertolongan.

Mereka yang tidak bersyukur akan terus menghadapi suasana resah dan bimbang. Ia akan bimbang dengan air separuh penuh tidak akan dinikmatinya maka dari situlah mereka memulakan propaganda dengan pelbagai fitnah.

Air yang diisi dituduh tidak bersih. Air yang separuh itu bukan datangnya dari sumber yang sah dan halal. Maka di situlah bermulanya polimik, sedangkan yang membuat tuduhan itu tidak pernah mampu menghasilkan sesuatu yang memberikan faedah dan ketenangan kepada orang lain.

Sebagai seorang yang beriman dan menyedari tanggungjawab membantu manusia lain, apa yang dapat dilakukan dalam pemenuhan tanggungjawab itu adalah sesuatu yang amat besar ertinya. Hasil yang diperoleh, walaupun sedikit akan menjadi sesuatu yang membanggakan kerana mereka sedar dan insaf, masih ada jalan untuk melakukan kebaikan untuk manusia yang lain.

Ini tidak berlaku kepada mereka yang hanya tahu bercakap tetapi tidak banyak melaksanakan tindakan yang boleh menghasilkan impak kepada orang lain. Mereka hanyalah sekadar fasih berkata-kata, bijak mengatur slogan dan membina retorik pemikiran yang jauh daripada realiti. Mereka sebenarnya telah mereka-rekakan sesuatu sehingga membawa kepada kefasikan, pembohongan dan kesombongan diri, semakin menjauhkan diri dari mendapat keredaan Allah s.w.t.

Menyelusuri sejarah kesungguhan kerajaan membangunkan infrastruktur, menyusun kaedah pendidikan, merangka rencana menghasilkan lebih banyak sumber kekayaan melalui potensi sumber asli, mengeluarkan hasil bumi dan menggerakkan rangkaian jual-beli adalah satu tanggungjawab yang besar.

Tanggungjawab itu dilaksanakan secara sedar dengan menginsafi bahawa nikmat yang dianugerahkan Allah s.w.t perlu dikembangkan menjadi hasil dengan baik. Dari hasil itu akan dapat membangunkan semula potensi diri dan kecekapan manusia untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan komoditi berharga.

Pihak yang cemburu khususnya dikalangan parti pembangkang dengan kejayaan terus menidakkan semuanya. Suatu ketika dulu mereka mengkritik kewujudan Bank Islam kononnya sekadar Islam pada Kulit saja tetapi sekarang mereka sendiri memanfaatkan.Demikian juga kewujudan Putra Jaya, Lapangan Terbang KLIA,Stadium Bukit Jalil, KLCC, Kereta PROTON, UIA dipertikaikan mereka suatu masa ketika dahulu. Tetapi, mereka hanyalah tahu mengeluh, mengecam apa yang dilakukan oleh orang lain manakala diri sendiri tidak melakukan apa-apa kecuali menggunakan semaksimum mungkin apa yang telah disediakan itu.

Itulah sifat manusia yang bongkak dan riak.  Allah s.w.t menggambarkan manusia jenis tersebut sebagai golongan tidak bersyukur.  Di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 20 Allah s.wt berfirman yang bermaksud:

“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu).”

Dalam konteks bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t ini, ia akan menjadi semakin jelas apabila kita membandingkan apa yang ada di Malaysia dengan apa yang berlaku di negara lain, hatta dengan jiran terdekat kita sendiri. Penduduk negara lain memandang Malaysia sebagai syurga meraih rezeki, tetapi segelintir rakyat tidak ingin berusaha memburu rezeki sebalikny mengharapkan rezeki datang bergolek.

Bumi Malaysia yang subur terus tidaklah sebegitu dahsyat dilanda musibah. Meskipun ada berlaku malapetaka, ia masih dalam kawalan. Tidak seperti berlaku di Afrika, kemarau yang berpanjangan dan tanah yang kurang subur menyebabkan rakyat hidup menderita kekurangan makanan dan zat. Tetapi, rakyat Malaysia menghadapi masalah penyakit kerana terlebih makan dan tidak dapat mengawal nafsu.

Rakyat Malaysia tidak lapar, tetapi rakyat Malaysia semakin ramai menghadapi masalah kegemukan sehingga boleh menjejaskan kesihatan. Itulah nikmat pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi pihak tertentu terus menyalah kerajaan.

Kesihatan yang baik juga adalah satu nikmat, maka kita seharusnya lupa diri untuk mensyukuri apa yang telah kita nikmati sekarang. Allah s.w.t mengingatkan manusia agar sentiasa merenung diri dan memahami, keburukan yang berlaku adalah kerana sikap kita sendiri yang tidak sedar diri.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan salah sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezeki yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya yang disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” 

(an-Nahl: 112)

Mensyukuri nikmat hidup dan tidak mengkufurinya bermakna setiap anugerah kita manfaatkan sebaik-baiknya. Kita mengisikan kehidupan kira dengan cara terbaik, tidak mengadudombakan antara manusia dan merosakkan alam sekitar. Kita sedar, dengan mengkhianati alam sekitar, akan menyebabkan musibah besar dan bakal menghancurkan kehidupan harmoni.

Kestabilan ekonomi, meneroka hasil bumi dan kebebasan rakyat adalah juga dalam pengertian rezeki. Kita bebas berjalan tanpa rasa takut, tidak seperti apa yang berlaku di negara lain. Kita bebas mencari rezeki asalkan cara dan kaedahnya betul, tidak mengkhianati hak orang lain. Bahkan, Allah s.w.t memberikan jaminan:

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

 (Surah Ibrahim: 7)

Jelas bahawa bersyukur itu menjadi kewajipan setiap Muslim. Orang yang tidak tahu bersyukur, adalah mereka yang sentiasa dalam keadaan resah dan rugi. Hatinya sentiasa berkecamuk dengan hasad dengki dan tamak sehingga menjejakan akidah. Inilah apa yang berlaku dalam diri pembangkang, kerana tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang diperoleh dan terus mengecam orang lain, sedangkan dirinya tidak melakukan apa-apa kebaikan. Hanya sekadar bercakap dan berslogan untuk mengongkong minda orang lain agar tidak dapat berfikir dengan jernih dan jelas.

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka (tidak bersyukur) dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

 (al-Isra’: 16)

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 22, 2011.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 49 other followers

%d bloggers like this: