PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA


 PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA

PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA-P1

Ingatlah, dalam Islam menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara yang amat penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam telah pun membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang kalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda. Menurut pengkaji sains politik, kepimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar daripada tanggungjawab pemimpin itu adalah untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat serta mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutamanya rakyat di luar bandar yang sebahagian besarnya terdiri daripada para petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang lain dan mereka amat mengharapkan seorang pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melalui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah SAW .

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 128:

PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA-Surah 1

Maksudnya:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka.  Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW adalah contoh seorang pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia. Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.

Terdapat beberapa ciri pemimpin yang berwibawa antaranya:

Pertama: Seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT di atas muka bumi ini Sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 41:

PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA-Surah 2

Maksudnya:

Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Kedua: Seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan samada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Dalam al-Quran  telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib AS. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat  bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih  luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya sahaja.

Ketiga: Seseorang yang memiliki sifat  takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan  takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Keempat: Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Adil bukan sekadar kata-kata retorik tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin  kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi.

Kelima: Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW:

PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA-Surah 3 - Hadith

Mafhumnya:

“Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”

(Riwayat al-Bukhari)

Keenam: Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan. Maka, pemimpin tidak boleh berkompromi dalam isu-isu penting terutamanya yang melibatkan akidah dan agama. Hadith daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya:

“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya. ”

(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Ketujuh: Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas dari kerosakan moral.

Kelapan: Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya. Bayangkan, adakah pemimpin-pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri yang dinyatakan ataupun sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.”

(Hadith Riwayat BukharidanMuslim)

Dalam soal memilih kepimpinan yang berwibawa tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Sehubungan dengan itu Imam al-Qurtubi  menjelaskan  dalam kitab ‘al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, Bagi umat Islam  dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak  menjadi pemimpin. Ingatlah kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sekiranya  kita tersilap memilih pemimpin yang tidak berakhlak dan hanya mementingkan pembangunan duniawi berbanding dengan kehidupan dihari akhirat”. Berdasarkan kata kata ini, Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat (khadim) kepada rakyat untuk mentadbir urusan umat.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW  sebagai khalifah menyeru umat Islam ketika itu yang maksudnya:

“Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku. ”

Ucapan penuh ikhlas Saidina Abu Bakar RA ini memberi mesej jelas bahawa menasihati seseorang pemimpin adalah sebahagian daripada hak dan kewajipan setiap muslim dalam negara Islam. Malah setiap individu juga berkewajipan untuk meluruskan pergerakannya, menyuruhnya untuk mengerjakan kebajikan atau mencegahnya dari melakukan sebarang kemungkaran.

Rakyat tidak boleh terlalu taksub kepada pemimpin sebaliknya berhak menegur kerana seseorang pemimpin dalam Islam adalah manusia biasa. Mereka bukan seseorang yang terlalu agung atau istimewa sehingga tidak boleh ditegur. Walau bagaimanapun, Islam juga meletakkan asas etika yang perlu dipatuhi, iaitu dalam menegur pemimpin, wajib dilakukan secara beradab dan tidak secara terbuka yang boleh mengaibkannya.

Kewibawaan dan kekuatan kepimpinan seseorang itu berkait rapat kepada sejauhmana nawaitu dan keikhlasannya dalam menegakkan agama, bangsa dan negara serta menjamin kemaslahatan rakyat terlaksana. Mimbar ingin mengingatkan bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan besar dengan dosa dan pahala dan ianya adalah sebahagian tindakan dan perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah SWT terhadap kita pada hari akhirat kelak.

Strategi memanipulasi emosi dan menjanjikan kuasa kepada rakyat adalah doktrin yang telahpun berjaya digunakan oleh pihak musuh untuk menjatuhkan beberapa negara Islam. Ia bermula dengan mewujudkan bayangan palsu kepada pemerintah yang sedia ada dan seterusnya bayangan palsu itu dijadikan persepsi supaya dipercayai oleh rakyat yang akhirnya ia dimanipulasi untuk menjatuhkan negara dan pemerintah. Justeru, selari dengan perkembangan semasa ini, maka mimbar menyeru seluruh umat Islam agar berlaku adil dan bijak dalam menentukan kepimpinan dengan mengambil kira ciri-ciri yang telah di sebutkan tadi. Yakinlah, negara yang diperintah oleh kepimpinan yang berwibawa dan konsisten akan menjamin segala dasar dasar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan beramanah lagi adil serta saksama. Sebaliknya, kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara tidak akan dicapai jika negara diperintah oleh golongan yang tidak mempunyai sifat sedemikian. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah as- Syu’araa’ ayat 215-217:

PEMIMPIN BERWIBAWA NEGARA SEJAHTERA-Surah 4

Maksudnya:

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 4, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 50 other followers

%d bloggers like this: