Akhlak Penentu Hubungan Antara Manusia Dengan Allah S.W.T.

001b1Tema atau pokok persoalan mengenai perubahan ke arah yang fitrah dengan menghuraikan kepentingan membangunkan jiwa hamba dan khalifah serta kepentingan al-Quran sebagai sumber petunjuk.

Membangunkan jiwa hamba ialah mendidik hati insan supaya mempunyai sifat patuh dan taat yang setinggi-tingginya terhadap Allah.  Menyuburkan jiwa khalifah bererti menggunakan akal dan hati atau nafsu secara positif ke arah memberikan kepemimpinan terhadap diri dan perkara di luar diri.

Untuk memandu manusia supaya pengurusan itu berlaku dengan betul, Allah S.W.T. turunkan mukjizat besar iaitu al-Quran sebagai sumber petunjuk (hudan) dan ilmu (hikmah).  Ia untuk memandu manusia supaya terus berada dalam keadaan fitrah dan melakukan sesuatu dalam hidup ini pada landasan diredai oleh AllahS.W.T..

Al-Quran memberikan penegasan terhadap status Rasulullah S.A.W. sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam atau alam jagat (Wama ar salna kailla Rahmatan Lil Alamin).  Jiwa hamba, peranan khalifah, al-Quran sebagai sumber ilmu dan petunjuk akan lebih melengkapkan fitrah insaniah. Ini dengan menjadikan Muhammad S.A.W. sebagai Nabi dan Rasul bagi menjadi contoh yang mempunyai watak atau akhlak Qurani.

Bayangkan manusia yang diberikan status hamba, peranan sebagai khalifah, al-Quran sebagai sumber ilmu dan petunjuk tanpa contoh atau qudwah untuk diteladani atau diikuti. Pasti manusia akan meraba-raba atau hilang pedoman untuk mencari model sebenar bagi mengamalkan apa yang Allah S.W.T. perintahkan.

Allah S.W.T.  tidak memilih gunung-ganang, batu batan, pokok atau haiwan sebagai sumber contoh dan teladan manusia.  Pada gunung-ganang, batu batan, pokok atau haiwan tidak banyak yang boleh dicontohi oleh manusia bagi melaksanakan peranannya sebagai hamba dan khalifah.

Pada semut dan lebah, ada sesuatu yang boleh dicontohi oleh manusia, tetapi ia tidak lengkap seperti yang diperlukan oleh manusia. Pada pokok padi tidak banyak yang boleh dipelajari.

Ada pepatah mengatakan supaya ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk, menggambarkan orang yang berilmu, semakin berilmu semakin tinggi jiwa tawaduknya. Namun, ia juga tidak cukup melengkapkan sifat manusiawi yang diperlukan oleh manusia.

Oleh itu, pemilihan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Khalifah contoh bertepatan kerana Baginda adalah manusia yang memiliki sifat manusiawi yang diperlukan oleh manusia lain.  Menariknya, Allah tidak memilih Muhammad sebagai rasul tanpa memberikan tarbiah rabbaniah kepadanya.  Allah S.W.T. lakukan tarbiah rohaniah dan rabbaniah kepada Muhamad dengan terbentuk watak Qurani dan akhlak tinggi terhadap dirinya.

Hadis Rasulullah mengukuhkan maksud kerasulan Muhammad S.A.W. : Innama buith tu liutammima, maqarimah akhlak (tidak diutuskan aku melainkan dengan amanah untuk menyempurnakan akhlak manusia).

Isu pokok atau utama dalam risalah kenabian atau kerasulan ialah bertitik-tolak kepada proses penyempurnaan akhlak manusia.

Mengapa akhlak manusia dirasakan amat penting dalam hidup ini?  Apa kaitannya akhlak dengan kecemerlangan insan?  Apa hubungannya akhlak dengan amanah? Apa kaitannya akhlak dengan konsep keadilan. Dan apakah peranan akhlak dalam proses pembangunan dan perubahan?

Dalam hidup ini, apabila manusia menolak sifat amanah, sebaliknya menyuburkan sifat pecah amanah, ia menyebabkan akhlak menjadi rosak.  Apabila akhlaknya rosak, dirinya akan rosak dan sistem boleh menjadi rosak. Malah, negara juga boleh menjadi rosak.

  • Bayangkan jika manusia menolak sifat jujur dan ikhlas dalam melakukan komunikasi dengan orang lain. Ia boleh menyebabkan perselisihan hubungan dan pendapat berlaku. Ia boleh meretakkan ukhuwah dan rasa persaudaraan yang amat dituntut oleh agama.  Manusia yang tidak jujur dan ikhlas ini adalah bayangan mereka yang sudah cacat akhlaknya.
  • Bayangkan manusia dalam melaksanakan tanggungjawabnya berlaku tidak adil kepada pihak lain. Ketidakadilan atau perbuatan zalim ini bukan saja boleh merosakkan dirinya, malah manusia lain.  Perbuatan zalim boleh menyebabkan pihak lain teraniaya dan menyebabkan rasa tidak puas. Ia boleh menyebabkan perpecahan sesama manusia dan hilangnya amanah terhadap sesuatu.
  • Bayangkan sekiranya seseorang atau sesuatu kumpulan bersikap ikhlas, jujur, amanah dan adil terhadap sesuatu, hebat sungguh jenis masyarakat yang dapat dibangunkan. Lebih-lebih lagi, sifat yang mulia itu boleh mengembangkan ukhuwah dan rasa percaya tinggi sesama insan.

Kekuatan pada sifat ini kerana manusia yakin kepada Allah sebagai penciptanya dan yakin terhadap balasan Allah S.W.T.  pada akhirat nanti.  Ia selari dengan doa yang dibaca oleh kita ia itu Rabbana aatina fiddunya hasanah, wafilakhirati khasanah, waqina azabannar. Inilah landasan kekuatan yang menjadikan manusia terus istiqamah atau teguh hati dengan cabaran duniawi yang amat banyak.

Allah S.W.T. berikan rahmat dan nikmat yang amat banyak kepada manusia.  Tanpa pertimbangan nilai baik yang dikembangkan oleh Rasulullah S.A.W., manusia akan hilang pedoman dan akhirnya akan terpaut dengan tarikan kebendaan dan nafsu-nafsi.  Akhirnya, menjerumuskan manusia kepada kerosakan akhlak.

  • Bayangkan apabila manusia menjadikan kebendaan sebagai ukuran, nafsu-nafsi sebagai pakaian harian, pangkat dan darjat sebagai batas perbezaan, gelar dan status sebagai ukuran pergaulan, ia tidak akan menyumbang kepada proses pembinaan akhlak terpuji.

Sebaliknya, faktor duniawi ini akan luput kerana setiap manusia akan kembali bertemu Tuhannya mempersembahkan amal ibadat yang dilakukan ketika hayatnya. Tetapi, jika yang dipersembahkan di depan Allah bukannya amal ibadat serta takwa tinggi dalam hidupnya menginsafi dirinya adalah hamba dan khalifah, alangkah ruginya manusia. Mereka apabila diberi peluang memanfaatkan rahmat dan nikmatnya menjadi lupa, takbur, sombong dan kadang-kadang kufur serta tidak pernah bersyukur.

Sebab itulah persoalan akhlak adalah isu yang amat asasi menentukan hubungan kita dengan Allah S.A.W. serta kawalan dan pedoman diri terhadap apa yang dilakukan dalam hidup ini.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, Mutiara Islam


 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: