Pendekatan Agama Mengatasi Keruntuhan Akhlak Remaja Masa Kini

remaja-1Para remaja atau muda-mudi kita adalah warisan kita bagi masa hadapan. Mereka adalah aset yang berharga agar agama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan negara. Maka adalah penting bagi kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor perjuangan kita pada masa hadapan. Mereka mestilah menjadi orang-orang yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk membina masyarakat dan negara yang maju jaya, tetapi yang lebih penting adalah agar Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita.

Kita sekarang sudah mempunyai contoh-contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai tauladan. Kita mempunyai segolongan muda-mudi Islam yang boleh menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan ugama Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan disemai agar lebih ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam teras kehidupan mereka.

Akan tetapi masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai contoh, kita sering mendengar terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan anak luar nikah dan mencampakkan bayi di tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka. Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol.

· Adakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat Islam kita?

· Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh khaira ummah atau sebaik-baik umat?

Semakin ramai remaja kita yang tanpa segan silu membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih berani lagi. Mereka berdua-duaan dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Ini bertentangan dengan ajaran Islam.

· Mengapakah mereka berkelakuan demikian?

Banyak faktor yang menyumbangkan peranannya. Tetapi yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing. Kalau zaman datuk nenek kita, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel yang mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan butang sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen kabel membawa kebaikan. Dengannya kita lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini.

Masyarakat kita pula tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai faedah yang boleh diraih. Akan tetapi internet dan televisyen kabel juga membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai Islam. Dan jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan ugama, maka kita juga boleh terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita menonton filem barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan Islam. Setiap kali kita menonton televisyen kita akan mendengar perkataan-perkataan lucah. Setiap kali kita menonton televisyen, kita akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam.

· Bayangkanlah! Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam kehidupan mereka, disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh?

· Di internet pula, lelaman lucah dengan mudah diperolehi. Kalau inilah sajian yang tersaji kepada anak-anak Islam kita semasa mereka sedang membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing kepada mereka. Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan?

Setiap ibu-bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam. Anak-anak adalah amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-anak kita tersebut.

· Berapa ramai ibu-bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-anak mereka?

· Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa, sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak?

· Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya dalam mendidik dan menanamkan keimanan dalam jiwa anak-anak Islam kita sehingga mereka tidak mudah terpedaya?

· Sudahkah anak-anak kita diberi pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh cabaran ini?

Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau internet atas keruntuhan akhlak para remaja dan muda-mudi zaman sekarang ini. Sebaliknya kita perlu merenung kembali. Anak-anak secara semulajadi memandang ibu-bapa mereka dahulu sebagai panduan hidup mereka.

Sekiranya ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya ibu-bapa sendiri terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah “bapak borek anak rintik.” Akan tetapi kalau ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan mereka.

Oleh itu MutiaraIslam menyeru kepada para remaja dan belia kita, agar menyedari bahawa mereka adalah harapan keluarga dan negara. Jika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai belia Islam yang dinamik, maka masyarakat kita dan negara akan menjadi lebih maju lagi. Akan tetapi jika mereka lebih mementingkan keseronokan dan hiburan sehingga lalai dari tanggungjawab, maka masyarakat dan negara kita akan menjadi lemah.

Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai empat tanggung-jawab:

1. Kita mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk berseronok semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari ilmu pengetahuan dan menghayati ugama Islam. Jadikan waktu tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak.

2. Kita tidak harus mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya yang baik dari sesiapun dalam mencari dan meningkatkan ilmu. Tetapi kekalkan akhlak dan cara kehidupan orang Islam. Kita akan menjadi orang yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia dan di akhirat, insya Allah.

3. Sebagai remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak hasil. Malah masa kita yang berharga yang sepatutnya dihabiskan dengan mencari ilmu atau menyumbang kepada masyarakat.

4. Hormatilah ibu bapa kita, walaupun pada pandangan kita mereka tidak memahami jiwa dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa adalah pintu syurga.

Sekiranya kita tidak bersetuju dengan mereka maka katakanlah dengan nada yang lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’, ayat 23 ertinya:


“Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua, maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan ucapan yang baik dan lembut.”

http://baheis.islam.gov.my/icons/ecblank.gif

http://baheis.islam.gov.my/icons/ecblank.gif

Lokman Mohd Hashim
Penerbit
MutiaraIslam


 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: