Konsep Al-Ihsan Wujud Keadilan Ekonomi Islam


1aAKIBAT daripada kemajuan teknologi maklumat masa kini, setiap negara makin hari makin menjadi lebih bergantung antara satu sama lain. Apa saja yang berlaku di mana-mana tempat akan serta-merta dapat kita ikuti perkembangannya.

Peristiwa itu ada yang mempunyai unsur membangun dan ada kala memiliki unsur tidak membina. Perkembangan di luar negara yang berunsur tidak membina mudah mempengaruhi pemikiran dan kelakuan kita, terutama golongan muda-mudi.

Oleh kerana sistem pendidikan kita masih belum dapat membebaskan diri sepenuhnya daripada pemahaman sekular, pemikiran dan cita rasa muda-mudi sering memiliki persediaan yang mudah menerima pandangan serta cara hidup negatif dari luar negara.
Biasanya cara hidup dan budaya Barat dianggap sebagai contoh yang maju dan membina. Keyakinan itu membolehkan pengaruh budaya Barat mudah meresapi dan membentuk corak kehidupan golongan muda-mudi kita.

Di samping kelemahan sistem pendidikan, masyarakat turut disogok dengan budaya Barat melalui media cetak dan elektronik. Majalah dan akhbar yang tidak membina terus membanjiri kedai buku. Program televisyen turut mendukung nilai dan pandangan hidup negatif. Dalam suasana sedemikian tidak mustahil nilai dan kefahaman Islam terus dicabar.

Bagi menangani cabaran ini, disamping usaha mengurangkan pengaruh luar meresapi pemikiran kita, Islam perlu diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dalam bentuk yang menyeluruh dan mendalam.
Ia hendaklah mampu dilihat sebagai satu pilihan hidup yang lebih sempurna dan memberi manfaat kepada keutuhan peradaban manusia dibanding mana-mana corak sistem kehidupan lain. Ia perlu difahami dalam semua aspek keilmuan serta pemikiran dengan mendalam dan sesuai.

Islam tidak boleh dibincang hanya sebagai penerangan apa itu Islam, tetapi ia perlu diyakini dan seterusnya dihayati sebagai satu cara hidup yang dapat menyusun diri, masyarakat manusia termasuk alam semesta dengan maju dan berjaya.

Justeru, pemahaman kita terhadap Islam semestinya menumpu kepada kaedah bagaimana Islam dapat berperanan dalam semua bidang termasuk akidah, akhlak, kebudayaan, politik dan ekonomi sesuai dengan perkembangan ilmu serta sistem hidup semasa.

Takrif kejayaan hidup bagi seseorang dalam fahaman sekular semasa ialah kemampuan seseorang memiliki harta dan kekayaan. Kejayaan hidup mengikut takrif kefahaman itu diyakini akan membawa kepada kebahagiaan hakiki.
Sistem sekular kapitalisme dan marxisme berpandangan bahawa fakta ekonomi adalah penentu kepada kebahagiaan hidup manusia. Kemajuan ekonomi adalah sebagai penyelesaian kepada semua permasalahan hidup.

Bagi kapitalisme, kejayaan hidup seseorang individu ialah melalui kemampuan mengumpul harta sebanyak mungkin. Mengikut marxisme, asas tamadun manusia dianalisis berpandukan kemajuan ekonomi. Bahkan fakta ekonomi mempengaruhi keseluruhan tatahidup manusia bermasyarakat.

Islam mempunyai pandangan hidup yang berlainan. Sesuai fitrah kemanusiaan, kebahagiaan hakiki untuk manusia akan tercapai apabila sifat bahimiah (kehaiwanan) pada manusia mematuhi arahan daripada sifat malakiah (kemalaikatan).

Manusia perlu memenuhi keperluan bahimiah. Oleh itu, sifat bahimiah perlu sentiasa dididik, disuburkan dan dibimbing oleh sifat malakiah. Dalam kata lain semua kemahuan manusia seperti memiliki kuasa, kekayaan dan kemasyhuran hendaklah dicapai melalui penghayatan akhlak.

Kuasa dan kekayaan adalah alat untuk menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, bukan sebagai matlamat akhir dalam kehidupan seseorang individu. Melalui pendekatan itu, manusia akan sentiasa bersyukur dan menikmati erti kebahagiaan sebenar.

Kegagalan pendekatan semasa berteraskan sistem sekular dalam menerajui kehidupan manusia menghasilkan kepincangan dan kemelut ekonomi semasa yang tenat. Sifat mementingkan diri melahirkan ciri individu yang tamak dan rakus.

Tindakan awal dalam menyusun ekonomi ialah mendidik manusia kepada penghayatan akhlak mulia. Seterusnya pembabitan kerajaan dalam urusan ekonomi serta peranan sektor swasta yang tepat adalah usaha awalan yang perlu diberi perhatian dalam menyusun ekonomi.

Islam menganjurkan penyusunan sistem ekonomi dalam negara dan pada peringkat antarabangsa mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan ekonomi muafakat. Kedua-dua unsur itu adalah asas kepada pencapaian perjalanan sistem ekonomi teratur, cekap dan berdaya maju.

Keadilan ekonomi menepati prinsip al-‘Adl ini membawa pengertian mendalam. Secara ringkas, beberapa ciri berikut dapat menjelaskan keadilan penyusunan dan perjalanan sistem ekonomi iaitu:

Setiap individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta tertakluk kepada syariah dan menjamin harta sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi pada tiap masa. Negara wajib berusaha ke arah pencapaian itu.
• Setiap individu mempunyai kebebasan menceburi dalam setiap urusan ekonomi yang dibenarkan syariah. Tidak ada golongan yang boleh menggagalkan kebebasan itu. Negara mempunyai tanggungjawab mengawal kebebasan itu benar akan dilaksana.
• Setiap individu dalam negara Islam semestinya dapat memenuhi keperluan asasinya iaitu tanpa keperluan itu, ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat.
• Setiap faktor yang menyumbangkan kepada usaha pengeluaran ekonomi hendaklah mendapat ganjaran setimpal dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan yang positif kepada faktor modal berlandaskan sistem riba adalah diharamkan. Begitu juga unsur penindasan lain.
• Setiap peruntukan sumber negara hendaklah mengikut keutamaan keperluan masyarakat. Panduan syariah perlu diikuti dalam hal itu.
• Setiap bentuk pembaziran sama ada dalam bentuk projek atau perayaan yang hendak dilaksanakan atau pembaziran dalam usaha pengeluaran, pengagihan serta penggunaan mestilah dikurangkan.

Ekonomi muafakat yang menepati konsep al-ihsan pada hakikat sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi. Islam menganjurkan semua peserta ekonomi bermuafakat dalam menjalankan kegiatan ekonomi.

Setiap peserta ekonomi sama ada pengguna atau pengeluar, pekerja atau majikan, sepatutnya mempunyai matlamat yang satu, iaitu mentaati diri mereka kepada arahan Allah. Oleh itu, setiap peserta ekonomi perlu saling membantu bagi menjamin kestabilan dan keutuhan perjalanan ekonomi.

Jika fahaman Islami dapat dikemukakan dengan menjawab persoalan bagaimana ia dapat berperanan sesuai dengan suasana semasa, keistimewaan Islam akan terserlah dan keyakinan kepada Islam turut meningkat.

Oleh:
Nik Mustapha Nik Hassan
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
Disunting Oleh:
Lokman Mohd Hshim, Penerbit, Mutiara Islam

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 5, 2009.

 
%d bloggers like this: