Semarak Cinta Masjid Pikat Anak Muda


MEMAKMURKAN masjid sememangnya sangat dituntut, lantaran tidak hairanlah mengapa Baginda SAW berusaha mendirikan masjid sejurus berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Ini kerana pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadat tetapi juga pusat bersosial umat Islam termasuklah dalam urusan berkaitan perkahwinan sehinggalah hal-hal berkaitan muamalat dan kematian.

Sehubungan itu, mengimarahkan masjid merupakan peranan penting semua umat Islam agar rumah Allah ini sentiasa hidup dan memberi impak yang besar kepada kemajuan ummah sejagat.

Sesuai dengan hal yang demikian, program yang diberi nama Semarak Cinta Masjid anjuran jawatankuasa Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 23 dan 24 Januari lalu wajar menjadi contoh. Selain satu wadah dalam memperluaskan fungsi masjid, sekali gus mencetuskan nilai-nilai positif dalam pembangunan ummah.

Menurut Ketua Pentadbir/Ketua Imam Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Rohaily @ Abd. Rahman Abd. Hamid, 33, sungguhpun pihak masjid giat menjalankan pelbagai aktiviti di kariah tersebut, namun ini adalah program yang julung kali diadakan secara besar-besaran.

Katanya, program itu diadakan sempena sambutan Maal Hijrah 1430.

“Kami menjemput kumpulan nasyid Rabbani agar selain memberi hiburan mereka ini juga adalah model contoh kepada ramai peminat muda.

“Hadirin terutamanya kanak-kanak terhibur dengan persembahan mereka dan turut serta menyanyi,” katanya.

Menurut Rohaily, program berbentuk ilmuwan juga diadakan iaitu ceramah daripada tiga ahli panel.

Aktiviti gerai-gerai jualan yang diadakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pameran pendidikan turut membantu memeriahkan program masjid berkenaan.

Menurutnya, sebagai sebahagian usaha mendekati golongan muda, masjid itu juga telah menubuhkan Kelab Remaja Masjid Oktober lepas.

Kelab ini melaksanakan program yang menggabungkan bentuk motivasi dan ibadah. Dua bulan selepas penubuhannya, satu program lawatan bermotivasi telah dilaksanakan yang berjaya mengumpulkan seramai 40 remaja berusia antara usia 12 dan 16 tahun ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Menerusi program yang tidak formal ini, impaknya adalah jauh lebih ketara berbanding seminar, bengkel dan setarafnya. Boleh dikatakan tanpa peserta sedari, kita cuba menyuntikkan elemen mengenai Islam, akhlak dan perhubungan sepanjang program tersebut,” tambah beliau.

Biarpun banyak halangan yang dihadapi, Rohaily tetap merancang menjadikan masjid yang terletak di Taman Melati atau juga kawasan ini dikenali sebagai Somalian City supaya sentiasa padat dengan aktiviti mesra masyarakat selain tidak meminggirkan kelas-kelas ilmu dan tazkirah yang sedia ada. Oleh sebab itulah, di masjid ini adanya Sasaran Kerja Tahunan (SKT) demi mencapai objektif di atas.

Yang pastinya tegas beliau, masjid perlu diperluaskan fungsinya agar tidak hanya diimarahkan oleh golongan tertentu sahaja ataupun dieksploitasikan oleh fahaman politik tertentu, agar tidak berlaku pecah belah atau anasir kurang sihat.

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim, Mustiara Islam Online
Sumber: Bicara Masjid, Utusan Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 11, 2009.

 
%d bloggers like this: