Syura cara terbaik melerai kekusutan sosial



Rundingan boleh kekal kesepakatan kerana semua wakil berpeluang beri pendapat

MUTAKHIR ini negara dihadapkan dengan pelbagai krisis terutamanya politik dan ekonomi yang tidak begitu stabil. Dalam hal ini Islam sentiasa menyeru pemimpin serta pendukung sesebuah komuniti supaya memikirkan kepentingan dan maslahat masyarakat apabila mengambil sebarang tindakan daripada permasalahan yang timbul.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah) daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu. Oleh itu, maafkan mereka (kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah keampunan bagi mereka. Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Allah memberi petunjuk kepada seluruh hamba-Nya supaya menggunakan kewarasan akal dan fikiran dengan mengambil kira kepentingan orang ramai apabila membuat sebarang keputusan.  Salah satu caranya ialah melalui syura atau musyawarah.

Bagi mendapatkan resolusi yang tepat, sempurna, adil dan saksama, musyawarah atau dalam bahasa Melayunya disebut mesyuarat harus menjadi agenda utama untuk mengekalkan permuafakatan insan dalam banyak hal.

Pihak dan individu yang berkepentingan dalam isu tertentu perlu bermesyuarat bagi mencari kata sepakat serta keputusan terbaik untuk diguna pakai dalam tindakan lanjut yang akan diambil kemudian.

Mesyuarat membolehkan semua pihak mengeluarkan pendapat dan saranan tertentu yang ada kalanya berbeza antara satu sama lain.  Ahli mesyuarat akan mendengar, membuat pertimbangan dan kemudian membuat pemerhatian, bantahan serta saranan tambahan sebelum membuat sebarang keputusan.

Syura atau mesyuarat adalah kaedah terbaik yang disarankan al-Quran dalam mengekalkan keharmonian hidup tanpa mengira status manusia. Tanpa mesyuarat sudah tentu akan timbul rasa curiga, tidak puas hati, perselisihan faham dan pergaduhan yang bakal merosakkan hubungan sesama manusia yang sedia terjalin.

Melihat kepada pentingnya syura, maka Allah menamakan salah satu daripada surah al-Quran dengan nama al-Syura.  Melalui surah ini diceritakan pentingnya persefahaman dan permuafakatan yang perlu wujud antara semua penghuni di muka bumi ini kerana tanpa perpaduan dan kemakmuran yang dilahirkan daripada keharmonian, sudah tentu masyarakat akan menjadi kucar-kacir, maka berlaku kerosakan di bumi Allah ini.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan juga (lebih baik) bagi orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikansolat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara syura sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepadanya.” (Surah al-Syura, ayat 38)

Biarpun ayat itu ditujukan khusus kepada umat Islam Makkah pada zaman Rasulullah SAW supaya mereka sentiasa berhati-hati mengambil tindakan dalam pentadbiran kerajaan, ia juga bertepatan dengan mukjizat al-Quran yang sesuatu untuk semua zaman.

Justeru, seluruh umat Islam di dunia perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kepentingan syura kerana kebaikan serta hikmah di sebalik perintah melakukannya adalah meliputi kepentingan hidup manusia sejagat.

Oleh kerana syura yang disebut dalam al-Quran bersifat umum, ia bersesuaian dengan semua perkara membabitkan kepentingan umum sama ada merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Syura memainkan fungsi penting bagi meleraikan sebarang kekusutan yang mungkin timbul daripada percanggahan fahaman dan pendapat di kalangan manusia keseluruhannya.

Beberapa contoh syura Rasulullah SAW dengan sahabat, Baginda bermesyuarat dengan mereka untuk keluar menemui musuh di Badar iaitu Abu Sufian dan rombongannya yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam.

Begitu juga dengan mesyuarat antara Baginda dan sahabatnya selepas menerima berita pertembungan rombongan orang Islam Makkah dengan Abu Sufian hingga tercetusnya peperangan.

Jelas dalam banyak keadaan lain pun, Rasulullah SAW sentiasa mendahulukan konsep syura bagi mendapatkan pandangan daripada sahabat, mencari kata putus dan memilih tindakan terakhir apabila mesyuarat bersetuju memilih apa-apa keputusan berkaitan sesuatu hal berbangkit.

Jika contoh itu ditunjukkan junjungan mulia Rasulullah SAW, maka wajar jika kita sentiasa mengamalkan sunnah yang begitu bernilai dan penting dalam menyelesaikan apa juga kemelut, percanggahan serta persoalan timbul supaya tindakan diambil bertepatan dengan asas yang diputuskan pada mesyuarat diadakan.

Sesuai dengan keadaan mutakhir ini yang dihadapkan pelbagai konflik dan salah faham, maka semua pihak terutama pemimpin di segenap lapisan daripada pelbagai fahaman agama dan bangsa perlu meletakkan rundingan sebagai paksi utama bagi mencari persepakatan.

Hanya melalui syura atau mesyuarat, keharmonian yang terjalin sekian lama akan kekal dan utuh berkat daripada kesabaran, keyakinan serta kesediaan semua pihak untuk duduk di meja bulat apabila timbul konflik.

Lokman Mohd Hashim, Mutiara Islam

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 14, 2009.

 
%d bloggers like this: