Maulidur Rasul Disambut Meriah Dan Penuh Penghayatan


maulud209

Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Kebangsaan Tahun 1430H/2009M telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 9 Mac 2009 (Isnin) bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bertemakan “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah”. Dalam titah perasmian, SPB Yang di-Pertuan Agong menyeru umat Islam di negara ini supaya menghayati sejarah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. yang penuh dengan iktibar dan pengajaran.

Seri Paduka bertitah, Rasulullah meninggalkan panduan amat berguna kepada umatnya untuk diikuti agar mampu mencipta satu tamadun yang gemilang. Menurut Tuanku Mizan, antara asas ke arah kecemerlangan yang sering ditekankan oleh Rasulullah S.A.W. ialah kepentingan kesatuan di kalangan umatnya sebagai pemangkin kepada pembentukan ‘khaira ummah’ (umat terbaik). “Untuk menjadi sebuah negara maju pada masa depan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan diambil ringan oleh semua pihak,” titah baginda.

Turut hadir dalam perhimpunan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan isteri; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Hj. Abdul Razak dan isteri; dan , Datuk Ahmad Zahid Hamidi Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Kebangsaan Tahun 1430H/2009M dan isteri.

Sambutan itu disertai hampir 100,000 peserta termasuk kakitangan kerajaan, badan berkanun, pertubuhan swasta, golongan pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO), jemaah masjid sekitar lembah kelang dan orang ramai. Semua peserta kontinjen terlebih dahulu telah mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul bermula dari 8 buah masjid sekitar Dataran Merdeka berarak masuk melalui 4 jalan utama ke Dataran Merdeka. Perarakan tersebut diketuai oleh Y.B. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pegawai kanan kerajaan yang berarak dari Masjid Negara, Kuala Lumpur bermula seawal jam 7.00 pagi

Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima. Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang buat julung kalinya diperkenalkan pada sambutan kali ini ialah Profesor Dr. Sidek Baba dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membawa pulang RM50,000, sijil dan plak.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman; dan Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn. Bhd., Mortadha Abdullah. Selain itu Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi Mohd; pelajar, Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa kurang upaya dari pinggang ke bawah dan tanpa kaki, Muhammad Haziq Samrat. Masing-masing menerima wang tunai RM22,000, sijil dan plak.

Majlis sambutan ini diakhiri dengan persembahan khas yang berkonsepkan hiburan bermesej penceritaan kisah Nabi, persembahan nyanyian dan sketsa yang melibatkan artis popular terdiri daripada kumpulan kumpulan UNIC, kumpulan Nakasutra, Akhil Hayy, Waheeda, Yassin, pencerita Sabri Yunus bersama Ebby Saiful dan 60 orang pelaku gerak serta 40 orang kanak-kanak. Selain itu, lintas hormat udara dengan helikopter Nuri dari TUDM dengan membawa kain rentang bertulis “SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1430H” dan lintas hormat darat dengan perarakan motosikal berkuasa besar dan kapcai berjumlah 1340 buah sebagai penutup persembahan sebelum semua hadirin berselawat beramai-ramai.

Perarakan kontinjen 2009

Ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri

Menanti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong

Penerima Anugerah Maulidur Rasul s.a.w. Tahun 1430H/2009M


Tarikh : 11 Mac 2009
Sumber : Pengarah Bahagian Keurusetiaan & Perhubungan Antarabangsa

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 11, 2009.

 
%d bloggers like this: