PROGRAM DISKUSI PERBANDINGAN AGAMA. ‘Konsep Ketuhanan Agama Lain Selain Agama Islam’.


12 Mac 2009 (Khamis). Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertempat di Dewan Hadhari, JAWI, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Saudara Muslim tentang tiga agama utama di Malaysia selain agama Islam dan memahami konsep ketuhanan agama-agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha. Ini dapat memperkayakan Saudara Muslim dengan ilmu-ilmu Islam dan maklumat yang mungkin tidak didapati di kelas pengajian.

Seramai 3 orang ahli panel telah dijemput, mereka ialah En. Mohd. Ann Wan Seng, dari Persatuan China Muslim Malaysia (MACMA). En. Muhammad Fitri b. Abdullah, dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan En. Muhammad Abdullah Nicholas Sylvester, seorang pendakwah bebas. Para peserta terdiri daripada saudara Muslim yang belajar di JAWI dan wakil-wakil dari PERKIM dan ABIM.

Tajuk diskusi ialah ‘Konsep Ketuhanan Agama Lain Selain Agama Islam’. En. Mohd. Ann Wan Seng telah mengupas mengenai konsep ketuhanan agama Buddha bagi masyarakat China, manakala En. Muhammad Fitri menjelaskan tentang konsep ketuhanan agama Hindu bagi masyarakat India dan En. Nicholas pula menyentuh tentang konsep ketuhanan agama Kristian. Selepas itu diadakan sesi soal jawab.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Tuan Haji Che Mat b. Deraman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAWI. Turut hadir Us. Abdul Nasir b. Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Saudara Baru JAWI.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari.

Sumber.

Unit Perhubungan Awam,

JAWI

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 14, 2009.

 
%d bloggers like this: