AMANAH TENTUKAN HALA TUJU MASYARAKAT DAN NEGARA



PEMIMPIN menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya. Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia menarik golongan bukan Islam memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara.

Pemimpin sebagai model mestilah menunjukkan sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan hariannya. Satu sifat amat diperlukan dalam melaksanakan segala perkara dipertanggungjawabkan kepadanya ialah sifat amanah.

Amanah adalah salah satu sifat terpuji (mahmudah), malah ia juga adalah satu daripada empat sifat wajib bagi Rasul. Oleh sebab amanahnya Rasulullah dalam melaksanakan perkara dipertanggungjawabkan kepadanya, Baginda diberi gelaran al-Amin oleh orang Arab Quraisy.

Perkataan amanah berasal daripada perkataan Arab ‘amanah’ yang dibahasa Melayukan. Dari segi bahasa ia bererti tenteram, aman, terselamat dan harmonis manakala dari segi nilai dan akhlak pula, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan dalam kepercayaan itu.

Dalam erti kata lain, amanah ialah tanggungjawab diterima seseorang dan kepadanya diberikan kepercayaan melaksanakannya sebagai mana dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia berasa tenteram, aman terselamat dan harmonis.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” – (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Dalam pengertian umumnya, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Suatu istilah lain yang memberi erti bertentangan dengannya ialah ‘khianat’.

Rasulullah menjelaskan mengenai sifat orang munafik bermaksud, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya.” – (Riwayat al-Bukhari). Dalam bahasa Melayu ‘khianat’ ini sering juga disebut ‘pecah amanah’.

Sesungguhnya seseorang mempunyai sifat amanah, tidak akan timbul di hatinya untuk melakukan sebarang pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara yang diamanahkan kepadanya.

Konsep ‘amanah’ ialah tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Hal ini boleh difahami daripada hadis Rasulullah bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seseorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

“Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.” � (Riwayat Muslim).

Hadis menjelaskan konsep amanah amat luas. Ia bukan saja berkait dengan sesuatu yang diamanahkan orang lain kepada kita saja, malah juga perlu beramanah terhadap diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan terhadap Allah.

Amanah terhadap diri sendiri adalah seperti kewajipan menjaga kesihatan tubuh badan, menyediakan keperluan diri seperti pakaian, makanan dan minuman termasuk berusaha memperbaiki masa depan dengan mengambil berat mengenai pelajaran.

Amanah seorang ayah pula ialah diperintahkan supaya memelihara dan memberi didikan kepada anak isteri dan membimbing mereka ke jalan yang diredai Allah. Secara mudahnya, semua manusia adalah dikehendaki beramanah.

Dalam Islam amanah adalah perkara pertama ditawarkan Allah kepada alam semesta seperti langit, bumi, gunung-ganang dan bukit bukau untuk memikul bebanan yang sangat penting iaitu bekerja mengabdikan diri mengikut peraturan tertentu. Tetapi semua makhluk itu menolak tawaran Allah itu kerana tidak sanggup memikul amanah yang sangat berat.

Umat manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah dibebankan kepadanya kehendak kehidupan terutama dalam menjalankan urusan pentadbiran menguruskan masyarakat semestinya dipelihara dan dikawal tanpa dicemari unsur merosakkan.

Sebarang kerosakan berlaku kepada urusan pentadbiran masyarakat dalam setiap bidang, maka ia perlu diperbaiki berdasarkan kepada amanah diserahkan kepadanya. Manusia perlu amanah kepada dirinya, keluarganya, kerjayanya dan negaranya di samping menunaikan amanah diserahkan agama.

Amanah adalah perkara yang sangat penting dalam menentukan masa depan atau hala tuju sesebuah masyarakat. Semua perkara yang dilakukan individu adalah berlegar di sekitar amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.

Dalam pembinaan masyarakat, amanah satu nilai dan etika terpenting. Dengan beramanah, kesejahteraan, keamanan dan keadilan dalam masyarakat dapat diwujudkan. Cirinya jelas tergambar di dalam tindakan seperti menggunakan masa dengan sebaiknya; membelanjakan harta awam mengikut peraturan ditentukan dan jauh sekali daripada melakukan rasuah dan pembaziran; dan menyiapkan kerja yang diamanahkan mengikut tempoh ditetapkan.

Sebenarnya, kecuaian di dalam menjalankan tugas, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dan melakukan tugas peribadi dengan berselindung di sebalik tugas rasmi boleh meruntuhkan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Dalam kata lain masyarakat akan menjadi kucar-kacir, porak-peranda dan melahirkan rasa ketidakpuasan hati disebabkan perbuatan tidak beramanah itu.

Amanah diletakkan sebagai satu nilai terpenting dalam masyarakat kerana sifat masyarakat itu sendiri yang bergantungan atau memerlukan antara satu sama lain. Orang kaya dan miskin, penjual dan pembeli, pemimpin dan pengikut, pegawai dan kakitangan, pemerintah dan rakyat bergantung antara satu sama lain. Begitulah pentingnya amanah dalam membina masyarakat.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 20, 2009.

 
%d bloggers like this: