RENUNGI KEHIDUPAN INGATI KEMATIAN


ASSALAMUALAIKUM WBT., MUSLIMIM MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan muslimin muslimat sekalian supaya meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangannya, sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

seruan

Laman Minda Penerbit Kali ini akan membicarakan tajuk “RENUNGI KEHIDUPAN INGAT KEMATIAN”.

putus-nikmat-dunia-11

Kita sediamaklum bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di mana bila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada.

putus-nikmat-dunia-22

Sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang berbunyi:

“Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga, saudara mara dan harta benda yang akan diwarisi oleh kaum keluaga.  Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan di akhirat.

putus-nikmat-dunia-3

Para alim ulama pernah berkata, kehidupan di dunia yang sementara ini, kadang-kadang menjadikan manusia lupa tentang kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi.  Maka kehidupan di dunia ini dianggap sebagai godaan terbesar yang boleh memesongkan manusia dari mengingati Allah SWT, kecuali bagi orang-orang yang berjaya mengurus kehidupan mereka dengan ketakwaan kepada Allah SWT, yang mana ketakwaan tersebut menjadi jambatan emas menuju ke syurga.  Persoalannya, mengapa Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa mengingati mati?.

Pertama: di antara sebab kenapa Islam menganjurkan umatnya supaya mengingati mati ialah, kerana manusia yang sentiasa mengingati mati akan dapat mendidik jiwanya menjadi rendah diri, tidak resah gelisah, tidak lupa diri dan sombong bahkan bersedia untuk menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kedua: mengingati mati adalah suatu kejadian yang pasti akan dialami oleh setiap manusia dan mati juga suatu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekalipun dan ianya pasti berlaku ke atas setiap diri manusia. Namun begitu, mengingati mati itu, bukanlah bermaksud memaksa diri untuk segera mati atau sengaja mendedahkan diri kepada kematian.

Ketiga: mengingati mati menjadikan diri seseorang itu lebih bersedia dan merancang kehidupan sebelum mati dan dapat mengingatkan dirinya untuk berhadapan dengan mati, dengan itu dia terdorong untuk meningkatkan ketakwaan dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Sebaliknya, bagi orang yang melupakan tentang kematian merupakan kesuatu perbuatan yang tidak dapat diterima akal dan termasuk di kalangan orang yang tidak bijak merancang masa depan, kerana sesungguhnya dengan mengingati kematian itu memberi kesedaran dan peringatan tentang kehidupan di dunia yang dilaluinya dan kehidupan di akhirat yang bakal ditempohi.

putus-nikmat-dunia-4

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud:

“Apabila seseorang dimasukkan nur (cahaya keimanan) maka hatinya akan menjadi lapang dan terbuka. Lalu sahabat bertanya : Apakah tandanya hati yang lapang dan terbuka itu?. Jawab Rasulullah SAW : Ada perhatian terhadap kehidupan yang kekal di akhirat dan timbulnya peringatan tentang tipu daya ini dan orang bersiap sedia mengahadapi mati sebelum datangnya ajal”.

Apabila seseorang telah disemadikan jasadnya di dalam kubur, pastinya ia keseorangan, tiada lagi kawan-kawan, tiada lagi ahli keluarga, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohan pertolongan. Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat.

putus-nikmat-dunia-5

Oleh itu, sebelum jasad diusung ke tanah perkuburan dan disemadikan disana, marilah kita memperkasakan diri dengan keimanan yang mantap dan ketakwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Di samping kita juga berdoa supaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang soleh yang sentiasa memperbanyakkan amal ibadah tanpa jemu dan putus asa yang mana bekalan amal soleh sahajalah yang dapat menyelamatkan manusia dari azab kubur dan seksaan di akhirat. Janganlah kita menjadi seperti orang yang hanya mengaku beriman di mulut sahaja sedangkan di dalam hati masih kufur kepada Allah dengan perilaku seharian seolah-olah mempersenda-sendakan ajaran islam.

Oleh itu, saya ingin menyeru dan mengingatkan agar kita semua sentiasa bersedia untuk mengahadapi kematian dengan berlumba-lumba melaksanakan perkara kebaikan dengan berbekalkan keimanan dan amal soleh.

putus-nikmat-dunia-6

Akhir kata, marilah kita sama-sama menlengkapkan diri kita dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya sebagai persediaan kita sebelum mati.

Sekian, wassalam.

Lokman Mohd Hashim, Penerbit Mutiara Islam



~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 24, 2009.

 
%d bloggers like this: