Tiada kompromi soal agama, Melayu


DALAM menuju kematangan politik, orang Melayu dilihat semakin tidak seia dan sekata.

AHMAD ZAHID HAMIDI


Perbezaan pendapat yang gagal ditangani dengan baik itu ternyata merugikan orang Melayu sendiri apabila semakin berpecah-belah. Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, perpecahan itu boleh diatasi sekiranya orang Melayu berbalik kepada faktor penyatu iaitu agama Islam.

‘‘Selain agama Islam, orang Melayu juga harus menerima hakikat bahawa kita berada di bawah naungan raja-raja Melayu,” katanya dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pertemuan sama, Ahmad Zahid turut berkongsi pandangan mengenai kecenderungan politik generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan bangsa, agama dan negara pada masa depan.

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan orang Melayu ketika ini?

AHMAD ZAHID: Orang Melayu ketika ini berpecah kepada empat kumpulan. Iaitu kumpulan di dalam UMNO, Pas, PKR dan kumpulan atas pagar. Bagi saya faktor penyatunya ialah agama Islam. Kerana itu juga saya sering menekankan supaya dalam soal-soal Islam jangan pernah kita berbeza pendapat.

Walaupun Islam mengizinkan perbezaan pendapat, tetapi dari sudut tasawufnya pendekatan yang harus digunakan untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan cara adabul ikhtilaf. Iaitu adab bagi menangani perbezaan pendapat. Itu mesti dilaksanakan.

Dalam hal ini apa yang saya lakukan ialah mengumpulkan pelbagai golongan sama ada ulama, cendekiawan Islam, aktivis, badan bukan kerajaan (NGO) Islam atau pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam bidang agama untuk duduk dalam satu wadah yang saya panggil Majlis Perundingan Islam Malaysia.

Di situ kita boleh membincangkan perbezaan di kalangan kita. Tujuannya bukan untuk berpecah tetapi untuk mendekatkan diri dalam menyelesaikan masalah mengenai keislaman demi kepentingan Islam dan orang Melayu keseluruhannya.

Kenapa orang Melayu dilihat lemah?

Kita tidak boleh salahkan orang lain apabila kita dilihat lemah. Sebab kita mengizinkan orang melemahkan kita. Ia juga kerana perbezaan pendapat tidak ditangani dengan baik. Kelemahan ini tidak boleh dibiarkan dengan lama.

Kita ibarat pokok yang tegak dan selama ini kita menjadi pokok rendang yang menjadi naungan kepada bangsa lain. Tapi pokok kita ini telah condong. Kecondongan inilah menyebabkan kumpulan yang dulunya kita anggap sebagai minoriti telah berada di pucuk pokok kita.

Perbandingan Melayu ada mengatakan kalau pokok itu condong, kura-kura pun boleh naik ke atas pokok itu. Inilah yang sebenarnya sedang berlaku.

Justeru bagaimana untuk menangani masalah ini?

Ada dua perkara kita boleh jadikan elemen sebagai senjata perpaduan. Selain Islam ialah raja-raja Melayu. Semua kumpulan Melayu yang berbeza pertubuhan, politik dan pendapat harus mengakui hakikat soal raja-raja Melayu. Bukan hanya menghormati Perlembagaan negara kita yang meletakkan taraf raja-raja Melayu di tempatnya, tetapi pada waktu sama kita sebenarnya berada di bawah naungan raja-raja Melayu.

Dalam hal ini raja-raja Melayu harus memberi perkenan kepada usaha penyatuan semula dan raja-raja Melayu jugalah yang menjadi tonggak utama kepada penyatuan Melayu ini.

Saya juga telah memulakan perbincangan dengan pemimpin parti politik Islam yang lain. Ada empat rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini. Kita telah bincangkan perkara ini dengan semua ahli UMNO, Pas, PKR dan mereka sependapat bahawa sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen, kita bincangkan terlebih dulu.

Kalau mahu ada perbezaan pendapat biarlah di luar sidang Dewan Rakyat. Perbincangan kali kedua akan diadakan selepas Perhimpunan Agung UMNO nanti. Ketiganya kita telah melakukan sekurang-kurangnya tiga aktiviti besar yang dapat sokongan semua. Bukan atas nama politik dan tidak ada tujuan tersirat dalam menuju ke arah politik pun.

Saya adakan Kongres Ekonomi Islam Ketiga iaitu selepas 37 tahun. Semua negeri hantar wakil dan cendekiawan Islam yang sependapat atau tidak dengan kerajaan juga hadir. Saya terkejut buat pertama kalinya dari hari pertama hingga ke hari keempat, dewan tidak pernah kosong. Maknanya semua kumpulan memperlihatkan minat dalam bidang ekonomi Islam.

Keduanya saya buat Bulan Dakwah yang juga tidak diadakan sejak 32 tahun. Kali terakhir bulan dakwah ini diadakan oleh Tun Syed Nasir yang ketika itu adalah Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Malaysia. Semua negeri juga terlibat dengan melancarkan bulan dakwah dan program selama kira-kira sebulan setengah. Program ini dipenuhi dengan pengisian yang pelbagai dan terfokus kepada semua kumpulan sasaran yang telah kita tentukan.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 24, 2009.

 
%d bloggers like this: