Hidupkan Kembali Roh Jihad


KITA masih lagi dalam kemeriahan menyambut maulid Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang ingat tarikh lahir nabi dan ada yang kabur. Apapun yang popular orang ingat Tahun Gajah tahun dilahirkan nabi yang agung itu.

Tahun Gajah adalah sempena seorang panglima yang bernama Abrahah yang bertekad untuk memusnahkan Kaabah.

Dengan mengumpul beratus gajah daripada Afrika akhirnya dia bergerak ke Makkah. Dipendekkan cerita tibalah di sebuah kampung sebelum tiba di Makkah, Abrahah merampas dua ratus ekor unta milik Abdul Muttalib yang menjaga Kaabah.

Bila sahaja Abdul Muttalib mengetahui untanya dirampas beliau bergegas menemui Abrahah. Selepas dipersilakan duduk, Abrahah bertanya: “Apa hajat datang? Jawab Abdul Muttalib: “Aku datang hendak mengambil untaku.”

Terkejut Abrahah seraya berkata: “Hairan aku, kenapa kamu lebih sayangkan untamu daripada Kaabah. Sepatutnya kamu minta aku supaya tidak serang Kaabah.”

Abdul Muttalib menjawab dengan satu jawapan yang masyhur, katanya: “Unta-unta itu milik aku dan aku adalah tuannya, adapun Kaabah itu ada tuannya iaitu Allah. Kalau kamu hendak serang Kaabah, berurusanlah dengan tuannya iaitu Allah.”

Memang benar kata Abdul Muttalib, bila sahaja Kaabah dikacau, Tuan Kaabah iaitu Allah menyerangnya dengan burung Ababil lalu hancurlah tentera bergajah itu dan terkenallah cerita itu, dirakamkan dalam sejarah dan turun satu surah “al-Fiil.”

Pada waktu Abrahah menyerang Kaabah penduduk Makkah ketakutan dan bersembunyi di sebalik bukit-bukit sekadar memerhatikan sahaja. Lima puluh hari selepas serangan itu lahirlah junjungan besar Nabi Muhammad.

Persoalannya kenapa Allah menghantar burung Ababil untuk melindungi Kaabah, sedangkan orang Makkah tidak beriman kepada Allah.

Kenapa pula sekarang ini ketika Baitulmaqdis diserang dan orang Palestin bermatian berjihad, Allah tidak menghantar burung Ababil sedangkan kita berdoa, kita solat hajat di seluruh dunia.

Sebenarnya peristiwa burung Ababil itu memang Allah yang menjaganya dan mempertahankannya. Bukan Allah tidak tolong kita umat Islam sekarang ini tetapi kita dulu yang tidak tolong agama Allah.

Sebenarnya walaupun orang Islam Palestin nampak kalah dan terbunuh jangan kita salah faham kematian ketika perang melawan Yahudi adalah mati syahid. Bukan kita kalah tetapi kita sebenarnya belum menang.

Hendak dapat pertolongan Allah tentu ada syaratnya. Kalau kita masih tidak cukup syarat bagaimana Allah hendak tolong.

Anak kita tidak lulus peperiksaan, bagaimana hendak tolong dia masuk universiti, syarat tidak cukup, begitulah kiasannya.

Burung Ababil adalah antara bantuan Allah. Ketika perang Badar tidak adapun burung Ababil yang datang melontar batu-batu. Tetapi Allah turunkan rasa takut di hati tentera musuh manakala hati sahabat menjadi begitu berani.

Bagaimana Allah hendak bantu ketika Israel menyerang Hamas? Kerana kita bersembunyi di sebalik harta dan kedudukan, jadi begitu penakut, lupa nikmat mati syahid dan roh jihad sudah mati.

Apabila roh jihad mati, kita pun mati keyakinan dan kemenangan pun mati. Marilah kita bersedia menjadi seperti burung-burung Ababil iaitu penyebab kepada pertolongan Allah.

Jangan hanya menjadi penonton tetapi menjadi pejuang. Jadikanlah maulid Rasulullah yang kita sambut ini sebagai “vitamin” yang akan kita suntik supaya hidup, berjuang seperti Rasulullah.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 10, 2009.

 
%d bloggers like this: