Sekalung Tahniah – Y.B Menteri di JPM Yang Baru


menteri-jpm-jamil

KUALA LUMPUR 9 April – Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memang tidak asing bagi mereka yang sering mengikuti program ceramah agama di kaca televisyen terutamanya rancangan Forum Perdana Ehwal Islam menerusi RTM1 setiap Khamis malam. Ketokohan serta kepetahannya membicarakan perkara bersangkutan hukum agama Islam berjaya menarik perhatian penonton hingga menjadikan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) ini cukup dikenali ramai.

Selain kerjayanya dalam tentera, Jamil yang fasih berbahasa Arab merupakan aktivis Islam yang aktif dan adalah anggota dalam Jawatankuasa Penasihat bagi Program Agama RTM. Berkelulusan Sarjana (Masters) dalam Pengajian Islam (Pengurusan Ekonomi Islam) pada tahun 2000 daripada Graduate School of Islamic and Social Sciences, Virginia, Amerika Syarikat beliau kini sedang menyiapkan tugasan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya (UM) pada tahun 1986.  Justeru tidak hairanlah sekiranya anak kelahiran Yan, Kedah ini mendapat kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membarisi barisan Kabinet barunya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Pelantikan Jamil dalam Kabinet meneruskan kesinambungan Brig. Jen. (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin yang juga merupakan Pengarah Kagat sebelum dilantik memegang portfolio yang sama dalam Jabatan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004.   Jamil, 48 tahun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 23 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam Kor Agama ATM dengan ditauliahkan sebagai Kapten (Tugas Iktisas) pada tahun 1986. Beliau diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan di Jabatan Arah Kagat daripada Pegawai Staf 3 Hinggalah Pegawai Staf 1 Perkhidmatan. Jamil kemudian dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada 1 April 2002 dengan jawatan yang sama sebelum memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Kagat pada tahun 2004.

brig_jen_jamil

Pada Oktober 2005, Jamil memegang jawatan Pengarah Kor Agama ATM dengan pangkat Brigedier Jeneral dan seterusnya beliau dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral pada 16 Januari tahun lepas yang mencatat sejarah apabila muncul sebagai Pengarah Kagat pertama yang dilantik sebagai Jeneral dua bintang. Jamil berkahwin dengan Datin Fatmawati Saidin dan mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan. Mengulas mengenai pelantikannya itu, Jamil berkata, elemen kekuatan dan disiplin ketenteraan yang disemai selama berkhidmat dalam ATM akan menjadi pendorong untuk beliau melaksanakan tugas. Beliau berkata, pelantikan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal keagamaan pada dasarnya mempunyai persamaan dengan Kagat yang diterajui selama ini. ‘Ini ialah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan bersama sokongan semua pihak, saya yakin amanat ini dapat dilaksanakan, untuk menerajui aspek hal ehwal keagamaan dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini,’ katanya. Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan secara langsung merupakan pengiktirafan dan penghormatan kepada warga ATM. Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Kagat Kolonel Kamaruddin Mamat berkata, pelantikan Jamil merupakan satu penghormatan kepada Kagat sebagai institusi keagamaan dan sepanjang menerajuinya terserlah daya kepimpinan dan karisma beliau yang cemerlang.

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim
Sumber: JAKIM

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 10, 2009.

 
%d bloggers like this: