Amanah Dalam Memimpin Organisasi Dituntut Oleh Islam


Allah S.W.T. dalam al-Quran dengan jelas berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)”

(An-Nisa’: 58).

Dalam konteks ayat ini boleh juga dimaksudkan kepada individu yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah organisasi. Amanah ini hendaklah diserah kepada seseorang yang berhak dan berkelayakan. Maju mundur sesebuah organisasi bermula dengan mutu kepimpinan yang dilantik. Kegagalan dalam proses perlantikan kepada yang layak akan memberi kesan yang malap kepada organisasi. Justeru itu terdapat beberapa kaedah dari sudut sistem untuk memilik seseorang untuk menerajui sesebuah organisasi. Di antaranya ialah melalui jawatankuasa hal mencari (search committee). Jawatankuasa ini hendaklah di anggotai oleh ahli-ahli yang berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak ia nampak cantik dari segi proses tetapi gagal memenuhi semangat dan tujuan jawatankuasa diwujudkan.

pemimpin-31

Pemimpin yang dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah organisasi itu sebagai satu amanah untuk menerajui organisasi tersebut mencapai ke tahap yang paling cemerlang. Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status quo prestasi organisasi tetapi disebaliknya berusaha untuk berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.

Kegagalan sesebuah organisasi berprestasi dengan cemerlang, kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan organisasi. Sikap negatif yang demikian banyak menimbulkan gejala kepada prestasi organisasi. Masyarakat tidak boleh membendung pemilihan pemimpin organisasi yang bermasalah. Bahkan usaha mempertahankan pemimpin yang tidak beramanah adalah kesilapan yang besar mengikut Islam.

pemimpin-1

Disamping itu kegagalan organisasi mungkin disebabkan pemilihan pemimpin yang tidak berkelayakan dan berpengalaman. Kelayakan bersandarkan kebolehan seseorang pemimpin menjayakan matlamat yang telah digariskan untuk organisasi. Pengalaman adalah pendedahan yang pernah dilalui oleh seseorang dalam tugasan yang berkaitan.

Pemimpin harus mempunyai anggapan bahawa mutu penghasilan organisasi adalah sebagai nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan tersebut memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya – iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja dalam sesebuah organisasi tersebut semoga mempertingkatkan mutu prestasi adalah usaha yang berterusan untuk ke semua lapisan pekerja. Amalan yang maju ini perlu dijadikan budaya dalam organisasi.

pemimpin-4

Untuk mewujudkan budaya tersebut tidak memadai pemimpin mempunyai sikap positif terhadap mutu tetapi sekaligus ia memerlukan kepada kemampuan memimpin secara kreatif dan inovatif semoga tuntutan positif terhadap mutu dapat diterjemahkan menjadi satu budaya yang sihat dalam organisasi tersebut. Kesemua lapisan warga organisasi perlu digembeling untuk menyumbang ditahap tertinggi dan sekaligus mampu berurusan sesama individu secara muafakat. Kecapaian ini bukannya mudah, bahkan ia memerlukan kebolehan pemimpin dengan seni kepimpinannya yang luara biasa.

pemimpin-5

Pemimpin juga seharusnya bersikap positif terhadap kebajikan kepada ke semua lapisan pekerja. Mementing kebajikan pekerja adalah satu ciri yang akan membawa kepada prestasi kejayaan organisasi tersebut. Pekerja adalah pelaksana kerja organisasi. Jika semangat bekerja di kalangan pekerja menurun sudah pasti prestasi yang bermutu sukar dapat dihasilkan oleh pekerja. Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan yang baik kerana kejayaan organisasi mampu dicapai oleh kemampuan memartabatkan kebajikan pekerja dan bukan faktor kemajuan teknologi sahaja. Bahkan tidak akan terdapat kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja.

Tepat dengan maksud tersebut perancangan yang syumul dan rapi dalam latihan warga organisasi perlu dibangunkan dengan secara berkesan. Kebajikan kepada pekerja yang utama ialah kemampuan kepimpinan organisasi secara berterusan meningkat kemampuan prestasi keseluruh warga organisasi. Setiap individu pekerja mahu meningkat dalam kedudukan kerjayanya. Kebajikan pekerjaan dengan kata lain ialah kemampuan pemimpin memajukan kerjaya setiap warga organisasi.

Islam melihat golongan pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi kepada majikan dan barisan pemimpin. Oleh itu gabungan yang padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan yang hak kepada golongan pekerja oleh majikan dan pimpinan organisasi.

Dalam usaha meningkat mutu prestasi organisasi, pemimpin juga semestinya memiliki pandangan dan wawasan yang jauh. Pemimpin sepatutnya mampu mengariskan arah tuju organisasi tersebut semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana yang makin mencabar. Kejayaan ini memerlukan kepada penguasaan kefahaman kepada keadaan semasa dan bersikap (futuristic ) kehadapan kepada apa yang jangka berlaku pada aktiviti organisasi masa hadapan.

pemimpin-6

Pemimpin organisasi dengan itu perlu memahami pergolakan politik, ekonomi, budaya hidup masyarakat dan hasrat negara untuk berperanan secara berkesan. Dalam suasana semasa yang kerap berubah, seseorang pemimpin tidak hanya mencukupi menguasai kemahiran profesional sahaja, ia seharusnya juga dapat menghayati harapan kepada apa bentuk perubahan yang akan berlaku.

Kejayaan yang perlu diterokai oleh sesebuah organisasi dalam negara khususnya organisasi perniagaan sepatutnya berbentuk kejayaan jangka panjang. Dalam era kesejagatan sekarang, kejayaan jangka panjang biasanya bergantung kepada kemampuan meluaskan penguasaan pasaran, termasuk pasaran antarabangsa. Dalam menghadapi persaingan antarabangsa mutu kepimpinan yang cemerlang mampu menerajui organisasi bersaing dengan organisasi antarabangsa. Pentas antarabangsa sepatutnya menjadi ukuran kepada kejayaan kepimpinan seseorang individu.

Di samping memiliki wawasan dan matlamat yang bertaraf sejagat, mutu kepimpinan dapat dinilai dan ditentukan kepada kemampuan pemimpin terbabit menterjemahkan wawasan organisasi kepada bentuk program dan kegiatan semoga hasil barangan dan perkhidmatan yang hendak dikeluarkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Banyak organisasi tidak beroperasi secara berkesan kerana kegagalan dan ketidakmampuan pemimpin organisasi tersebut menterjemah wawasan organisasi dalam bentuk aktiviti dan kegiatan atau jenis pengeluaran menepati hasrat organisasi tersebut. Pemimpin yang berjaya adalah mereka yang bersikap kreatif dan inovatif serta berkeinginan berusaha semoga organisasi tersebut sentiasa berada dibarisan hadapan dan mempengaruhi suasana pasaran.

Peningkatan mutu kepimpinan organisasi bagi Islam ialah untuk meningkat prestasi organisasi. Sekaligus ia juga meningkat kebajikan pekerja dan seterusnya masyarakat. Pemimpin sesebuah organisasi dengan itu sentiasa perlu berusaha meningkat prestasi organisasi yang dipimpinnya. Kejayaan sesebuah organisasi merupakan kejayaan sesebuah masyarakat. Pada masa kini pada lazimnya tugasan dilaksana melalui organisasi. Justeru itu, Nabi S.A.W. memperingatkan umatnya tentang amanah kepada memimpin dengan sabda baginda, yang dilapor oleh Ibn Umar yang bermaksud “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinan kamu.”

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 14, 2009.

 
%d bloggers like this: