Inovasi Asas Pacu Ekonomi Malaysia Berasaskan Pengetahuan


INOVASI adalah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara. Ia pemangkin yang menentukan acuan dan kepantasan negara untuk maju. Bagi Malaysia, ia teras peralihan kepada ekonomi diterajui teknologi dan penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing negara. Perubahan yang berlaku hari ini memerlukan kerajaan dan industri meletakkan inovasi serta daya kreatif sebagai faktor utama mencapai anjakan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sehubungan itu, negara perlu memperkasa landskap inovasi melalui rangsangan inspirasi dan mencanai idea baru, mengembang bakat sedia ada serta mengeksploitasi kemampuan kreativiti serta inventif modal insan negara pada peringkat maksimum.

Sejajar dengan itu, pihak industri juga perlu bergerak pantas menghasilkan produk lebih bernilai tambah serta berkesan memenuhi kehendak pasaran. Pendekatan proaktif dan bersepadu penting memenuhi keperluan Wawasan 2020 dan membolehkan Malaysia meletakkan dirinya sebaris negara lain yang lebih maju dan berpengaruh. Produk berinovasi yang dihasilkan tidak bermakna jika tidak dikomersialkan. Salah pendekatan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) apabila tercapai perjanjian pembelian teknologi.

Namun, sebelum teknologi dipasarkan, ia perlu diberi perlindungan sebagai harta intelek terlebih sama ada dalam bentuk paten, cap dagang, hak cipta, rahsia perniagaan atau reka cipta industri.

Pengkomersialan hasil R&D negara baru berkembang pada 1990-an yang sebelumnya lebih kepada memenuhi tuntutan akademik atau kajian ilmiah. Oleh itu, bagi negara sedang membangun seperti Malaysia yang baru mempergiatkan usaha pengkomersialan, sudah tentu kadar pengkomersialan negara masih rendah berbanding negara maju.

Peratusan pengkomersialan projek R&D bagi peruntukan dibiayai geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) kini dalam lingkungan 3.4 peratus berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Korea, di mana lima hingga 10 peratus hasil penyelidikan dapat dikomersialkan.

Namun, daripada prestasi R&D Malaysia berdasarkan pengukuran output (paten) menunjukkan trend meningkat. Jika dilihat secara khusus pada 2002, pemberian paten secara total meningkat daripada 1,492 kepada 2,347 pada 2004 dan meningkat hampir tiga kali ganda kepada 6,749 pada 2006. Peningkatan itu menunjukkan wujud tahap kesedaran yang bertambah baik terhadap kepentingan harta intelek.

Dalam konteks sama, statistik terkini daripada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia, kadar permohonan untuk memfailkan paten di seluruh dunia meningkat pada kadar purata 4.75 setahun.

Kadar itu setanding kadar purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia 5.6 peratus. Kerajaan akan sentiasa menitikberatkan konsep penyelidikan dan pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) untuk memastikan kadar pengkomersialan meningkat dari setahun ke setahun.

Strategi kerajaan mempertingkatkan pengkomersialan penemuan R&D ialah memperkukuh struktur sokongan dan institusi untuk usaha pengkomersialan hasil R&D melalui kepemimpinan dan tadbir urus berkesan.

Mosti juga meningkatkan kesedaran mengenai R&D serta menggalakkan pengkomersialan R&D dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk menjana R&D berkualiti selain menggalakkan pembangunan dan penggunaan serta aplikasi teknologi utama bagi menggalakkan R&D yang lebih didorong oleh pasaran.

Ia dapat dilihat dengan penggubalan Model Inovasi Negara pada 2007. Model itu mengutamakan aspek inovasi dengan menerapkan pendekatan seimbang iaitu di antara inovasi berpandukan teknologi dan inovasi berpandukan pasaran. Untuk meningkatkan lagi kadar pengkomersialan penemuan R&D dalam sektor awam, secara umumnya, Mosti menyediakan sumber pembiayaan komprehensif pada peringkat awal sehingga tahap pengkomersialan.

Ada agensi Mosti yang terbabit secara langsung dalam menggalakkan kegiatan pengkomersialan iaitu agensi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia Sdn Bhd (MTDC) yang ditubuhkan pada 1992. Tumpuannya ialah mengkomersialkan hasil penemuan penyelidikan oleh universiti dan institusi penyelidikan serta mengenal pasti dan memindah teknologi strategik untuk menggalakkan pertumbuhan perusahaan berasaskan teknologi di Malaysia.

Dua dana utama ditubuhkan di bawah MTDC iaitu Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) dan Dana Perolehan Teknologi (TAF). Objektif utama CRDF ialah mempromosikan pengkomersialan teknologi tempatan dan menyegerakan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan universiti, institusi penyelidikan, firma dan penyelidik individu atau pereka cipta tempatan.

Sementara itu, TAF pula bertujuan mempromosikan peningkatan teknologi melalui perolehan teknologi strategik dan relevan oleh sektor industri Malaysia. Separa geran juga disediakan untuk tujuan penempatan warga Malaysia dalam firma teknologi luar negara atau institusi peningkatan teknologi.

Meningkatkan kerjasama antara industri, kerajaan dan institusi penyelidikan bagi memastikan hasil R&D dapat dimajukan hingga ke peringkat pengkomersialan. Penekanan khusus diberikan kepada usaha mempertingkatkan kerjasama antara institusi penyelidikan dengan pihak industri.

Menambah kepakaran pengkomersialan dan keberkesanan pengurusan dalam unit pemasaran dan pengkomersialan di universiti dan institut penyelidikan. Mosti sering mengadakan bengkel dan seminar dengan menjemput pakar dalam bidang ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 16, 2009.

 
%d bloggers like this: