Siri 1 : Umat Islam Patut Rebut Rahmat Pagi Sepertiga Malam


Islam Tuntut Lakukan Ibadah Wajib Dan Sunat Yang Beri Manfaat Kepada Jasmani, Rohani

Sebahagian kita membiarkan waktu pagi berlalu begitu saja tanpa melakukan kegiatan produktif sedangkan pagi adalah waktu paling menguntungkan dan penuh harapan. Permulaan yang baik selalunya menjanjikan perjalanan hari yang baik.

Perancangan serta penyusunan kegiatan perlu bagi memastikan hari bakal mendatang penuh dengan perkara bermanfaat. Justeru, bagi memastikan pagi yang lancar jangan biasakan berjaga pada malam. Tidur awal bagi mendapatkan cukup rehat dan menyegarkan badan. Namun, itu tidak sepatutnya menghalang kita berjaga pada tengah malam untuk bangun dan bersolat yang memberi banyak kelebihan. kepada jasmani serta rohani. Memang kita memerlukan tidur yang cukup sebagai persediaan bangun awal keesokan pagi tetapi pada masa sama, perlu diakui kegiatan tengah malam selepas tidur sekejap juga boleh memberi tenaga tambahan untuk menghadapi esok yang menanti pelbagai perkara sama ada diduga atau tidak. Justeru, jangan jadikan alasan mendapat tidur yang cukup untuk mengelak bangun sepertiga malam akhir, bermunajat serta memohon kebaikan kepada Allah kerana hikmah solat tengah malam ini banyak dan terpulang kepada kita mencapainya.

Kelebihan solat malam dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud:

“Apabila seseorang itu jaga daripada tidurnya pada malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya menunaikan dua rakaat solat, nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebutkan Allah.”

(Hadis riwayat Ibnu Hibban dari Abu Said)

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya adalah sebaik-baik waktu untuk beribadat dan berhubungan dengan Allah. Waktu itu juga sesuai meningkatkan keimanan dengan bangun mendirikan solat serta bermohon kepada Allah.

Firman Allah bermaksud:

“Dan pada waktu malam bangkitlah solat tahajud sebagai solat tambahan bagi ibadahmu semoga Allah membangkitkanmu pada hari akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’, ayat 79)

Waktu solat malam itu luas, ia boleh dikerjakan pada awal, pertengahan malam dan akhir malam selama solat itu dilakukan selepas Isyak. Menurut al-Hafiz, Rasulullah SAW tidak solat malam waktu tertentu, malah Baginda solat mengikut kesempatan dan keselesaan tetapi waktu afdal ialah pada tengah malam iaitu sepertiga malam. Namun, seseorang tidak disuruh mengerjakan solat malam dengan memaksakan diri secara keterlaluan. Amalan sedikit tetapi tekun adalah lebih baik daripada banyak tetapi jarang dilakukan.

Nabi SAW menjamin orang yang mengerjakan solat malam, maka ia bakal memperoleh semangat dan kesegaran pada pagi harinya. Sebaliknya, barang siapa yang tidak berpeluang bangun dan solat malam, maka pada pagi hari ia bakal memiliki perasaan buruk dan malas.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu apabila ia tidur dengan tiga ikatan. Syaitan mengikat setiap simpul ikatan atas kamu dengan mengucapkan: “Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah”

“Apabila ia bangun dan berzikir kepada Allah maka terbukalah satu ikatan. Apabila ia berwuduk, terbukalah pula satu ikatan. Apabila ia solat, terbukalah satu ikatan. Maka pada pagi hari ia penuh semangat dan segar. Jika tidak, nescaya pagi hari perasaannya buruk dan malas.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Pastikan diri tidak kesiangan solat Subuh. Usahakan untuk solat Subuh berjemaah di masjid, surau atau musalla kerana solat berjemaah dapat membersihkan hati daripada penyakit munafik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi kaum munafik adalah solat Isyak dan Subuh (berjemaah). Andai mereka tahu apa manfaat di dalam kedua-duanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dengan merangkak.”

(Hadis riwayat Muslim)

Bagi menjamin permulaan pagi yang baik, jangan tidur selepas solat Subuh.  Kita perlu segera mengisi waktu dengan kegiatan bermanfaat seperti membaca buku, berjoging, olah raga, menulis buku atau berniaga. Hal itu biasa dilakukan sahabat Nabi SAW bernama Sakhru Wada’ah. Orang yang tidur ketika pagi sengaja membiarkan dirinya tidak menjadi sebahagian daripada umat Islam yang didoakan Nabi SAW memperoleh berkat Allah.

Alangkah ruginya orang yang sengaja membiarkan pagi berlalu begitu saja tanpa melakukan sebarang kerja bermanfaat dan produktif. Tidak hairanlah jika Nabi SAW menggerakkan pasukan perangnya untuk berjihad pada awal pagi sehingga pihak musuh terkejut dan tidak bersiap sedia menghadapinya.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: BH Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 16, 2009.

 
%d bloggers like this: