GARIS PANDUAN SAMBUTAN HARI BAPA, IBU, KEKASIH DAN YANG SEUMPAMANYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


picture21

PENDAHULUAN

Garis Panduan Sambutan Hari Bapa, Ibu, Kekasih dan yang Seumpamanya Menurut Perspektif Islam ini disediakan untuk dijadikan sebagai asas rujukan kepada seluruh lapisan masyarakat Islam di Negeri Selangor agar segala acara sambutan yang bersempena dengan hari atau tarikh-tarikh tertentu dapat diraikan mengikut ruang lingkup perspektif Islam.

Islam adalah agama yang syumul dan merupakan suatu sistem kehidupan yang diatur dengan bijaksana serta keluhuran dalam membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek. Islam juga adalah agama yang bersifat sejagat, hatta tiada satu pun perkara yang tidak disentuh oleh Islam.

Garis panduan ini boleh digunapakai oleh para ibu bapa, anak-anak, para pendakwah serta seluruh warga Negeri Selangor amnya untuk difahami dan dihayati kandungannya agar matlamat untuk melahirkan insan syumul dan keluarga sakinah beroleh kejayaan.

DEFINISI ISTILAH

Sambutan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, sambutan ditakrifkan sebagai penerimaan, cara-cara meraikan atau menyambut sesuatu.

Hari Bapa

Hari Bapa merupakan suatu hari yang bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Ia disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia serta melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain lain aktiviti kekeluargaan.

Hari Ibu

Hari Ibu yang disambut di sebahagian negara Eropah dan Timur Tengah telah mendapat pengaruh dari kebiasaan memuja” Dewa Kronus dan ibu para dewa dalam sejarah Yunani kuno.

Di Amerika Syarikat dan lebih dari 75 negara lain seperti Australia, Kanada, Jerman, Itali, Jepun, Belanda, Malaysia, Singapura, Taiwan dan Hong Kong, Hari Ibu disambut atau diraikan pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei.

Hari Kekasih

Hari Kekasih atau Valentine’s Day sebagaimana yang difahami ialah hari di mana dua insan yang berkasih sayang atau sepasang kekasih yang sedang bercinta meraikan percintaan dan kasih sayang mereka. Budaya ini disambut pada tanggal 14 Februari setiap tahun.

Perspektif Islam

Perspektif adalah pandangan atau pentafsiran yang wajar dan mengambilkira sesuatu perkara secara keseluruhannya. Islam adalah agama yang di dalamnya terkandung ajaran yang meliputi aspek aqidah, syariah dan akhlak. Semua aspek dalam Islam sama ada dari sudut teori dan praktiknya perlu difahami dan diterapkan dalam bentuk yang komprehensif sesuai dengan maksud Islam sebagai cara hidup (nizam al-hayah).

KRITERIA UTAMA DALAM MENENTUKAN SAMBUTAN HARI BAPA, IBU, KEKASIH DAN YANG SEUMPAMANYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Kasih sayang dalam Islam adalah untuk sepanjang masa. Ia bukan hanya ditetapkan dalam tempoh masa atau hari yang tertentu sahaja untuk menzahirkan kasih sayang.

Percanggahan dari perspektif Islam:

Perlakuan segelintir daripada kalangan masyarakat masa kini yang meraikan atau menzahirkan kasih sayang pada tempoh atau hari tertentu dalam kalendar masihi seperti Hari Kekasih, sebenarnya tidak selari dengan kehendak syara’.

Dalam kalendar masihi, setiap tarikh adalah merupakan hari peringatan kepada Saint yang tertentu iaitu bermula dari 1 Januari hingga 31Disember setiap tahun. Perkataan Saint membawa maksud wali atau rasul bagi agama Kristian. Hanya paderi yang dipercayai mempunyai mukjizat, banyak menyumbang kepada gereja serta banyak membuat kebajikan akan diiktiraf dan diberi gelaran ini.

Konsep kasih sayang tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Kasih sayang yang paling utama ialah terhadap Allah s.w.t., diikuti Rasulullah s.a.w., kedua ibu bapa, suami, isteri, anakanak, ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan seterusnya. Ianya hendaklah dibatasi dengan syaratsyarat yang telah digariskan dalam Islam termasuklah dalam aspek menjaga perhubungan antara bukan mahram dan maruah individu itu sendiri.

Kasih sayang dalam Islam dapat dikategorikan kepada tiga:

Pertama: Kasih Pencipta (Allah s.w.t.) kepada hamba-Nya. Kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya adalah kasih yang berkekalan.

Kedua: Kasih hamba kepada Pencipta. Kasih hamba kepada Pencipta adalah berlandaskan keimanan dan ketaqwaan.

Ketiga: Kasih makhluk sesama makhluk. Kasih makhluk sesama makhluk sifatnya tidak berkekalan, kerana ia bergantung kepada keadaan Kasih sayang sesama makhluk tidak boleh melebihi kasih sayang dan kecintaan terhadap Allah s.w.t.

Percanggahan dari perspektif Islam:

a) Perlakuan segelintir individu yang menzahirkan kasih sayang dan kecintaannya kepada golongan tertentu seperti golongan artis sebagai idola sehingga pada tahap mengagung dan memuja adalah melampaui kasih sayang terhadap Allah s.w.t. dan rasulNya.

b) Pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram yang menzahirkan kasih sayang dan kecintaannya hingga menggadai maruah dan kehormatan diri.

c) Ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak mengambil tahu siapa rakan anak-anaknya, ke mana ia pergi dan waktu bila seharusnya anak-anak berada di rumah sebenarnya belum lagi menunaikan tanggungjawab dan amanah Allah dalam mendidik anak-anak sekalipun ianya telah dewasa.

d) Kasih sayang yang dizahirkan berdasarkan darjat, pangkat, gelaran dan kekayaan adalah palsu semata-mata tanpa di dorongi hati yang ikhlas.

e) Kasih sayang yang membezakan bentuk dan fizikal manusia hingga meminggirkan warga emas, kanak-kanak, golongan orang kurang upaya dan kurang berkemampuan.

Sambutan yang dilakukan tidak menjejas atau merosakkan aqidah, syariah dan akhlak seseorang individu Muslim. Setiap individu Muslim hendaklah mempastikan bahawa setiap langkah yang diambil dalam kehidupannya akan membawa natijah yang baik. Bagi mendapatkannya, setiap perbuatan atau perlakuan haruslah didahului dengan usaha dan perancangan yang baik dalam menghasilkan sesuatu.

Ekoran daripada itu, setiap ancaman yang boleh merosakkan ‘maqasid al-syariah’ atau prinsip asas syariah iaitu memperuntukkan manusia supaya menjalani kehidupan dengan menjaga dan mempertahankan agama, akal, nyawa, keturunan dan harta sewajarnya hendaklah dihindarkan.

Percanggahan dari perspektif Islam:

a) Sambutan yang berunsur maksiat seperti percampuran atau pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

b) Sambutan yang diraikan dengan perkara yang haram seperti meminum arak, berzina, meniup lilin (menyerupai amalan agama Majusi) dan sebagainya.

c) Sambutan yang bersifat melalai atau melekakan individu akan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t. dan agamanya.

d) Sambutan yang dilakukan bersifat hiburan yang melampau dan di tempat-tempat yang dikategorikan sebagai tempat maksiat seperti pesta tertutup, kelab-kelab malam atau pusat karaoke dan sebagainya.

SAMBUTAN YANG DIANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir. Sambutan yang baik adalah dengan cara mengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarahmenziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.

Sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang mahabbah.

Setiap ibu bapa perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.

Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.

Setiap ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat, dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.

Setiap ibu bapa perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak.

Setiap ibu bapa perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Setiap ibu bapa mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.

Didikan agama yang sempurna adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.

PENUTUP

Harus diingat, mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri.

Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga dengan adanya garis panduan seperti ini akan dapat membantu umat Islam bagaimana untuk meraikan sambutan Hari Bapa, Ibu, Kekasih dan yang seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 27, 2009.

 
%d bloggers like this: