IBU BAPA ALPA LAKSANA AMANAH ANTARA PUNCA ANAK DERHAKA


ajar-anak_2ALLAH memerintahkan kita berbakti kepada kedua orang tua dan berbuat baik terhadap anak serta bersungguh dalam mendidik mereka kerana perbuatan itu termasuk sebahagian daripada menunaikan amanah Allah.

Melalaikan hak ibu bapa dan anak termasuk perbuatan khianat terhadap amanah Allah. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Hai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Anfal, ayat 27)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin lalu ia mati (sedangkan pada) hari kematiannya dalam keadaan mengkhianati amanahnya itu, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Meskipun ibu bapa mengetahui mendidik anak adalah tanggungjawab besar, masih ramai yang lalai dan menganggap remeh perkara itu. Kemudian, apabila anak derhaka, melawan orang tua atau menyimpang daripada aturan agama baru mereka menyalahkan anak.

Sedihnya, ramai tidak sedar sebenarnya ibu bapa juga menjadi penyebab utama sikap derhaka. Ada kelalaian atau kesilapan dalam mendidik anak yang tanpa disedari memberi saham kepada munculnya kenakalan remaja serta sikap durhaka kepada orang tua antaranya:

  Menumbuhkan rasa takut pada anak ketika mereka menangis dengan harapan berhenti dengan gambaran hantu, jin atau suara angin. Akibatnya, anak menjadi penakut seperti takut kepada bayang sendiri dan takut pada sesuatu yang sebenarnya tidak perlu ditakuti.

Contohnya, takut ke bilik mandi dan tidur sendiri kerana mendengar cerita hantu, jin. Ibu bapa tidak sepatutnya menakutkan anak.

  Mendidik anak menjadi sombong dengan niat supaya mereka menjadi berani. Berani tidak harus dengan bersikap sombong atau bongkak kepada orang lain.

  Membiasakan anak hidup berfoya-foya dan bermewah kerana yang mendorong mereka suka bersenang-senang, mementingkan diri dan tidak peduli keadaan orang lain. Mendidik anak seperti ini merosak fitrah, membunuh sikap bersederhana dan bersyukur.

  Selalu memenuhi permintaan anak kerana ada ibu bapa yang sedaya upaya menunaikan semua kehendak anak mereka. Sedangkan, tidak setiap yang diinginkan anak itu bermanfaat atau sesuai dengan usia serta keperluannya.

Jika anak biasa dipenuhi segala permintaannya, mereka tumbuh menjadi anak yang tidak peduli nilai wang dan kesusahan mencari rezeki. Mereka juga tidak tahu membelanjakan wang dengan baik.

  Mengalah dengan anak semata-mata tidak tahan mendengar tangisan mereka juga perlu difikirkan semula ibu bapa. Memang memberi apa diminta akan menghentikan tangisan tetapi ia menggalakkan sifat mengugut dengan menggunakan tangisan sebagai senjata.

  Terlalu berkeras juga tidak baik seperti memukul atau memarahi dengan suara tinggi. Ada ibu bapa menggunakan bahasa kasar ketika memarahi anak dan ada kalanya sikap itu menyebabkan anak kecil hati dan ada yang menyimpan dendam kerana tidak suka dimarah atau ditengking.

  Ada juga ibu bapa yang kedekut sehingga anak berasa tidak disayangi apabila permintaan atau keperluan tidak dipenuhi. Jangan terkejut jika disebabkan sikap kedekut ibu bapa, anak mula mencuri demi memenuhi keinginan mereka.

  Tidak memberi perhatian serta kasih sayang menyebabkan mereka mencari kasih sayang di luar rumah. Keadaan ini banyak terjadi dan menyebabkan anak terjerumus dalam pergaulan bebas. Anak yang tidak mendapat perhatian keluarga senang berpaling kepada rakan sebaya.

Jika tersalah pilih kawan, mereka akan rosak. Justeru, ibu bapa perlu mengambil perhatian mengenai pemilihan rakan anak takut memberi pengaruh negatif dan paling penting memberi kasih sayang secukupnya bagi membina keluarga bahagia.

  Ada juga ibu bapa yang terlalu menumpukan keperluan material anak sehingga terlupa kepentingan rohani sedangkan yang penting bagi memastikan pembinaan sahsiah seimbang dari aspek keperluan duniawi dan ukhrawi.

  Ibu bapa perlu ada rasa syak wasangka terhadap anak tetapi perasaan itu biar bertempat serta berasas kerana ada ibu bapa terpedaya dengan kebaikan anak hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka terbabit dengan aktiviti tidak baik.


Ibu bapa yang sangat percaya kepada anak tetapi tiba-tiba mendapati anaknya terbabit dadah, pasti akan terkejut dan tertanya-tanya kenapa perkara itu boleh berlaku. Berwaspada lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.

Itu antara kesalahan dilakukan ibu bapa sama ada antara sedar atau tidak. Justeru, ibu bapa bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dengan ilmu keibubapaan supaya dapat mendidik anak serta melayari kehidupan keluarga yang dipenuhi kasih sayang.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 27, 2009.

 
%d bloggers like this: