Menceriakan Pembelajaran Di Sekolah


kaedah pembelajaran perlu dipelbagaikan agar murid tidak cepat jemu.

Kini kita berada diakhir bulan April, bermakna sudah lebih separuh penggal pertama sesi persekolahan berlalu. Bagi sesetengah pelajar kolej atau universiti pula, mungkin ada yang sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester, atau sudah mula bercuti.

Jika pada awal tahun, para pelajar begitu bersemangat untuk melalui sesi persekolahan yang baru, bersama azam baru dan juga kelengkapan baru.

Namun, ketika ini, mungkin semangat itu tidak sekuat dahulu, malah dibebankan lagi dengan tugasan dan kerja rumah beserta tekanan terhadap peperiksaan yang bakal menjelang.

Lalu kedengaran pelbagai insiden salah laku pelajar yang berlaku, umpamanya kegagalan menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan, meniru dalam peperiksaan, atau juga gejala ponteng sekolah.

Kemudiannya, apabila dikaji punca berlakunya kemerosotan disiplin pelajar, pelbagai faktor diperoleh, iaitu sikap serta kemampuan pelajar itu sendiri, kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan, subjek terlalu sukar, dan juga faktor-faktor yang lain.

Namun, dalam pada kita berusaha menyediakan suasana terbaik dalam mendidik para pelajar kita, kita perlu menyedari bahawa faktor motivasi dalaman pelajar itu sendiri merupakan aspek kekuatan sebenar yang perlu dijana. Ini supaya pelajar dapat sentiasa menghadapi cabaran dalam pembelajarannya.

Perkara ini perlu kepada penyuburan ilmu serta kesedaran terhadap pelajar bersama bimbingan yang berketerampilan daripada ibu bapa dan guru. Hasilnya diharap pelajar bukan sahaja dapat terdorong untuk cemerlang dalam akademik malahan mempunyai daya kepimpinan mandiri untuk terus memajukan diri sendiri.

Dalam membina motivasi belajar, pelajar perlu memahami mengapa perlu ke sekolah untuk belajar, yakni “apa pentingnya belajar untuk jadi pandai, lulus periksa” bak kata mereka. Jawapan kepada persoalan asas inilah yang perlu difikirkan dan dijiwai oleh para pelajar sebagai orang yang sedang menuntut ilmu.

Hal ini sebenarnya merujuk kepada aspek niat para pelajar untuk ke sekolah. Adakah ke sekolah itu hanya untuk suka-suka sahaja, atau sekadar untuk bertemu dengan rakan-rakan? Atau ke sekolah hanya kerana disuruh oleh ibu bapa dan sebagainya?

Maka apa yang difikirkan oleh pelajar itulah merupakan gambaran persepsi dan emosi terhadap sekolah dalam kotak fikiran pelajar. Jika ke sekolah hanya untuk suka-suka menghabiskan masa maka sekolah itu hanya menjadi tapak permainan untuknya.

Jika ke sekolah itu kerana terpaksa maka persekolahan itu menjadi beban dan membosankan untuknya. Lalu akan sentiasa terlintas di benak fikiran pelajar itu untuk ponteng daripada hadir ke sekolah, supaya dia dapat melakukan sesuatu yang dianggap lebih menyeronokkan.

Justeru, apakah yang perlu difahami pelajar berkenaan persekolahan mereka? Secara dasarnya, apabila pelajar ke sekolah, pelajar dapat berhimpun serta mengikuti pengajaran daripada guru-guru. Hal ini membolehkan proses penyampaian ilmu berlaku daripada guru kepada pelajar.

Maka persekolahan itu merupakan satu usaha untuk menuntut ilmu. Mengapa kita perlu menuntut ilmu? Ini kerana ilmu yang bermanfaat itu amat penting untuk membimbing kita melalui kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Sebagai Muslim, kita wajib menuntut ilmu sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW.

Dengan ilmu kita dapat mengenal Pencipta kita, dengan ilmu kita dapat memahami maksud kehidupan kita di dunia ini, dengan ilmu kita dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang halal dan yang haram, yang benar dan yang batil.

Dengan ilmu bahasa kita dapat berkomunikasi dengan orang lain, dengan ilmu matematik kita dapat melakukan pengiraan. Dengan ilmu agama kita dapat membentuk diri menjadi Muslim sejati, dengan ilmu sejarah kita dapat mengambil pengajaran peristiwa lalu, dengan ilmu sains kita dapat memahami fenomena alam sekeliling.

Tanpa ilmu, kita bakal hidup tanpa pedoman dan tujuan. Umpama kapal yang berlayar tanpa arah tujuan dan panduan, entah ditemui daratan ataupun tidak. Malah mungkin bakal hanyut di tengah lautan, lalu terdedah kepada cabaran ribut taufan yang boleh menyebabkan kapal menjadi karam.

Pendek kata, setiap daripada ilmu bermanfaat yang kita pelajari di sekolah adalah berguna untuk kita, jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang. Oleh itu adalah amat merugikan sekiranya kita terlepas mengikuti pengajaran guru sama ada kerana ponteng kelas mahupun disebabkan oleh kurangnya tumpuan ketika di dalam kelas.

Dalam kehidupan pada era teknologi maklumat ini, faktor ilmu menjadi semakin penting untuk dikuasai. Urusan kehidupan kini menjadi lebih kompleks yang memerlukan kita untuk cepat menguasai ilmu yang berkaitan. Tetapi, ilmu yang dipelajari di sekolah tetap penting sebagai asas untuk memahami ilmu lanjutan.

Persekolahan juga adalah wadah untuk kita mengubah nasib diri, bangsa dan umat. Andai kita ingin keluar daripada belenggu kemiskinan dan kejahilan, persekolahan membolehkan kita mendapatkan ilmu dan pendidikan dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Persekolahan juga adalah medan buat para pelajar untuk berjuang dalam bidang ilmu. Situasi umat Islam yang ketinggalan dalam pelbagai bidang termasuk keilmuan amat mengharapkan generasi mudanya menyelusuri pendidikan sehingga menjadi pakar dalam bidang masing-masing, dan seterusnya mencetuskan kemajuan buat umat.

Pada masa yang sama, pelajar perlu menyedari bahawa peperiksaan adalah sebahagian kayu pengukur pemahaman pelajar dalam pelajaran, dan penting untuk dijayakan demi kelangsungan pendidikan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Tetapi, apa yang lebih penting, persekolahan itu secara keseluruhannya merupakan satu proses transformatif atau pembentukan generasi muda yang setelah tamatnya persekolahan, mereka memiliki keupayaan berfikir yang hebat tetapi berpedoman, serta ilmu dan kemahiran bermanfaat yang berpotensi dibangunkan lagi.

Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com

Sumber: Hal Ehwal Pelajar, UM Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 28, 2009.

 
%d bloggers like this: