ANTARA SOLAT DAN YOGA


solat-yoga-1Islam sebuah agama dan cara hidup yang lengkap dan sempurna. Ia menawarkan pelbagai kaedah pengajaran dan amalan untuk kehidupan dan kesihatan manusia samada dari sudut rohani, jasmani, fizikal, intelektual mahupun emosi. Antara salah satu amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan kesihatan manusia adalah solat. Ianya terbukti melalui banyak kajian yang telah dilakukan sama ada oleh umat Islam mahupun saintis Barat. Lebih mengkagumkan ibadah solat bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan tetapi mampu merawat penyakit.

Hakikatnya solat mampu memberi ketenangan hati, kerendahan diri dan penyembuh jiwa. Ini jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, An-Nasai, Al Hakim dan Al-Bahaqi daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Dijadikan penyenang mata (hati) ku dalam solat”

Namun terdapat golongan yang mengatakan solat adalah satu bentuk senaman yoga. Hakikatnya ibadah solat sangat berbeza dan tidak boleh disamakan dengan mana-mana senaman di dunia ini. Solat adalah zikir yang paling mulia. Di dalam al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, “Berkata Imam Nasafi, (ayat ini menunjukkan) solat adalah lebih besar dari segala ketaatan yang lain”.

Berhubung dengan yoga, “Journal Of The Royal Societyof Medicine” menganggapnya sebagai “Salah satu sistem pembangunan insan yang tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani”. Oleh sebab kesannya yang positif, yoga menjadi popular pada hari ini. Doktor-doktor di Havard sering kali menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga bertujuan bagi menjaga kesihatan.

Sekiranya dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga dalam solat. Solat adalah ibadah yang menrangkumi “jasad, roh dan akal”. Ia mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu dikenali sebagai sebagai rukun fi’li. Ia juga memtingkan gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi. Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dansujud-2 ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir. Salah satu kedudukan terpenting dalam solat adalah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan itu darah dari jantung turun ke otak dengan mudah sekali.

Di samping itu orang ramai juga telah berhujah bahawa yoga hanyalah satu latihan pernafasan dan untuk menghubungi “minda separa sedar” di dalam usaha meleraikan ketegangan dan penyembuh sebarang penyakit. Tidak dinafikan pengaturan pernafasan memang satu keperluan untuk membebaskan ketegangan saraf serta membekalkan oksigen ke dalam jantung manusia supaya aliran darah dapat berjalan lancar dan yang demikian minda dapat berfungsi dengan sempurna dan seimbang.

Hakikatnya Islam sendiri telah menekankan aspek pengaturan pernafasan seperti yang diajar dalam ilmu-ilmu tasawuf. Malah di dalam Al-Quran juga mengajar supaya umat Islam menitikberat tentang disiplin dalam setiap amalan bagi mengawal minda. Solat itu sendiri misalnya menjaga segala aspek seperti bilangan rakaat, pegerakan tubuh badan dan waktu solat yang ditetapkan. Malahan dituntut bangun malam untuk bertahajud juga merupakan salah satu cara untuk meleraikan ketegangan dan mencari ketenangan.

solat-31Setiap rukun dan syarat dalam solat banyak mengandungi hikmah dan kebaikan dari sudut sains yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa jua pun. Ia adalah merupakan “senaman” fizikal yang bertindak untuk menyeimbangkan cas positif dan negatif di dalam tubuh badan manusia.

Ibadah solat juga mementingkan penjagaan kebersihan. Oleh itu gabungan kebersihan dan pergerakan dapat membantu mengekalkan kesihatan, melancarkan perjalanan darah dan memberi kecergasan pada tubuh badan.

Jelaslah di dalam Islam telah ada ajaran-ajaran yang meruntun kepada aspek psikologi dan spritualiti yang jauh lebih baik dan sempurna. Ibadah solat jauh lebih baik daripada senaman yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu dan pengabdian terhadap kewujudan Allah s.w.t. yang satu.

Oleh yang demikian betapa perlunya umat Islam mendapat pendedahan ilmu agama yang secukupnya terutama ilmu Tauhid dan Ibadah di dalam menolak segala unsur yang boleh menggelincirkan aqidah umat Islam.

Penyusun: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: Pusat Islam Dan Dakwah WP

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 30, 2009.

 
%d bloggers like this: