MENCARI KEREDAAN ALLAH S.W.T. DALAM ETIKA KERJA ISLAM


etika-kerja-islam-front-cover etika-kerja-islam-heading

Keunggulan etika kerja Islam ialah meletakkan keredaan Allah S.W.T. sebagai perkara utama. Segala bahan dan sumber dimanfaatkan untuk mencapai matlamat kesejahteraan ummah dalam usaha mendapatkan keredaan Allah SWT.

Di samping itu, konsep kerja Islam memberi penekanan pentingnya meningkatkan kekuatan diri termasuk menimba pengetahuan serta kemahiran yang memberi keyakinan seseorang melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Bagi memastikan kerja dilakukan berjalan dengan teratur dan lancar, seseorang pekerja hendaklah mempunyai sikap dan penilaian positif memenuhi amanah. Sudah tiba masanya setiap pekerja memantau sendiri indeks pencapaian prestasi masing-masing.

Pada masa sama, tujuan utama bekerja juga perlu jelas kerana itu akan menentukan apakah rezeki diterima untuk diri serta keluarga daripada sumber yang halal dan apakah sumbangan dibuat menepati apa diharapkan.

Namun, tujuan utama bekerja bukanlah semata-mata mendapatkan keuntungan berbentuk material saja, yang lebih penting adalah memenuhi tuntutan atau tanggungjawab moral dan agama yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. .

Sesungguhnya Allah S.W.T. sudah menyediakan semua keperluan manusia untuk hidup di muka bumi ini. Oleh itu, manusia seharusnya mencari, mengusahakan dan menggunakan sumber itu supaya dapat dimanfaatkan dengan cara bersungguh-sungguh.Segala usaha dilakukan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan sebagainya termasuk dalam lingkungan ibadah dituntut Allah S.W.T..  Segala tanggungjawab dan amanah yang ditunaikan dengan baik dicatatkan sebagai amal kebajikan dan diberi ganjaran pahala oleh Allah S.W.T. .

Perkara itu dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

surah-al-nahl

Perkara ini juga disebut Rasulullah S.A.W. dalam sabda yang bermaksud:

sabda-nabi-1

Sabda Baginda S.A.W. lagi yang bermaksud:

sabda-nabi-2

Jelaslah bekerja adalah sesuatu yang sangat dituntut dan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Islam berbanding sikap suka meminta-minta kerana keadaan itu bukan saja membuat orang lain tidak selesa tetapi boleh menimbulkan kemarahan apabila yang datang adalah seorang mempunyai kudrat untuk melakukan pekerjaan.

Sikap menganggap pekerjaan atau tugas dilakukan sebagai rutin harian dibuat secara spontan setiap hari juga perlu dielakkan. Setiap pekerjaan perlu kepada perancangan, etika, peningkatan mutu supaya yang bekerja melaksanakan amanah dan hasilnya memberi manfaat kepada semua.

Apabila hilang rasa tanggungjawab atau tugas hanya sebagai memenuhi tuntutan ditetapkan, itu dilihat ada pekerja melakukan kerja sambil lewa. Dia tidak memikirkan apakah yang dilakukan itu memberi kesan diharapkan atau tidak.

Perasaan bertanggungjawab akan mendorong seseorang itu melakukan yang terbaik dalam setiap tugas diamanahkan. Jika perasaan itu ada pasti hasilnya mengagumkan dan tiada lagi rungutan diterima kerana kerja sudah dilakukan sebaik yang mungkin.

Menurut al-Qardhawi, kerja memberi maksud daya usaha yang dilakukan oleh manusia dalam keadaan sedar, sama ada secara bersendirian atau bersama orang lain untuk menghasilkan suatu barangan atau perkhidmatan.

Bekerja dapat diertikan sebagai menjalankan tugas serta tanggungjawab sama ada di pejabat, kilang, sekolah, hospital, pasar dengan niat memperoleh pendapatan dan mencari keredaan Allah S.W.T..  Ia juga memenuhi keperluan manusia hidup di dunia ini.

Firman Allah yang bermaksud:

surah-hud

Justeru, dalam kita melaksanakan tanggungjawab memakmurkan bumi ini semua pekerja jangan lupa menjaga hak pihak lain. Jangan nanti kerana memenuhi keperluan atau tuntutan kerja, ada yang sanggup mengambil hak orang lain.

Susunan dan suntingan Oleh: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: Suara Sahabat Islam Malaysia

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 1, 2009.

 
%d bloggers like this: