Peranan Sedekah Dalam Pembangunan Negara


picture10Dewasa ini kita dapati ada kecenderungan di kalangan jutawan untuk mendermakan harta kekayaan mereka bagi tujuan kebajikan. Sebagai contoh, beberapa tahun lepas , Warren Buffet yang merupakan orang yang kedua terkaya di dunia pada ketika itu telah mendermakan sebanyak 85% daripada kekayaannnya kepada satu yayasan yang dikendalikan oleh Bill Gates. Pada waktu itu Warren Buffet dikatakan mempunyai kekayaan sebanyak US$44 billion (RM150.7 Billion); dan 85% kekayaannya adalah bersamaan dengan US$37 Billion (RM126.7 Billion). Ini merupakan satu jumlah yang paling besar yang pernah didermakan oleh orang perseorangan dalam sejarah Amerika Syarikat. Yayasan Bill dan Melinda Gates ditubuhkan bagi menangani masalah penyakit, mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan taraf pendidikan. Ini bermakna wang yang disumbangkan oleh Warren Buffet tadi akan digunakan untuk tujuan umum yang akhirnya dapat membantu meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan dan mutu kehidupan masyarakat dan ini sebenarnya adalah satu usaha murni yang perlu kita contohi.

Bukan sahaja kecenderungan ini berlaku di kalangan jutawan Barat, malah di negara China suasana ini juga dapat dilihat. Sebagaimana yang diketahui ramai negara China adalah negara yang paling ramai menghasilkan jutawan baru bagi tahun-tahun kebelakangan ini . Menurut satu laporan iaitu The 2008 Hurun Philantrophy List, 100 penderma terbanyak di China telah menyumbang sebanyak 12.9 billion yuan (US$1.8 billion) sejak tahun 2003. Manakala bidang yang paling banyak menerima sumbangan derma ialah bidang pendidikan. Ini diikuti bidang kebajikan kemasyarakatan, pembasmian kemiskinan dan kesihatan

picture13

Di Malaysia sikap pemurah di kalangan dermawan juga dapat diperhatikan menerusi pelbagai yayasan dan sumbangan yang diberikan oleh tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri S.O.K  Ubaidullah, Tan Sri Robert Kuok adalah antara beberapa nama dermawan besar yang ada di negara kita. Menerusi yayasan-yayasan yang mereka asaskan, masing-masing telah membantu kerajaan dalam membangunkan bangsa dan negara di dalam bidang-bidang kebajikan sosial dan sebagainya.

Walaupun terdapat pelbagai matlamat sebenar disebalik derma-derma ini dibuat oleh para jutawan terbabit, namun kita tidak dapat mempertikaikan bahawa ia sebenarnya banyak membantu dalam meningkatkan kemakmuran masyarakat yang kurang bernasib baik dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf sosio ekonomi mereka.

Menyentuh tentang sikap dermawan ini, agama Islam sebenar amat dekat dengan amalan tersebut. Di dalam ajaran Islam kita merujuknya sebagai amalan sedekah, iaitu baik yang bersifat wajib seperti zakat; mahupun yang bersifat sukarela seperti sedekah atau wakaf . Namun dari segi kesan kepada kebaikan ummah, penulis berpendapat, sedekah sukarela lebih memberi kesan kebaikan berbanding sedekah wajib kerana sedekah wajib (zakat) merupakan satu levi minima yang dikenakan ke atas harta atau pemilikan kaum Muslimin. Jadi sudah tentu kesannya tidaklah sebaik sedekah sukarela yang tiada had minima mahupun had maksima untuk membuat sumbangan. Ia hanya bergantung kepada keikhlasan seseorang dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat dan boleh disalurkan untuk masyarakat umum.

Selain  itu berbanding wang zakat yang perlu diagihkan terus kepada asnaf yang berhak menerimanya, wang-wang sedekah ini jika diuruskan di bawah satu badan khas, ia boleh dikembangkan melalui alat-alat pelaburan yang ada di pasaran kewangan. Secara tidak langsung si penderma akan mendapat pahala yang berterusan jika sumbangannya tadi dapat dimanfaat secara berterusan di dalam bidang-bidang kebajikan yang dipilihnya. Inilah yang dibuat oleh yayasan-yayasan terkenal dunia di sebelah Barat. The Carnegie Corporation misalnya yang ditubuhkan pada 1911 oleh Andrew Carnegie, sehingga sekarang masih lagi menyumbang kepada perkembangan pendidikan di dunia barat menerusi sumbangan sekitar US$60 juta setiap tahun.

Satu makalah yang ditulis oleh Carnegie iaitu The Gospel of Wealth, kemudiannya telah mempengaruhi John D.Rockefeller, iaitu pengasas The Rockerfeller Foundation, untuk terlibat dalam dunia kebajikan ini. Sehingga kini, The Rockerfeller Foundation dianggarkan telah menyumbang sebanyak US$14 billion dalam pembangunan bidang-bidang perubatan, kesihatan, pertanian, kemanusiaan dan hubungan antarabangsa.

Di sini kita dapati sumbangan jutawan Barat ini masih berterusan walaupun ia bermula puluhan tahun dahulu. Faktor utamanya ialah pengurusan yang cekap dan ia ditadbir secara profesional oleh mereka yang betul-betul pakar dan berintegriti.

Di Malaysia, sudah ada usaha di kalangan jutawan Muslim dan juga pertubuhan yang diasaskan oleh syarikat swasta mahupun badan-badan kerajaan yang menggunapakai pendekatan-pendekatan sepertimana yang terdapat di Barat. Johor Corporation menerusi Kumpulan Wakaf An-Nur dan Yayasan Wakaf Malaysia menerusi program Wakaf Tunai Malaysianya adalah antara badan-badan yang dimaksudkan di sini.

Justeru kita tidak seharusnya melihat galakan bersedekah oleh agama Islam dalam satu ruang lingkup yang sempit. Ini kerana manfaat sedekah jika diuruskan dengan baik ia mampu menjadi satu alat untuk mengagih kekayaan negara. Di dalam ekonomi Islami agihan kekayaan yang saksama menjadi asas kepada keadilan sosial.

Jika Bill Gates melalui konsep philanthropy Barat menubuhkan yayasan kebajikan untuk membantu meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan dan mutu kehidupan masyarakat, masyarakat Islam yang kaya atau berkemampuan boleh menggunakan pendekatan sedekah untuk membangunkan kemudahan pendidikan, kesihatan, kebajikan masyarakat dan sebagainya.

Mungkin tulisan Prof. Dr. Bahaeddin Yedyyildiz tentang peranan wakaf dan wakaf tunai yang juga merupakan satu bentuk sedekah di dalam kajiannya yang bertajuk Place Of The Waqf In Turkish Cultural System boleh kita jadi panduan dan renungan bersama. Di dalam kajian tersebut beliau menyatakan :

“Terima kasih kepada wakaf yang berkembang subur ketika empayar Othmaniah; insan dilahirkan dalam rumah wakaf, tidur dalam buaian wakaf, makan dan minum daripada harta wakaf, membaca buku yang diwakafkan, menerima pendidikan di sekolah wakaf, menerima gaji daripada pentadbiran wakaf dan bila insan ini meninggal dunia, diletakkan dalam keranda dan dikebumikan di tanah kubur yang diwakaf.” (terjemahan petikan penulis ambil daripada makalah Razali Othman (2005).

Daripada petikan ini dapat kita simpulkan bahawa umat Islam pada masa lampau memahami sedekah di dalam ruang lingkup di atas faham wakaf  dalam bentuk yang sangat luas. Mereka bukan setakat melihat kesan kerohanian (pahala) semata-mata. Sebaliknya mereka turut melihat kesan sedekah tadi dalam semua sudut kehidupan  baik kesihatan, pendidikan, sosial, riadah dan sebagainya. Jadi inilah yang perlu kita fahami sebenarnya sekarang tentang galakan bersedekah oleh agama Islam.  Di samping itu juga kesan kebaikan amalan sedekah ini akan lebih jelas jika ia diurus dan ditadbir secara cekap dan amanah oleh badan-badan yang bertanggungjawab.

Tulisan: Muhammad Hisyam Bin Mohamad
Susunan: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: Institut Kemahiran Islam Malaysia (IKIM)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 2, 2009.

 
%d bloggers like this: