‘Satu Malaysia’ dalam semangat toleransi


satu-malaysia

Rentetan sejarah yang panjang menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat serta sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Islam juga sebagai agama yang mengamalkan prinsip toleransi yang sememangnya diakui oleh penganut agama lain seperti Buddha, Hindu, Shinto, Majusi, Kristian, Yahudi, dan lain-lain.  Inilah satu hal yang ada dalam sejarah dan peradaban Islam.

Jalinan persaudaraan dan perhubungan antara seorang Muslim dan bukan Muslim sama sekali tidak dilarang oleh Islam, selagi pihak lain menghormati hak-hak kaum Muslim, sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan, bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan.

Kebebasan beragama memangnya tidak dihalang oleh Islam dan menjadi hak setiap orang. Cuma yang berbeza ialah Islam tidak memberikan ruang kepada setiap muslim untuk menukarkan agamanya, kerana agama Islam itu sendiri telah dianggap lengkap dan sempurna.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk membuat pilihannya sendiri berdasarkan keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Islam juga tidak menghalang agama lain berkembang bersama-sama berdasarkan prinsip dan etika tertentu seperti yang diamalkan oleh Rasullullah saw melalui Piagam Madinah.

Justeru tidak kurang dari 12 ayat dari piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35. Demikian juga dengan pencapaian dan kecemerlangan Cardoba,Andalusia dalam pelbagai bidang kerana Islam ,Yahudi dan Nasrani dapat tidur sebantal.

Puncak dari toleransi terhadap orang yang berbeza agama yang ditegaskan oleh al-Qur’an adalah ketika mewajibkan kita untuk berlaku adil terhadap seluruh manusia. Baik orang yang dicintai, dibenci, jauh, dekat, beriman atau kufur. Prinsip ini jugalah yang menjadi tunjang kepada pembentukan Rukun Negara yang menyanjung tinggi keyakinan kepada Tuhan, asalkan tidak melanggar institusi-institusi yang ditetapkan (menghormati undang-undang, Raja, Negara, tatasusila dan amalan budaya).

Sikap toleransi dan hormat menghormati antara kaum inilah telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah Negara contoh tentang penyatuan kaum. Perpaduan antara kaum dilambangkan melalui isntitusi raja, yang dianggap sebagai payung pentadbiran Negara. Hak dan prinsip ini terus dikekalkan walaupun akhir-akhir ini terdapat usaha untuk merungkaikan nilai-nilai kemasyarakatan rakyat Malaysia masa kini. Berdasarkan situasi ini, beberapa peringatan daripada pelbagai pihak yang cintakan kedamaian meminta supaya setiap perbezaan tidak terjerumus ke kancah permusuhan. Ia harus dilihat sebagai cabaran untuk merapatkan jurang perbezaan bagi meneruskan agenda pembinaan Negara bangsa, ataupun bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia bukan bermakna bercirikan kekhususan fizikal, ia berbentuk kesatuan dalam pemikiran, tindakan dan psikologi. Saling bantu membantu dan bekerjasama dalam setiap aspek, seperti yang dijelaskan “apabila melihat satu kemalangan berlaku, apakah kita akan bertanyakan mangsanya Melayu, Cina atau India?” Kita perlu menghulurkan bantuan dengan melupakan sempadan kaum dan ras. Kita menghulurkan bantuan kerana kita adalah sesama manusia, satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.

Penegasan mengenai satu Malaysia misalnya memberikan kita satu semangat baru dalam menempuh dugaan mengharungi kegelojohan globalisasi dan serangan liberalisasi. Kita perlu menghayati apa yang dititahkan oleh Raja Dr. Nazrin “… rakyat perlu diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar yang akan menyinsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.”

Oleh hal yang demikian itu, kita tidak perlu menolak sesuatu sistem yang telah sekian lama memberikan kita faedah secara keseluruhannya. Jika ia mempunyai kelemahan, kita sesama memperbaikinya. Kita bersama memenuhi tuntutan hidup bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan mengamalkan toleransi. Kita tinggalkan perbezaan yang boleh meruntuhkan sistem yang telah banyak menjadikan kita kuat dan membangun sehingga banyak pihak yang cuba meruntuhkan nilai hidup dan budaya masyarakat Malaysia.

Susunan dan tulisan semula oleh : Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber Rujukan: BH Online, Bernama, Islam Hidari

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 3, 2009.

 
%d bloggers like this: