Hak Muslimah Bersuara Dalam Kepimpinan Baru


wanita-3

Tidak dapat dinafikan, bahawa terdapat salah faham berkenaan kegiatan politik wanita. Ada pendapat yang mengatakan bahawa keterlibatan kaum wanita dalam arena politik dipandang tidak layak dan melanggar fitrah kewanitaannya, kerana menurut mereka, politik itu sama dengan kekerasan, kekuasaan, kelicikan, dan tipu daya yang hanya sesuai menjadi milik kaum lelaki, selain mereka memandang bahawa politik tidak ada kaitannya dengan Islam.

Pandangan ini juga lahir akibat daripada suasana budaya patriarki selain daripada situasi turun-temurun yang meletakkan lelaki dalam `kotak kemasyarakatan’ dan wanita dalam `kotak domestik’.

Dalam ruang domestik, karakter feminin yang lemah lembut, emosional, mudah mengalah seakan-akan hendak meyakinkan bahawa tugas tersebut sesuai untuk seorang perempuan yang bergelar isteri, ibu atau pengurus rumah tangga.

Pandangan seperti inilah yang menyebabkan Muslimah tidak mahu berpolitik, sehingga kehidupan mereka hanya berputar sekitar memenuhi keperluan diri sendiri dan melakukan kegiatan dalam urusan peribadi, anak dan keluarganya. Mereka sama sekali tidak mahu menoleh bahkan tidak peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Sementara di pihak lain pula mengatakan bahawa wanita mesti ikut serta berperanan aktif dalam segala bidang, sama dengan kaum lelaki, termasuk dalam bidang politik, walaupun kegiatan politik mereka sentiasa diarahkan kepada usaha meraih peluang sebesar-besarnya untuk duduk di atas kerusi legislatif.

Banyak pihak atau pendapat mengungkapkan pemahaman politik dengan pengertian yang sempit dan amat terbatas. Sehingga ada antara mereka yang mendefinisikan politik sebagai proses yang berjalan seiring dengan penyelenggaraan negara atau sistem pemerintahan.

Antara sekian banyak definisi yang diutarakan, rasanya kita lebih cenderung kepada definisi yang dirumuskan oleh Hasan al-Banna, yang mengatakan bahawa politik adalah memperhatikan urusan umat, luar dan dalam negara, secara individu mahupun masyarakat keseluruhannya, dan tidak terbatas kepada golongan tertentu semata-mata.

Berdasarkan pengertian yang mengatakan bahawa politik adalah tanggungjawab mengatur dan memelihara urusan ummah secara keseluruhan, maka dalam konteks Islam tidak terdapat di dalamnya unsur perebutan kuasa, berebut hendak menjadi wakil rakyat, kekejaman, ketidakadilan, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi Islam meletakkan dasar pengaturan, pengurusan dan pemeliharaan ummah ini di atas landasan hukum-hukum Allah, bukan pada sikap diktator orang yang memegang kuasa dan bukan pula berdasarkan keinginan sekelompok ummah.

Menurut perspektif Islam, orang yang memegang tampuk pemerintahan atau kuasa hanyalah pelaksana politik yang bersumber daripada hukum-hukum Allah.

Bahkan kekuasaan itu juga adalah amanah Allah, sedangkan masyarakat atau ummah yang dipimpin berperanan sebagai pengawas dan pembetul kehidupan politik, kerana inilah yang akan menjaga para pelaksana politik agar mereka sentiasa berada di jalan yang sudah digariskan oleh syariat Islam.

Dengan demikian, kegiatan politik tidak hanya dibebankan atau menjadi tanggungjawab lelaki semata-mata, kerana kaum wanita (Muslimah) pun merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat secara umum.

Terdapat beberapa nas yang terdiri daripada ayat al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan bahawa Allah dan Rasul-Nya memerintahkan agar kaum Muslimin, baik lelaki mahupun perempuan memperhatikan atau memikirkan urusan ummah.

Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa politik adalah bahagian yang penting dalam ajaran Islam. Manakala usaha untuk memisahkan politik daripada Islam adalah langkah yang bukan sahaja akan menjauhkan ummah daripada Islam, tetapi ia juga akan menjatuhkan mereka ke lembah kehinaan.

Jika keterlibatan wanita dalam arena politik dianggap melanggar fitrah kewanitaan, fitrah manakah yang dilanggarnya? Pada hakikatnya wanita adalah sebahagian daripada masyarakat, yang dalamnya terdapat kepentingan yang ada hubung kait dengan kehidupan yang teratur. Oleh yang demikian, keluarga dan masyarakat tetap merupakan sebahagian daripada hidup kaum wanita; tidak mungkin mereka mengambil satu bahagian dan meninggalkan bahagian yang lainnya. Dalam praktiknya, pelaksanaan kewajipan berpolitik ini dibebankan kepada seluruh komponen masyarakat, baik pemimpin, masyarakat itu sendiri mahupun individu.

Dari huraian di atas, dapat difahami bahawa lelaki dan wanita hendaklah memikul tanggungjawab politik itu secara bersama. Mereka juga seharusnya saling menghargai kewujudan dan peranan masing-masing demi terciptanya masyarakat yang aman damai, tenteram dan sejahtera berdasarkan syariat Islam. Di sinilah pentingnya masyarakat, termasuk kaum wanita memiliki kesedaran politik yang tinggi untuk membentuk dan melahirkan kesedaran politik Islam di kalangan mereka.

Sebagaimana kaum lelaki, wanita juga adalah sebahagian daripada masyarakat. Oleh kerana itu, ketika membahas tentang keupayaan politik perempuan, pandangan tidak boleh ditujukan kepada perempuan secara individu, tetapi harus memandang keupayaan perempuan sebagai sebahagian daripada manusia yang harus hidup berdampingan dengan lelaki, baik dalam kehidupan khusus (dalam rumah tangga dengan suami dan anak-anak atau dengan ayah dan saudara-mara) ataupun kehidupan umum (di kalangan masyarakat), dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Dengan demikian, keupayaan politik wanita menurut Islam tidak boleh terlepas daripada keupayaan politik anggota masyarakat secara keseluruhan.

Dalam hal ini, pandangan yang digunakan haruslah sejajar, iaitu pandangan yang bersifat universal (merangkumi seluruh manusia di dunia) dan khas menurut pandangan tertentu. Sudut pandang ini tidak lain adalah sudut pandang Islam, yang memberikan jaminan bahawa tidak akan ada pihak yang rugi dan dirugikan.

Berkaitan dengan keupayaan yang harus diperjuangkan kaum Muslim untuk meraih kemuliaannya sebagai khairu ummah (umat terbaik), keupayaan memperkasakan politik perempuan hendaklah menuju kepada pengertian politik yang sebenarnya.

Dengan kata lain, keupayaan politik wanita merupakan usaha agar wanita berperanan aktif dalam percaturan politik berdasarkan tujuan yang harus dicapai dan sesuai dengan bidang yang mampu dan sesuai untuk diceburinya.

Untuk mencapai tujuan di atas, maka ummah ini perlu mewujudkan kesedaran politik di kalangan Muslimah dan mereka hendaklah digerakkan secara berkumpulan, agar sentiasa meningkatkan peranan mereka dalam bidang politik.

Adapun yang dimaksudkan dengan kesedaran politik di sini ialah sudut pandang yang memandang dunia secara universal berdasarkan perspektif tertentu, yang bagi kaum Muslimin ialah sudut pandang yang dipakai dalam akidah Islam.

Selama kesedaran politik ini tumbuh subur di dalam jiwa kaum Muslimah, selagi itu pulalah mereka mesti menerjunkan diri mereka ke tengah gelanggang politik.

Bagaimanapun, perjuangan yang dilakukan dalam proses pengukuhan dan pendidikan politik kepada kaum wanita (Muslimah), tidak diarahkan kepada mencapai kesetaraan darjat dan kedudukan antara lelaki dengan perempuan, kerana Islam telah menempatkan lelaki dan wanita pada darjat yang setara. Darjat lelaki tidak lebih tinggi daripada wanita, dan demikian pula sebaliknya, kerana ketinggian darjat seseorang hanya ditentukan oleh kadar ketakwaannya kepada Allah.

Daripada beberapa penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa kaum wanita tidak dihalang, bahkan mereka berhak untuk menceburkan diri dalam politik demi kesejahteraan ummah sejagat dan untuk tercapainya khaira ummatin.

Oleh hal yang demikian, semoga dengan berlakunya peralihan tampuk kepimpinan tertinggi negara, akan memberi ruang dan peluang di kalangan wanita yang berketrampilan dan telah diuji sumbangannya untuk sama-sama berganding bahu dalam merealiasikan aspirasi rakyat dan negara.

Sususan: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: Islam Hadari

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 4, 2009.

 
%d bloggers like this: