Meneruskan Agenda Islam Hadhari


islam-itu-indah

Kehidupan kini yang begitu moden, canggih, dan pantas dalam semua bidang dengan “dunia tanpa sempadan” menimbulkan banyak sekali persoalan, tidak sahaja tentang kehidupan masa kini, masa depan, juga tidak sahaja tentang kehidupan duniawi, malahan juga tentang kehidupan ukhrawi. Cabaran sedemikian didepani oleh semua masyarakat dunia dan tidak terkecuali masyarakat Islam.

Justeru itu bukan sekali dua timbul permasalahan, perdebatan, perbahasan, dan tidak kurang pula sanggahan sama ada di antara ulama dengan ulama mahupun antara ulama dan umara. Contoh yang berlaku di hadapan mata kita ialah tentang persoalan ‘hadhari’ atau lebih tepat lagi tentang persoalan Islam Hadhari. Apabila seseorang mengatakan satu kajian perlu dilakukan tentang persoalan Islam Hadhari, banyak pihak yang lain dengan mudah mengambil kesimpulan dengan tidak memberi ruang langsung lalu menuduh pihak tersebut dengan pelbagai tuduhan. Tidak ketinggalan pula pihak yang bertentangan atau parti pembangkang yang mengambil kesempatan menggunakan isu tersebut untuk menegakkan benang basahnya. Lalu timbullah fitnah yang pada hakikatnya tidak menguntungkan sesiapa pun kecuali yang berkepentingan sehingga timbullah frasa “Islam hadhari tidak wujud” dan yang seumpamanya.

Daripada satu segi kita melihat pemikiran masyarakat masa kini begitu negatif sekali. Apabila misalnya timbul sesuatu seperti ada pihak yang mengatakan perlunya kajian terhadap sesuatu, maka kata “kajian” itu dengan mudah diisi dengan hal yang negatif. Langsung tidak boleh ada kayu bongkok, lalu kera pun meniti.

Sesuatu yang berhubung dengan Islam atau sesuatu yang Islam sifatnya tidakkah perlu antara ulama dengan ulama, ulama dengan umara saling lengkap melengkapkan?

Islam Hadhari yang mula dilancarkan pada tahun 2004 adalah suatu dasar yang berupa kesinambungan daripada dasar yang lalu, seperti misalnya Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020, dan kini Satu Malaysia atau sebagainya yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju berasaskan kepada acuan Malaysia sendiri.

Islam Hadhari sebagai sebuah dasar ciptaan manusia, tidak boleh tidak ia mempunyai kelebihan dan cacat celanya yang tersendiri. Oleh yang demikian, sekali lagi, kerana ia ciptaan manusia, maka ia perlu dikaji terutama aspek pelaksanaannya sama ada telah mencapai sasarannya mahupun tidak.

Islam Hadhari dirangka berasaskan pendekatan wasatiyyah yang diperolehi pemahamannya daripada sumber al-Quran dan Sunnah dan ia haruslah dipandu pelaksanaannya dengan sumber naqli dan aqli berasaskan penegasan Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 143. Di sini pentingnya sebuah ummah yang tidak mengamalkan ifrat dan tasyaddud mahupun tafrit. Mengikut Muhammad Abduh, sama ada ifrat mahupun tafrit, kedua-duanya adalah tercela.

Indonesia misalnya memperkenalkan Islam Kultural. Malaysia dengan Islam Hadhari. Islam Hadhari bukan agama baru sebagaimana yang didakwa (baca: difitnah) oleh sesetengah pihak yang ingin menangguk di air yang belum jernih. Kita mempunyai banyak sebab menyatakan demikian. Maka dengan sendirinya fitnah yang mengatakan konsep Islam Hadhari sebagai salah satu strategi Barat atau Eropah untuk ‘menyimpangkan’ pemikiran umat Islam perlu ditolak.

Islam Hadhari tidak mengambil dana dari luar sebagaimana yang dilakukan oleh Malaysia Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, dan Sikhism (MCCBCHC) yang mendesak supaya menubuhkan Inter Faith Council (IFC), yang ternyata ditolak kerajaan. Pandangan dunia, world view, weltanschauung Islam Hadhari berbeza dengan yang menjadi pegangan Barat. Dan paling penting adalah butiran dan falsafah konsep Islam Hadhari tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam. Hal ini telah diakui oleh sarjana Islam moden pada peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya konsep ‘hadhari’ ini merupakan gagasan pemikiran dan gerak kerja yang amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha membangun sebuah negara maju serta bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi negara. Pada asasnya, konsep hadhari merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan, yang bersifat komprehensif dan seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi dan kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, disebabkan ada umat Islam yang terkeliru dan mengabaikan salah satu dan kedua-dua aspek, maka nilai hadhari ini perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan sebenar mengikut syariatnya. Justeru atas dasar inilah nampaknya tugas murni ini patut diterus dan diwarisi oleh generasi perjuangan oleh semua pihak sama ada mereka yang dapat memahaminya atau tidak. Kerana itulah perjuangan agama berlangsung sejak daripada Adam, Nuh, Ibrahim sehingga Muhammad s.a.w. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Allah telah menerangkan kepada kamu (mengenai perkara agama ) apa yang telah diwahyukan kepada Nuh a.s dan perkara yang Kami wahyukan kepadamu dan pesanan Nabi Ibrahim, Musa, Isa a.s, iaitu hendaklah kamu tegakkan agama ini, dan jangan bercerai dan berpecah.” (Maksud al-Quran, Surah Al-Syuraa, ayat 13).

Kepada pihak yang ‘memperlekeh’ dan ‘memusuhi’ usaha murni ini, ingatlah bahawa kita barangkali seringkali terlupa untuk menyatakan kebenaran dan kebaikan sesuatu yang diusahakan oleh saudara seagama kita sendiri dan menyatakan serta menganggap ciptaan atau idea kitalah yang terbaik, dan hanya ingin serta selalu menyalahkan orang lain. Kalau tidak, masakan orang-orang tua kita dahulu mengungkapkan “kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak terlihat.”

Tulisan: MUHAMMAD IQBAL, islamhadhari.net
Susunan: LOKMAN MOHD HASHIM, mutiaraislam.wordpress.com

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 4, 2009.

 
%d bloggers like this: