Pertahankan Semangat Musyawarah


musyawarahDi dalam Islam, musyawarah menduduki tempat yang amat penting. Menerusi al-Quran, secara jelas umat Islam diperintahkan untuk bermusyawarah dalam mencari jalan atau memecahkan persoalan yang berlaku di kalangan mereka. Bahkan kata ‘musyawarah’ sendiri dijadikan nama salah satu surah dalam al-Quran, iaitu surah Al-Syura. Ketika umat Islam mengatakan bahawa mereka memiliki demokrasi, maka yang dimaksudkan adalah idea tentang musyawarah ini.

Musyawarah ini sendiri berfungsi  untuk menghimpun  pendapat yang lebih baik dan benar dari pelbagai lapisan  masyarakat  dan mempersatukan serta mencari jalan keluar masalah bersama secara muafakat, yang dalam bahasa al-Quran disebut (yang bermaksud): “segala urusan mereka di musyawarah bersama mereka…” (Al-Syura: 38)

Kedaulatan tertinggi dalam sesuatu pemerintahan bukan terletak pada perintah seseorang tetapi kedaulatan itu tersimpul dalam permusyawarahan. Kebaikan serta keutuhan sesebuah negara serta pemerintahannya tidak sekadar dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin tertinggi saja, tetapi harus sama-sama dipikul oleh semua pihak. Justeru itu keberhasilan serta kejayaan umat itu merupakan hasil daripada perpaduan dan kekuatan; yang memimpin dan yang dipimpin  Yang berdaulat dengan sendirinya hanyalah Tuhan semata-mata, tunggal tanpa ada duanya.

Sehubungan dengan ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka(sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu. maafkanlah mereka(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyurat, untuk menbuat sesuatu)maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya.” (Ali Imran: 159)

Ayat di atas ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar memusyawarahkan persoalan-persoalan tertentu dengan sahabat atau anggota masyarakatnya. Pada hakikatnya ayat ini juga merupakan petunjuk kepada setiap Muslim, khususnya pada setiap pemimpin agar bermusyawarah dengan anggotanya. Inilah petunjuk yang diisyaratkan al-Quran mengenai beberapa sikap yang harus dilakukan seseorang itu bagi menjayakan musyawarah.

Pertama, apa yang harus dilakukan dalam musyawarah ini ialah kebulatan tekad untuk melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam musyawarah tersebut. Demikian juga seseorang yang melakukan musyawarah, apatah lagi sebagai pemimpin, harus menghindari tutur kata yang kasar serta sikap keras kepala. Setiap pemimpin harus berlembut kalau tidak musyawarah akan berakhir dengan kegagalan.

Kedua, memberi kemaafan kepada mereka. Maaf, secara harfiah bererti “menghapus”. Memaafkan adalah menghapuskan bekas luka di hati akibat perlakuan pihak lain yang dinilai tidak wajar. Ini adalah perlu,kerana tidak ada musyawarah tanpa pihak lain, sedangkan kecerahan fikiran hanya hadir bersamaan dengan sirnanya kekeruhan hati.

Orang yang bermusyawarah juga harus bersedia dari segi mental dan berlapang dada bersedia memberi maaf. Ini kerana mungkin ketika bermusyawarah terjadi perbezaan pendapat, tau keluar kalimat-kalimat yang menghiris perasaan seseorang itu. Dan apabila perkara ini masuk kedalam hati akan mengeruhkan fikiran, bahkan boleh jadi akan mengubah musywarah  menjadi pertengkaran atau perdebatan yang tidak berkesudahan.

Demikian juga untuk mencapai hasil yang terbaik ketika musyawarah, hubungan dengan Tuhan juga harus harmonis. Itu sebabnya perkara seterusnya yang harus mengiringi musyawarah adalah permohonan maghfirah dan keampunan Ilahi, sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah s.w.t, surah Ali-Imran ayat 159 di atas.

Jelas sekali musyawarah diperintahkan oleh al-Quran, serta dinilai sebagai salah satu prinsip hukum dan politik untuk umat Islam. Sikap al-Quran seperti itu memberikan kesempatan kepada setiap masyarakat untuk menyesuaikan sistem syuranya dengan keperibadian, kebudayaan dan situasi sosialnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak akan menyesal mereka yang telah melakukan musyawarah.” (maksud hadis)

Bagaimanpun,i terdapat sesetengah ketua atau pemimpin yang bertindak mengikut kemahuannya sendiri yang tidak selaras dengan keputusan mesyuarat telah diputuskan. Apabila keadaan ini berlaku dalam satu-satu organisasi, maka tunggulah kehancuran dan kegagalannya.

Bagi menjamin keberkesanan musyawarah itu sendiri,semua pehak dikehendaki bersikap ikhlas dan jujur untuk mencapai satu-satu matlamat yang diharapkan. Jangan ada mereka yang mengutamakan kepentingan sendiri atau peribadi, kumpulan dan sebagainya. Semangat  anggota  tersebut, hendaklah sentiasa kental dan jitu, tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menggagalkan matlamat suci tersebut. Oleh kerana itu dalam musyawarah  harus ada keikhlasan mendengar pandangan orang lain selain pandangan sendiri.

Apa yang diketahui umum matlamat (perjumpaan) atau muzakarah antara kedua parti Melayu-Islam  terbesar di negara ini, iaitu Pas Dan Umno  untuk mencari perpaduan umat dan kekuatan bangsa adalah  tugas murni dan setiap kemurnian dapat dihasilkan oleh kerja sama yang ikhlas. Amatlah dikesali sekiranya manusia yang  mulia lagi berakal ini, tidak mampu melahirkan perpaduan tersebut. Ini semua akibat hilangnya sifat ikhlas dari jiwa manusia itu sendiri, kerana dikotori nafsu syaitanniah  yang datang menyerangnya.

Ada suara-suara sumbang yang penuh dengan dendam kesumat ini, terkeluar dari mulut individu-individu tertentu, sehingga ada yang menolak asas perjumpaan untuk tujuan musyawarah atau pertemuan murni tersebut. Ia lahir atau terbit dari hati yang lebih besar nifaknya dan kejam. Tidakah mereka sedar bahawa perpecahan itu boleh membawa kepada kehancuran umat ini. Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya selalu mengingatkan  kita tentang  bencana tersebut dalam sabda baginda yang bermaksud: “Jangan kamu berselisih nanti hati kamu juga akan bermusuhan (tidak boleh bersatu dan bermesra sesama kamu).” (Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w pernah mendengar dua orang sahabat baginda yang sedang berselisih tentang ayat (al-Quran), lalu baginda keluar dengan marah sambil bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya binasanya mereka yang sebelum kamu kerana pertelingkahan mereka tentang kitab Allah.” (lihat  Al-Ahkam)

Susunan: Lokman Mohd Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: Rencana Islam Hadari

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 4, 2009.

 
%d bloggers like this: