Muslimah Juga Menggugah


peace_muslim1Sedikit sekali kisah kejayaan Muslimah dipaparkan oleh media antarabangsa, terutama Barat. Sebaliknya, kisah Muslimah menjadi korban perkosaan demi menebus cemar keluarga di Pakistan atau Muslimah yang ditindas rejim Taleban seolah-olah mengabui kisah sebenar perkembangan Muslimah di seluruh dunia.

Padahal, kemajuan Muslimah sudah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w. Kemajuan ini dipaparkan dalam perangkaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), khususnya laporan Institut Perangkaannya.

Kemajuan besar Muslimah telah dipaparkan di Kongres Antarabangsa Muslimah dalam Sains Ke Arah Masa Depan Lebih Baik di Maghribi pada 2000. Ketika itu, laporan Unesco mengenai Muslimah banyak dirujuk. Terbukti Muslimah berjaya dalam bidang sains dengan menjadi pemimpin jurusan mereka, menerima anugerah, mencatatkan paten penemuan dan memberikan sumbangan kepada keilmuan sejagat. Sayang sekali, hal ini kurang dinyatakan dalam berita dunia.

Malah, Amerika Syarikat ´kalah´ berbanding enam negara majoriti Muslim dari segi kadar wanita berijazah sains.  Antara negara majoriti Muslim yang berjaya melahirkan siswazah sains wanita ialah Bahrain, Brunei, Kyrgyzstan, Lubnan, Qatar, dan Turki. Maghribi mengatasi Amerika dari segi kadar siswazah wanita dari jurusan kejuruteraan. Contohnya, Rehab Eman sudah memiliki sarjana muda sains dalam bidang kejuruteraan seni bina dan sarjana dalam pengajian Islam mengenai Baitulmaqdis.

Tiada nas dalam al-Quran dan hadis yang menegah wanita menuntut ilmu dan memberi sumbangan cergas kepada negara. Bahkan, Islam ialah agama pertama yang mendorong wanita menjadi srikandi dalam semua lapangan bermanfaat. Jadi, apa yang berlaku di negara majoriti Islam yang memaparkan nasib pedih wanitanya merupakan amalan pemerintah atau kaum. Ini tiada kena-mengena dengan ajaran Islam.

Masalah utama ummah, terutama Muslimah, ialah kemiskinan. Ia menghalang kadar kemasukan sekolah yang rendah atau mengakibatkan kadar buta huruf yang tinggi. Malangnya, kalangan pengkritik Islam cenderung membuat kaitan antara kemiskinan dengan Islam.

Majoriti negara majoriti Islam mempunyai ramai rakyat yang miskin. Hal ini menjejas kemajuan ummah dalam jangka panjang. Oleh itu sistem pemerintahan negara-negara Islam perlu dipertingkat, terutama dalam mengatasi rasuah.

Malah, beberapa negara Islam mengalami keadaan tidak mantap ekoran peperangan seperti di Iraq, Afghanistan, Bosnia, Chechnya dan Dagestan. Kerosakan prasa rana dan kemiskinan amat menjejas umat Islam, terutama kemampuan untuk menghantar wanita belajar tinggi.

Rancangan pembangunan negara Islam sering tersasar, manakala bantuan agensi dunia seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hanya mengakibatkan negara berkenaan dibebani lebih banyak hutang seperti dalam kes Indonesia.

Menurut John Perkins, mantan ketua pakar ekonomi firma Chas. T. Main, yang memujuk negara-negara Dunia Ketiga agar berhutang, bebanan hutang Bank Dunia dan IMF merupakan cara Amerika menguasai jagat (http://www.johnperkins.org). Tidak tepat juga bahawa hanya negara Islam yang mengamalkan perbezaan jantina. Data Unesco menunjukkan 44 peratus wanita Switzerland, yang dianggap negara impian, menikmati pengajian tinggi. Padahal di Malaysia dan Tunisia, 55 peratus wanita membentuk siswa di semua universiti. Malah, Bahrain mengatasi Amerika, iaitu kelebihan enam peratus wanitanya masuk universiti.

Andainya pendidikan dianggap ciri utama kebebasan, apakah wanita Bahrain lebih bebas daripada wanita Amerika?

Sebaliknya, menurut Pemantau Hak Asasi, negara sekular seperti Perancis dan Turki melarang wanita ke pengajian tinggi dengan alasan bahawa mereka bertudung.

Media cetak mahupun media elektronik yang diterajui oleh Muslim seharusnya memberi fokus yang sewajarnya terhadap pencapaian kaum Hawa dalam pelbagai bidang ilmu demi mencorakkan ´wajah ummah dan dunia´ yang adil dan saksama. Sewajarnya juga, pandangan media antarabangsa (didominasi oleh media Barat) terhadap Muslimah ´dihapuskan´ atau ´diserang´ dengan kebijaksanaan akal dan ilmu Muslim itu sendiri.

Tulisan: Abul Hanzalah
Susunan: Lokman Hashim, mutiaraislam.wordpress.com
Sumber: islamhadhari.net

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 5, 2009.

 
%d bloggers like this: