Derhaka Terhadap Ibu Bapa Hampiri Dosa Syirik



PERHATIAN dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit. – Gambar hiasan

Islam anjur hormat, taat selagi suruhan mereka tidak melanggari hukum syariat

GANDINGAN dan keserasian antara ibu bapa berjaya mendidik serta membesarkan anak mereka. Ibu bapa sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan kesenangan hidup anak.

Jika dilihat hari ini, sesetengah ibu bapa terpaksa keluar rumah seawal pagi semata-mata untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga. Pengorbanan itu sepatutnya dibalas dengan anak menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa.

Ini sebagai suatu penghargaan tertinggi anak membalas jasa ibu bapa. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uuh’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israk, ayat 23-24)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud: “Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati ibu bapa tidak terhenti walaupun kedua-dua mereka sudah meninggal dunia. Walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia anak dikehendaki berdoa supaya mereka sentiasa bahagia di sisi Allah. Selain itu, anak digalakkan menziarahi kubur ibu bapa mereka.

Jelaslah menghormati, mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama serta berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan mentaati ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

Cuma, bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan mentaati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad SAW).” (Hadis riwayat Muslim)

Berikutan peristiwa itu, Allah menurunkan ayat yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau � dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman, ayat 14-15)

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan Islam. Hormat dan taatilah ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar.

Jika menyebut ungkapan ‘uh’ atau ‘ah’ pun sudah dikira menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak yang mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-’As: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah SAW menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang yang menderhaka ibu bapanya. Salah satunya ialah peristiwa yang menimpa Alqamah, sahabat yang kuat beribadah kepada Allah tidak dapat melafazkan kalimah tauhid di saat kematiannya kerana mengguris hati ibunya.

Betapa beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar dari mulutnya. Azab menimpa Alqamah berakhir setelah ibunya memaafkan kesalahan dilakukannya.

Peristiwa itu menjelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Reda Tuhan (Allah) ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Oleh itu, jadikanlah peristiwa Alqamah sebagai pengajaran dan iktibar bahawa ibu bapa itu wajib dihormati dan dipatuhi. Janganlah kerana suatu perkara remeh, seseorang anak sanggup melupai dan menderhaka terhadap ibu bapa.

Biar bagaimana juga keadaan ibu bapa, tidak sepatutnya seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua dengan alasan menyusahkan atau membebankan. Ketika usia semakin lanjut itulah, mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak.

Balas segala kesusahan dan kepayahan ibu bapa menjaga serta memelihara kita dengan sesuatu yang menggembirakan mereka. Perhatian dan kasih sayang anak lebih penting kepada ibu bapa berbanding wang ringgit.

Susunan: Lokman Mohd Hashim, MutiaraIslam Online

About these ads

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 9, 2009.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 48 other followers

%d bloggers like this: