Suburkan Kesederhanaan Islam


Islam 1Islam adalah agama yang wasatiyyah dan sederhana. Menurut al-Qaradawi manhaj kesederhanaan adalah method dan cara terbaik yang dapat mengembangkan dakwah Islam sehingga umat Islam mencapai matlamatnya.

Orang yang berpaling daripada metodologi kesederhanaan, sama halnya membunuh diri dan menyebabkan kebinasaan. Ia menyebabkan sikap berlebih-lebihan atau meremehkan seperti melalaikan solat.

Bentuk dan ciri sikap berlebihan ialah tidak mengakui pendapat orang lain dan fanatik terhadap pendapatnya sahaja, memaksa orang lain secara keras untuk beramal dan lupa perbezaan manusia, ada yang kuat dan ada yang lemah, mewajibkan mereka semua dengan amalan sunat tanpa memperhatikan kedudukan mereka, bertindak keras bukan pada tempatnya dan masanya, keras dalam berdakwah dan tidak mengikuti manhaj al-Quran yang menyuruh berhikmah dan berlemah lembut.

Buruk sangka terhadap manusia dan menghina orang lain, saling mengkafirkan orang lain. Inilah sifat-sifat ekstremis yang ditentang oleh Islam.

Intisari ajaran wasatiyyah ini ialah berasaskan kemudahan dan khabar gembira, kemudahan dalam hukum-hakam dan khabar gembira dalam berdakwah. Ia menggabungkan antara salafiah dan pembaharuan atau antara tradisi dengan kemodenan.

Maksud salafiah ialah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dan pembaharuan adalah menyatu dan mengikuti perkembangan dan tuntutan zaman. Penyesuaian antara salafiah dan sufisme dengan mengambil ajaran yang terbaik daripada kedua-duanya sehingga menghasilkan jalan terbaik daripada kedua-duanya.

Bersikap moderat antara aliran zahiriyah dengan golongan takwil. Moderat antara sikap yang kaku dalam melihat zahir nas dan sikap yang berlebih-lebihan dalam mentakwilkan teks-teks agama, tidak terlalu luas dan tidak kaku. Perimbangan antara perkara yang sabit dengan perkara yang berubah-ubah dalam Islam.

Golongan ini melihat dan memperhatikan realiti, tidak banyak berbicara tentang masa lalu sehingga lupa masa depan atau terlalu idealistik tanpa melihat realiti yang ada. Toleransi dan hidup dalam ukhwah serta saling hormat menghormati.

Berlandaskan syura dan memberi kebebasan kepada masyarakat serta mengembalikan kedudukan wanita sebagai saudara kembar bagi kaum lelaki. Mereka juga adalah golongan yang menghidupkan kembali ijtihad.

Manhaj wasatiyyah yang sebenar adalah orang yang berpegang teguh kepada dasar-dasar agama yang sebenar seperti di atas dari segi kefahaman, keyakinan, pengamalan mahupun dakwah. Sementara itu, terdapat empat gerakan yang mewarnai umat Islam kini iaitu:

i. Golongan takfir iaitu golongan yang mudah mengkafirkan orang. Kumpulan ini mulanya muncul di Mesir dengan persepsi pemikiran untuk mengkafirkan masyarakat atau orang ramai secara keseluruhan kecuali orang-orang yang percaya kepada prinsip-prinsip mereka dan bergabung dengan jemaah mereka.

ii. Golongan yang menggunakan kekerasan dan senjata untuk menghadapi kebatilan dan merubah apa yang dilihatnya sebagai mungkar. Pada dasarnya, kekerasan kelompok ini lebih ditujukan kepada para penguasa yang tidak menjalankan syariat tuhan.

iii. Golongan jumud dalam pemikiran dan literal dalam fiqh, mencari yang sulit dalam fatwa, keras dalam berdakwah dan kasar dalam berinteraksi. Mereka mengingkari tajdid atau pembaharuan dalam agama, ijtihad dalam fiqh, kemudahan dalam berfatwa, khabar gembira dalam berdakwah, tidak membuat keseimbangan antara teks dan tujuan syariat, lalu akhirnya bersikap keras terhadap orang lain.

Mereka seringkali mengeluarkan kata-kata haram mahupun bidaah. Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh kumpulan ini bukanlah perkara yang asas tetapi perkara remeh, memperhatikan rupa dan mengabaikan hakikat, memperhatikan perkara-perkara yang diperselisihkan dan mengabaikan perkara-perkara yang telah disepakati.

iv. Kelompok keempat adalah kelompok yang terbesar, banyak pengikutnya dan panjang umurnya adalah kelompok pertengahan (wasatiyyah). Aliran ini yang diperjuangkan sebahagian besar ulama dan gerakan Islam. Aliran inilah yang dapat menggambarkan Islam yang sebenarnya sama ada dari sudut ilmu mahupun amalan.

Aliran ini berdasarkan kepada tiga dasar terpenting iaitu mudah, pembaharuan dan pertengahan.

Oleh itu, kita memerlukan aliran yang mempunyai ciri-ciri wasatiyyah yang diidamkan iaitu mempunyai metod yang mudah dalam berfatwa dan memberi khabar gembira dalam berdakwah. Ini adalah manhaj yang telah digariskan oleh Nabi dengan sabdanya yang bermaksud:

Buatlah yang lebih mudah dan janganlah mempersulitkan, buatlah mereka gembira dan jangan buat mereka lari. (muttafaq alaihi)

Termasuk dalam perkara ini adalah bebas daripada fanatik terhadap kelompok atau mazhab tertentu dan melaksanakan kaedah perubahan fatwa berdasarkan perubahan zaman, tempat, tradisi dan adat.

Sementara khabar gembira dalam berdakwah adalah menunjukkan manifestasi kecintaan kepada Allah, menanamkan dalam hati mereka harapan dan bukan putus asa, membangkitkan semangat untuk hal yang lebih baik dan banyak menyampaikan berita kemenangan.

Ciri pemikirannya ialah mereka berdakwah kepada pembaharuan agama. Dengan pembaharuan agama, akal pun menjadi baru dengan diisi makrifat. Hati menjadi baru kerana diisi iman dan segala aspek kehidupan menjadi baru kerana diisi dengan pergerakan dan maju ke hadapan. Antara fenomena pembaharuan agama ialah ijtihad iaitu mengeluarkan hukum-hukum yang baru berdasarkan teks al-Quran dan al-sunnah.

Ijtihad merupakan keperluan umat Islam dan tuntutan agama. Ijtihad hendaklah dilakukan oleh orang yang selayaknya dan tidak boleh berijtihad dalam perkara-perkara yang pintunya memang tertutup. Pemikiran yang seimbang dan saling lengkap melengkapi suatu pandangan yang menggambarkan jalan pertengahan bagi umat pilihan, jauh daripada sikap berlebih-lebihan dan pengabaian.

Pemikiran ini seimbang antara penyeruan kepada pemikiran mazhab yang sempit dan penyeruan tanpa mazhab. Pertengahan antara orang yang mengagungkan akal walaupun bertentangan dengan teks dengan golongan yang mengabaikan akal walaupun dalam memahami teks, pertengahan antara keras dalam masalah cabangan dengan golongan yang mengabaikan dalam masalah asas dan pokok.

Bagaimanapun, masa depan wasatiyyah ini bergantung kepada sejauh mana ikatannya dengan dasar-dasar Islam dengan kefahaman yang jelas. Ia juga berkait dengan kesanggupan memenuhi keperluan masyarakat moden dan berbagai-bagai tuntutannya sama ada material mahupun spiritual, memiliki pengaruh yang kuat dalam masyarakat dan berkembang secara meluas dalam masyarakat.

Kita tidak boleh lagi mengecilkan diri. Kita harus menjalinkan hubungan dengan semua lapisan masyarakat. Pendekatan ini harus disuburkan dalam masyarakat Malaysia. Sikap konservatif dan liberal yang keterlaluan adalah menyimpang daripada manhaj yang dikehendaki dalam agama Islam.

Aliran yang membawa imej yang sederhana seringkali ingin dicampakkan dalam kategori ekstremis mahupun liberal. Pendekatan wasatiyyah ini telah terbukti dalam perkembangan dakwah di negara ini. Ia mendapat sambutan daripada masyarakat Malaysia sama ada orang Islam mahupun bukan Islam. Pendekatan ini juga telah diamalkan oleh pemimpin negara sejak merdeka.

Oleh itu, usaha-usaha untuk meruntuhkan imej dakwah dan perkembangan wasatiyyah dalam negara ini haruslah disekat. Di samping itu, kita harus memberi iklim yang bebas dan aman bagi perkembangan kebangkitan Islam untuk mempratikkannya tanpa merasa ketakutan.

Bagaimanapun kita khuatir, gelombang kebangkitan Islam ini dicemari oleh unsur-unsur seperti berikut iaitu aliran jumud yang menolak pembaharuan dan ijtihad, aliran fanatik dan keras iaitu menyempitkan apa yang dilapangkan Allah, bersikap keras di tempat yang seharusnya lembut, aliran berasa hebat di tengah masyarakat dan tidak mahu bercampur dengan masyarakat dalam proses perubahan, fanatik kepada individu dan organisasinya sendiri tanpa melihat kebaikan organisasi lain dan tenggelam dalam politik tempatan yang keterlaluan dan membatasi dalam bidang politik sahaja dan tidak peduli mengenai bidang-bidang yang lain.

Umat Islam perlu berkeyakinan bahawa kebangkitan Islam yang sederhana ini akan terus subur. Ketakutan-ketakutan terhadap unsur-unsur di atas tidaklah menyebabkan kita berputus asa.

Tulisan: Dr. Mohd. Rumaizuddin Ghazali
Felo Pemikiran Islam, Future Global Network (FGN)
Susunan: Lokman Hashim, MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 11, 2009.

 
%d bloggers like this: