Politik Pecah Belahkan Ummah


politikKetika ini umat Islam di negara ini seolah-olah sedang mengalami suatu macam ‘kekalutan’ yang ditimbulkan oleh segelintir pemimpin politik. Secara fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan, bukan persengketaan.

Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia. Justeru itulah manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu, umat Islam inginkan amalan yang sebenar, bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang  supaya segala faktor negatif ini tidak memerangkapkan dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam kancah fitnah besar dan kekacauan seperti yang pernah berlaku pada zaman pemerintah Khalifah Uthman dan Ali. Sejarah juga mencatat bagaimana dua orang sahabat besar, iaitu Talhah bin Ubaidillah dan Zubair bin Al-Awwam berdasarkan ijtihadnya sendiri sanggup menentang Ali bin Abi Talib. Demikian juga Muawiyah bin Abu Sufian dan para sahabat lain, mengangkat senjata menentang Ali bin Abi Talib.

Dahulu sejarah mencatat sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti nanti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

Perselisihan antara umat Islam bukannya tidak dijelaskan di dalam al-Quran. Banyak ayat yang menjelaskan sebab yang mendorong konflik dan perselisihan dalam ‘tubuh’ umat Islam. Surah al-Maidah ayat 14 menjelaskan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam. Perselisihan yang berlaku seperti yang dicatat di dalam al-Quran juga kerana kedengkian, cintakan kepada dunia, tidak menggunakan akal yang sihat dan saling tidak percaya mempercayai antara satu sama lain.

Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke kancah polemik dan konflik persengketaan. Ulama terkenal Sayyid Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini apabila menggariskan salah satu daripada empat faktor utama yang melingkari dilema perpecahan umat hingga lahirnya pelbagai ‘firqah’ atau kelompok dalam Islam adalah terkait dengan isu-isu politik dan perebutan kuasa.

Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika hingga menggejala secara meluas – apa yang sering diistilahkan sebagai politik wang, politik ampu, politik fitnah, politik adu domba, politik kuasa dan sebagainya. Penyimpangan budaya politik ini juga seringkali mengheret umat kepada fenomena permusuhan sesama sendiri.

Sebahagian besar huraian tentang aliran sesat dan bidaah dalam Islam sepakat bahawa perpecahan umat Islam bermula daripada persoalan politik. Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dalam bukunya Al-Milal Wa An-Nihal yang banyak menjadi acuan penulisan tentang aliran dan mazhab dalam Islam, menjelaskan terdapat sepuluh sebab perpecahan di kalangan umat Islam. Dua di antaranya terjadi sewaktu Nabi s.a.w masih hidup, iaitu penentangan sekitar penulisan wasiat Nabi s.a.w dan pertentangan mengenai penghantaran pasukan Usamah ke Syam untuk menahan serangan tentera Rom. Kedua-keduanya terjadi ketika Nabi s.a.w sedang gering (sakit). Menurut Abu Al-Fath Muhammad, perpecahan umat Islam sepanjang sejarah dapat dikelompokkan kepada dua. Pertama, kerana persoalan politik, khususnya yang berkaitan dengan persoalan ‘imamah’, dan kedua kerana persoalan doktrin yang menyangkut soal keimanan dan teologi.

Kaum Khawarij sendiri, setelah pemisahan diri mereka dari kelompok Ali kerana soal politik dan mencipta teologinya sendiri yang kemudian menjadi golongan ekstrem pertama dalam Islam. Demikian juga dengan Syiah yang muncul kerana reaksi terhadap Khawarij dan pengikut Muawiyah termasuk golongan yang muncul kerana  politik dan teologi sebagaimana juga Khawarij. Abdullah bin Umar melihat perpecahan dan konflik ini sebagai akibat dorongan kepentingan manusiawi. Sikap beliau yang tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini, secara tidak langsung telah membangun satu aliran politiknya sendiri. Sikap Abdullah ini kemudian diikuti oleh beberapa sahabat lain dan ramai orang yang bersimpati kepadanya. Abdullah menekankan persatuan berasal daripada Islam dan konflik yang terjadi antara sebahagian tokoh Islam adalah berpunca daripada persoalan politik.

Daripada kumpulan dan pemahaman yang berbagai-bagai itulah lahirnya kumpulan majoriti umat yang berada di atas ‘jalan perdana’, petunjuk Islam yang dinamakan Ahlus Sunnah  wal Jamaah  yang diakui Rasulullah sebagai satu–satunya kumpulan yang selamat dan berada di atas jalan kebenaran Islam dan tidak akan terjejas oleh fahaman serpihan seperti Khawarij, Syiah  dan fahaman assabiah yang meletakkan kepentingan politik semata-mata. Dalam konteks ini, Allah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan daripada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala  kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Ali-Imran: 26)

Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w pada setiap kali selesai solat, baginda membaca doa yang hingga kini terus popular di kalangan umat Islam. Doa itu bermaksud: ”Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah Engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang Engkau halangi dan tidak akan menberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh daripada apa yang Allah kehendaki.”

Justeru, dalam menghadapi suasana hidup masa kini, hendaknya kita sentiasa mengutamakan akal daripada nafsu dan mementingkan fikiran daripada keinginan. Dan seharusnya juga, usah terjebak dengan ‘permainan’ politik yang hanya mementingkan diri sendiri dan membelakangkan keharmonian hidup bermasyarakat. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Susunan: Lokman Hashim, Mutiara Islam Online
Sumber: JAKIM

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 12, 2009.

 
%d bloggers like this: