Khidmat SMS Maksiat Kepada JAWI


SMS Masiat JAWIMulai sekarang umat Islam yang menjadi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mesti menyimpan nombor 15888 atas nama Jawi di telefon bimbit masing-masing. Jika tidak pun sematkan dalam ingatan.

Ini kerana pada suatu hari nanti, nombor tersebut boleh digunakan untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Benar, mudah bagi anda mengirimkan pesanan aduan anda itu kepada nombor 15888. Aduan tersebut akan terus diterima terutama oleh pihak Penguatkuasa Jawi untuk tindakan seterusnya!

Hasil kemajuan teknologi telah melahirkan perkhidmatan yang dikenali Gerbang SMS Kerajaan Malaysia 15888 Jawi ini.

Tetapi apa yang penting perkhidmatan seperti ini merupakan faedah yang boleh dimanfaatkan kepada umat Islam untuk memberikan kemaslahatan seluruh ummah!

Tidakkah tindakan anda melaporkan kejadian maksiat khalwat bukan sahaja kerana tidak mahu bersekongkol dengan maksiat itu, tetapi juga untuk menjaga imej Islam itu sendiri!

Kita tidak mahu dek kerana perbuatan yang tidak senonoh itu yang boleh menyumbang kepada jenayah zina menjadi cemuhan oleh mereka yang bukan Islam!

Pengenalan kepada perkhidmatan SMS ini dilancarkan oleh Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali di Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyediaan perkhidmatan ini adalah hasil kerjasama Jawi dengan Bahagian E-KL, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. Hadir sama ialah Naib Presiden Eksekutif DAPAT Vista, Azli Paat.

Menurut Che Mat, setakat ini Jawi adalah satu-satunya Jabatan Agama Islam yang memperkenalkan sistem perkhidmatan SMS ini. “SMS ini bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi termasuk juga mendapatkan borang-borang nikah kahwin yang boleh dihantar ke alamat e-mel masing-masing selepas permintaan dibuat melalui sms 15888 ini,” katanya.

Jangan salah guna!

Namun beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan ini kerana perbuatan sedemikian boleh mengundang salah faham dan fitnah.

Katanya, aduan yang diterima melalui SMS ini adalah lengkap kerana nombor telefon pengadu ada tertera dan akan disimpan sebagai rujukan fail.

“Sesiapa yang didapati cuba menyalahgunakan perkhidmatan ini, tindakan terhadap si pengirim boleh diambil,” tegas Che Mat.

Che Mat berharap perkhidmatan ini benar-benar dapat membantu Jawi membanteras lebih banyak jenayah syarie yang dilakukan oleh umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Pengadu tidak perlu bimbang jika ragu-ragu hendak membuat aduan. Andai terserempak tanpa membuang masa, terus SMS kepada pihak Jawi tanpa disedari oleh suspek.

“Cara ini mungkin lebih selamat lebih-lebih lagi melibatkan jenayah yang dilakukan oleh jumlah pelaku yang ramai dan di kawasan yang kurang jaminan aspek keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Jawi berjaya mencapai satu kaedah yang sangat mudah, pantas dan efisien.

Ia boleh diakses tanpa mengira masa dan tempat bagi membanteras pelbagai gejala maksiat di kalangan umat Islam.

“Perkhidmatan seperti ini mesti diambil peluang oleh mereka yang tidak mahu bersekongkol atau bersubahat dari membiarkan maksiat itu berleluasa.

“Apabila kita tidak mampu menanganinya dengan tangan atau kuasa, maka dengan cara ini merupakan kaedah yang mudah dan selamat yang boleh mereka lakukan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan tanggungjawab pihak Jawi terutama Bahagian Penguat Kuasa kini semakin bertambah dan berat.

“Dari aspek penguatkuasaan terhadap setiap aduan tersebut adakah mereka mempunyai cukup bilangan pegawai dan kakitangan yang terlatih dan berkemahiran. Apatah lagi melibatkan jenayah khalwat,” katanya.

Namun Musa lebih mengharapkan agar perkhidmatan seperti ini tidak menjadi seperti apa yang berlaku pada talian kecemasan 999.

“Ini apabila mereka menggunakan talian itu untuk membuat talian palsu dan sebagainya, jadi tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku kepada perkhidmatan SMS yang ditawarkan oleh Jawi ini,” katanya.

Seperkara yang penting juga kata Musa, pengadu mesti menyedari bahawa aduan yang mereka lakukan melalui ini bukan satu aduan yang rasmi.

“Mereka mesti bertanggungjawab untuk mengisi borang 5, borang aduan yang disediakan oleh pihak Jawi bagi memastikan seluruh perjalanan kes ini adalah rasmi dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang lain,” katanya.

Si pengadu juga kata Musa mesti berada di tempat kejadian semasa penguatkuasaan dilakukan oleh pihak Jawi.

“Sesetengah kes jenayah syarie sebelum ini terlepas daripada diambil tindakan apabila pengadu hanya membuat aduan tetapi tidak mengisi borang tersebut,” katanya.

Disunting/Disusun Oleh: Lokman Hashim, MutiaraIslam Online
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 13, 2009.

 
%d bloggers like this: