Siapa Menjaga Anak-Anak Anda?



Pusat Jagaan Kanak-Kanak

Penulis berhasrat untuk memulakan makalah ini dengan satu soalan yang khusus ditujukan kepada suami-isteri bekerja serta memiliki anak kecil, “Siapakah yang menjaga anak-anak anda ketika anda keluar bekerja?”Lazimnya, suami-isteri yang bekerja akan memilih salah satu daripada bentuk penjagaan anak yang berikut: (i) pusat jagaan yang berhampiran dengan rumah atau pejabat; (ii) pengasuh yang terdiri dari mereka yang tiada pertalian darah yang mungkin terdiri dari jiran berdekatan dengan rumah atau yang tinggal dalam perjalanan ke pejabat; (iii) pengasuh yang terdiri dari saudara-mara seperti adik-beradik, makcik atau ibu pasangan suami-isteri itu; dan, (iv) pembantu rumah.

Setiap bentuk penjagaan ini dipilih setelah pasangan suami-isteri tadi menimbangkan buruk-baik bentuk-bentuk penjagaan tersebut dari semua segi. Biasanya, bentuk jagaan yang paling banyak manfaatnya kepada keluarga itu dan yang paling sikit kesan buruknya akan dipilih.

Mereka yang anak-anaknya dijaga oleh saudara-mara yang tinggal berdekatan adalah yang paling beruntung sekali. Ini kerana anak-anak mereka dijaga oleh darah daging sendiri yang tentunya akan memberi jagaan terbaik untuk anak-anak tadi. Namun, dengan berkembangnya keluarga asas yang tinggal berjauhan antara satu sama lain, tidak ramai pasangan suami-isteri yang bertuah seperti ini. Tambah pula bila semakin ramai wanita yang bekerja, jika ada adik-beradik yang tinggal berhampiran pun, mungkin tidak dapat saling membantu dalam hal ini.

Penulis sendiri, yang berasal dari Ipoh dan tinggal di Jalan Ipoh, memiliki tiga orang saudara rapat di Lembah Klang ini. Seorang kakak di Bandar Sunway, seorang sepupu di Petaling Jaya dan seorang ibu saudara di Gombak. Tidak mungkin penulis menghantar anak untuk dijaga oleh kakak penulis itu sebab beliau bekerja. Sepupu penulis pula, walaupun beliau tidak bekerja, tidak mungkin penulis mahu berulang-alik ke Petaling Jaya pada setiap pagi dan petang, sementelah pula anak penulis bersekolah di Jalan Ipoh. Rumah ibu saudara penulis, mungkin agak dekat, tetapi, adalah tidak wajar untuk penulis menyusahkan ibu saudara penulis yang berusia 67 tahun itu. Jadi, ini adalah antara keadaan-keadaan yang dihadapi oleh ramai pasangan suami-isteri bekerja di mana saudara-mara tidak lagi boleh menjadi penyelesai kepada masalah penjagaan anak mereka.

Bagi pasangan seperti ini, pusat jagaan kanak-kanak mungkin satu penyelesaian yang baik. Begitu juga, ada yang mengambil khidmat pembantu rumah kerana selain penjaga anak, pembantu rumah juga boleh mengemas rumah dan membantu di dapur.
Walaupun bentuk-bentuk jagaan ini bukanlah bentuk-bentuk jagaan yang sempurna, namun bentuk-bentuk jagaan seperti itulah yang telah membantu banyak keluarga dwi-kerja di negara kita ini.

Bentuk-bentuk jagaan ini pada asasnya bertujuan untuk memastikan anak-anak kita berada dalam jagaan dan peliharaan orang dewasa ketika kita keluar bekerja. Ini bermakna ketika dalam jagaan orang-orang ini, anak-anak kita akan terjaga makan, minum dan pakainya serta selamat dari sebarang bentuk bahaya. Dalam kata-kata lain, penekanan yang diberikan ia soal penjagaan anak-anak itu, bukan sangat soal didikannya.

Oleh itu, walau apapun bentuk jagaan yang dipilih, ibu bapa masih perlu memberi perhatian kepada soal didikan anak-anak, baik dari segi kerohaniannya, mahupun akhlaknya. Tambah pula bila agama Islam meletakkan tanggungjawab ini di bahu kedua ibu bapa sebagaimana dalam maksud hadis berikut, “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibubapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”.

“Baik-buruk bentuk-bentuk penjagaan anak” ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam Seminar “Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa” yang akan dianjurkan oleh IKIM pada 26 – 27 Mei ini. Selain cabaran dari segi menyediakan penjagaan anak yang baik, institusi keluarga juga berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh perkembangan teknologi terkini serta kesannya kepada anak-anak kita yang terdedah padanya. Begitu juga, seminar ini juga akan menyentuh tentang bagaimana untuk memperkasakan anak-anak kita untuk berhadapan dengan cabaran di luar rumah, baik berkaitan dengan rakan sebaya, mahupun aktiviti luar rumah yang tidak sihat. Akhirnya, seminar ini akan memperkatakan tentang “Piagam Keluarga” sebagai asas pembinaan keluarga sejahtera.

Semoga seminar ini dapat memberikan garis panduan kepada ibu bapa masa kini untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran tadi yang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga yang sedang mereka bina.

Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman
Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Susunan/Diterbitkan Oleh: Lokman Hashim, MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 13, 2009.

 
%d bloggers like this: