URUSAN DUNIA URUSAN MANUSIA


sky-300x225

Islam adalah agama untuk kehidupan dan kemajuan seluruh umat manusia. Ajarannya merangkumi bukan sahaja akidah, ibadah, muamalah, malahan mencakupi urusan politik, ekonomi dan sosial serta lain-lain urusan kehidupan yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan umat seluruhnya.

Dalam urusan akidah, ia dijelaskan secara terperinci. Demikian juga sebahagian daripada amalan dan urusan ibadah. Bagaimanapun, urusan muamalah, politik, ekonomi, sosial, dan lain-lain, sebahagian besarnya diserahkan kepada keputusan manusia itu sendiri melalui syura terutama urusan yang berkaitan dengan kehidupan sehari-harian.

Oleh hal yang demikian itu, apabila Allah menjelaskan mengenai soal-soal akidah dan ketuhanan, maka dinyatakannya dengan tegas dan jelas sepertimana firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, Dialah Allah itu Esa…” Demikianlah seterusnya dibentang mengenai sifat-sifat ketuhanan dan masalah-masalah sam`iyaat yang lain.

Dalam masalah ini tidak dibenarkan manusia berselisih pendapat. Malah kalau ada orang yang menyatakan pendapatnya yang bertentangan, maka ia dihukum sesat dan kufur. Tetapi dalam soal-soal kehidupan seperti urusan muamalah, sosial, dan lain-lain dinyatakan secara umum. Malahan ada yang secara langsung diserahkan kepada ijtihad dan keputusan umat seperti soal-soal khilafah. Sebab itu sejarah pemilihan khalifah adalah berlainan menurut cara dan pendekatannya yang tersendiri. Demikian juga soal-soal khilafiah, fikhiah yang tidak ada kaitan langsung dengan kekufuran atau keimanan seseorang.

Para sahabat pernah berselisih pendapat apabila mereka menerima arahan daripada Rasullullah s.a.w. “Jangan kamu sembahyang Asar melainkan di perkampungan Bani Khuraizah.” (Riwayat Al-Hakim daripada Abu Sayed Al-Khudri). Persoalannya, adakah mereka hendak bersembahyang apabila betul-betul sampai di sana atau di pertengahan jalan? Baginda sendiri melihat perselisihan itu sebagai perkara biasa dan tidak memberi sebarang komentar atau kencaman terhadap mereka, malahan baginda terus mengumpulkan mereka semua dalam satu barisan untuk memerangi kaum Yahudi.

Ulama Islam juga pernah berselisih faham dalam sesuatu masalah tetapi mereka tidak pernah mendakwa pendapat mereka sahaja yang benar-benar menepati apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t, manakala pendapat orang lain semuanya sesat dan karut. Mereka cuma mengatakan bahawa: “pendapat aku adalah betul tetapi kemungkinan ia salah sedangkan pendapat orang lain adalah salah tetapi kemungkinan juga ia benar.” Perselisihan terus wujud di kalangan mereka tanpa menjejaskan hubungan kasih sayang dan hormat-menghormati sesama mereka.

Dalam sebahagian daripada soal urusan kehidupan dunia ini, Islam tidak menentukan suatu bentuk khusus seperti soal syura, jihad, keadilan, pendidikan, kegiatan perekonomian, dan lain-lain. Perkara tersebut dinyatakan secara umum dan digariskan secara kasar sahaja. Sedangkan cara pelaksanaannya diserahkan kepada pemikiran dan ijtihad manusia. Sebab itu kita dapati Saidina Abu Bakar r.a melantik dan memilih Umar r.a seorang sahaja sebagai penggantinya. Manakala Umar pula mencadangkan enam orang yang perlu dipilih, salah seorang daripada kalangan mereka sebagai penggantinya. Sedangkan Baginda Rasullullah s.a.w tidak pernah memilih sesiapa pun untuk menggantikan baginda. Oleh hal yang demikian itu, tidak ada sesiapa yang boleh mengaku jawatannya sebagai haknya yang mutlak. Dan sesiapa yang tidak menyokongnya dianggap derhaka kepada Allah. Ini adalah salah satu bentuk ajaran yang menyimpang daripada kemurnian dan keadilan Islam itu sendiri.

Al-Quran adalah kitab hidayah untuk membimbing manusia menuju kebahagiaan, keadilan, dan ihsan. Ini jelas ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengarah dan memerintah dengan keadilan dan ihsan.” (An Nahl: 90)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Hendaklah kamu berlaku adil kerana ia lebih hampir kepada ketakwaan.” (Al-Maidah: 8)

Keadilan memerlukan apa saja yang difikirkan sesuai dan baik untuk menjamin sesuatu hak yang diakui oleh agama. Sehingga tidak dibenarkan orang Islam memerangi bukan Islam yang tidak memusuhi dan memerangi mereka. Malahan kita disuruh melakukan kebaikan kepada mereka. Dalam sebuah hadis Rasululluh s.a.w, baginda ada memerintah dan mengarahkan supaya menolak hudud sedapat mungkin terhadap orang-orang Islam sekiranya terdapat sebarang syubahat.

Alangkah indah dan harmoninya ajaran Islam; ini semua dianjurkan demi untuk mempertahankan keadilan semata-mata. Adapun ihsan pula diwajibkan terhadap segala-galanya sehingga kalau hendak menyembelih haiwan pun kita diarahkan supaya menajamkan mata pisau dan dilakukan dengan baik dan berhati-hati supaya tidak menganiyai haiwan tersebut. Demikianlah dalam apa-apa tindakan yang lain semuanya perlu dilaksanakan dengan baik dan cemerlang. Alangkah tinggi dan sucinya ajaran agama ini.

Rasullullah s.a.w dalam salah satu hadis, telah memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada umat Islam dalam urusan kehidupan ini. Baginda bersabda yang bermaksud: “Kamu lebih tahu urusan kehidupan dunia kamu.” (Daripada Aisyah dan Anas, riwayat Muslim)

Bagaimana ruang kebebasan yang diberi kepada umatnya untuk bergerak, berfikir, merancang dan melakukan sesuatu tindakan asalkan tidak melanggar batas-batas keadilan syarak yang telah ditetapkan kerana kebebasan itu diberi adalah untuk menjaga keadilan tersebut.

Umpamanya, untuk mengawal keadilan dan kestabilan rumah tangga, diadakan syarat-syarat tertentu. Seperti keizinan isteri pertama, dikeluarkan surat nikah dan cerai, demikian juga untuk mengawal penyebaran ilmu salah dan sesat, diadakan pula tauliah mengajar dan sebagainya.

Ini semua adalah termasuk kategori keadilan, supaya orang yang benar-benar berhak mengajar sahaja dapat melakukan tugasnya dengan baik dan bebas. Manakala orang yang tidak mempunyai kelayakan tidak boleh mengajar dan menyebarkan ilmunya kerana dikhuatiri mereka akan menyesatkan orang lain.

Seterusnya, apa sahaja syarat-syarat atau undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mestilah dipatuhi dan dihormati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama kerana apabila sesuatu undang-undang atau enakmen telah diwartakan, maka ia akan berkuatkuasa sebagai undang-undang yang sah dan muktamad bagi sesuatu negeri tanpa boleh dipersoalkan atau dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Oleh hal demikian itu, kita sebagai umat yang menjunjung kemuliaan dan kemurnian Islam, seharusnya menggunakan ‘kebebasan’ yang telah dianugerahkan Allah bagi mengatur, merencana, dan seterusnya melaksanakan sesuatu perkara demi kebahagiaan, kesejahteraan, dan keharmonian hidup ummah dengan sebaik-baiknya.

Disunting Oleh: Penerbit MutiaraIslam Online

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 14, 2009.

 
%d bloggers like this: