Murtad: Antitesis Islam


murtadApabila menyentuh isu murtad, sudah pastinya timbul persoalan, mengapa dan  kenapa terjadi sedemikian rupa? Murtad juga seringkali dikaitkan dengan hukuman hudud, malah ianya juga pernah terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w.

Dalam perkara ini,  Imam al-Ghazali pernah berkata: “Akan datang fitnah murtad ini dalam keadaan seperti semut hitam di atas batu hitam di malam gelap. Mana nampak? Kecuali kalau jiwa kita melihat suatu perkara dengan cahaya keimanan.”

Murtad merupakan terpesongnya akidah, dan bagi orang yang menzahirkan murtadnya amat merbahaya kerana akan menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya. Ia merosakkan sistem Islam yang secara keseluruhannya yang berperanan mengurusi hal-ehwal kehidupan manusia dalam sesebuah negara, tanpa mengira rakyat negara tersebut beragama Islam atau selainnya.

Kita semua tahu bahawa salah satu tujuan luhur Islam dalam menjaga masyarakat (yang disebut sebagai maqasid syar’iyyah) yang merangkumi agama /akidah, akal, keturunan, harta dan roh. Allah s.w.t sekali-kali tidak memberi hak dan keizinan ke atas manusia untuk menyekutukan-Nya atau tidak mempercayai kewujudan-Nya (atheist).

Dalam hal ini, baginda Rasulullah s.a.w. telah memberi satu garis panduan berhubung dengan golongan murtad berdasarkan sebuah hadis yang tegas daripada baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya.” (Riwayat Bukhari 2/280; Abu Daud (4351); Tirmizi 145 ; Nasaie, 7/104 dan Ahmad ,1/282).

Di dalam riwayat lain, Muadz pernah membawa seorang lelaki lalu berkata. ”Inilah wahai Rasul seorang lelaki yang dahulunya Yahudi, kemudian telah Islam dan kemudian telah kembali kafir (murtad) kepada agamanya yang buruk.” Maka Muadz (mempersilakan Nabi untuk duduk).

Sabda Rasulullah s.a.w : “Aku tidak akan duduk sehinggalah ia dibunuh, hukuman Allah dan Rasul-Nya sebanyak 3 kali, maka diarahkannya untuk membunuh lelaki murtad tadi, lalu dibunuh…” ( Riwayat Bukhari bab hukuman murtad (no. 6923); Muslim ( no 4695) dan Abu Daud dalam kitab aqdhiyah dan Hudud (no. 4354); Riwayat An-Nasaie, Jld 7/104, juga diriwayatkan oleh Imam Syafie Jld 2/280)

Tetapi dalam situasi yang tertentu, banyak pandangan para ulama antaranya, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah yang menjelaskan: “Islam tidak menjatuhkan hukuman bunuh atas orang yang murtad yang tidak menghebahkan murtadnya dan tidak menyeru orang lain agar murtad sepertinya. Islam membiarkannya agar menerima balasannya di akhirat kelak jika dia mati dalam kekafirannya itu.“

Dr. Yusof al-Qaradhawi juga berkata: “Adalah mesti untuk kita mengasingkan di antara riddah ghalizah (murtad yang melampau) dan riddah khafifah (murtad kecil), juga perlu dibeza di antara murtad dengan menyeru orang lain (agar membenci Islam dll) dan murtad yang tanpa seruan.” (Yusof al-Qaradhawi, Jarimatur Riddah, hlm. 35)

Beliau memberikan contoh riddah ghalizah (melampau) seperti Salman Al-Rushdie iaitu si murtad yang membawa pemikiran bidaah dan sesatnya dengan lisan dan tulisannya.

Sejak dulu lagi kafir Barat, pendukungnya, dan para sekularis mereka telah menjajah dan cuba menjajah kembali umat Islam dari segi ketenteraaan, politik, ekonomi, pemikiran, kebudayaan, dan keagamaan.

Kini, musuh-musuh Allah s.w.t ini tidak pernah berputus asa, malah berusaha mengeluarkan kaum Muslimin daripada agama Islam. Hipokrasi slogan Hak Asasi Manusia yang dilontarkan oleh kafir Barat kepada dunia telah dimanfaatkan secara rencam oleh mereka untuk menguasai negara Islam dan meluaskan cengkaman mereka ke atas umat Islam.

Dalam mempertahankan perjuangan mereka, golongan ini telah mengelirukan umat Islam dengan pelbagai fahaman dan lontaran negatif berupa stereotaip, prejudis terhadap Islam, Islamphobia, Islam Liberal, ekstremis dan pelbagai lagi agenda mereka termasuk tafsiran ayat (yang bermaksud): “… tidak ada paksaan dalam agama…” (al-Baqarah: 256)

Mereka mengatakan bahawa orang Islam boleh keluar daripada Islam berdasarkan ayat ini. Kesalahan mereka amat jelas dan ketara kerana ayat yang mulia ini sebenarnya menerangkan tidak ada paksaan ke atas orang kafir untuk memeluk Islam, bukan sebaliknya. Walaupun secara umum/indvidu bagi orang kafir untuk memeluk agama Islam, mereka perlu memeluk Islam atas kerelaan dan kesedaran sendiri, bukan kerana paksaan orang lain. (lihat surah Ali-Imran: 3,19,85)

Retrospektif zaman pemerintahan Islam, Umar bin al-Khattab amat jelas memberikan kebebasan beragama dengan memudahkan penyembahan non Islam. Ketika dalam urusan mengadakan perjanjian dengan wilayah yang baru dibuka di Baitul Maqdis, beliau melihat sebuah haikal (tempat berhala) Yahudi yang telah diseliputi pasir lalu membersihkannya. Ini menggambarkan bahawa Islam amat mementingkan kebebasan beragama kepada semua penganut agama kecuali penganut Islam.

Difusi toleransi dan contoh pengurusan sosial terbaik Rasulullah s.a.w dan para sahabat ternyata menjadi ikutan generasi tabi’in dalam episod pembukaan negeri. Kebebasan beragama dapat dilihat dengan jelas dan menjadi sejarah ketika pembukaan negeri di Andalus.

Bangsa Yahudi yang diseksa dan diperhambakan serta larangan menganut agama selain dari Kristian pada zaman pemerintahan Gothik, telah berubah “Sejuta Wajah” apabila “Cahaya Islam” hadir  menerangi bumi Eropah ini. Bangsa Yahudi dibebaskan, dan agama Yahudi diizinkan untuk diamalkan, malah agama Kristian juga tidak terkecuali, bebas mengamalkan ajaran mereka.

Hak kebebasan dinikmati oleh semua dalam meneruskan kegiatan mereka di dunia ini. Hak kemanusiaan ini dianggap sesuatu yang amat suci. Walau bagaimanapun, konsep kebebasan ini dikurnikan Allah s.w.t berdasarkan prinsip-prinsip, iaitu  manusia dan isi hati mereka merupakan milik Allah s.w.t. Islam juga menolak penindasan terhadap agama, perselisihan kelas, atau prejudis terhadap mana-mana kaum.

Dalam konteks Malaysia, isu murtad (meninggalkan agama Islam) dan isu bertukar agama adalah isu yang amat sensitif yang boleh mencetuskan rusuhan agama jika tidak ditangani dengan halus, tegas dan berhati-hati. Tumpuan utama haruslah diberikan terhadap generasi muda terutama golongan remaja.

Ketegasan amat perlu apatah lagi sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menguji tafsiran Perlembagaan Negara sebagai strategi perundangan untuk mempengaruhi orang Islam bertukar agama. Ketegasan juga amat perlu terhadap mana-mana pihak yang cenderung untuk memainkan emosi keagamaan dan menggunakan kekerasan yang boleh membawa kepada pertumpahan darah atas alasan membela atau mempertahankan penganut agama masing-masing.

Imam Ghazali pernah berkata: “Agama itu asas, pemerintah itu penjaga, sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan tidak ada penjaga akan hilang, jika agama itu tidak dijaga, maka ia akan hilang.”

Ini bermakna umat Islam hendaklah berhati-hati terhadap pengaruh harta benda, kedudukan dan pangkat supaya tidak sampai mengikis agama, keislaman dan keimanan. Sebab apabila agama itu semakin terhakis, kikis, dan lemah pasti umat Islam akan hancur binasa, sebagaimana rosak binasanya orang yang telah murtad. Sesungguhnya agama itu merupakan asas yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Oleh: Penerbit, Mutiara Islam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 15, 2009.

 
%d bloggers like this: