BERANI DAN BENAR DIJALAN DAKWAH


Jalan Dakwah

Kehidupan di dunia ini diiringi kesukaran (cabaran) demi kesukaran (maksud surah al-Balad: 4) sehinggakan kesukaran (kesulitan) atau cabaran itu seolah-olah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Itu realiti perjalanan dunia ini. Kesulitan, kesukaran, cabaran, dan dugaan menjadi risiko hidup. Tiada seorang pun yang terlepas daripada kenyataan itu. Bagaimanapun, apa yang seringkali terjadi adalah perasaan bimbang terhadap risiko yang bakal muncul lantaran kekerdilan jiwa untuk menghadapinya. Lalu timbullah seribu satu macam ketakutan. Rasa ketakutan ini cuma akan membuat seseorang itu menjadi pengecut. Dan akhirnya lari daripada kenyataan.

Sifat pengecut dilihat sebagai sifat tercela yang tidak seharusnya dimiliki orang yang beriman kerana pengecut bermakna ia tidak mahu menanggung dan menghadapi risiko yang memang sudah menjadi suatu fitrah. Perilaku ini merupakan perilaku orang yang setengah hati dalam keimanan, hanya ingin serba senang tanpa perlu bersusah payah menghadapi masalah yang rumit. Sifat pengecut akan menjadi penghalang untuk maju dan penyekat langkah ke arah kejayaan.

Ketika ini dunia dipenuhi dengan orang yang memiliki sifat pengecut. Sebuah hadis Nabi s.a.w menggambarkan bahawa pada suatu masa umat Islam akan menjadi ‘mainan’ musuh-musuh Islam kerana menghidap penyakit wahn, iaitu cinta akan dunia dan takut akan mati. Memang, penyakit wahn inilah yang menyebabkan banyak umat Islam yang menjadi pengecut sehingga tidak lagi ditakuti oleh musuh-musuh, yakni kaum kafir, musyrikin, dan munafiqin.

Islam memandang hina orang yang pengecut. Baik pengecut untuk mempertahankan hidup sehingga mudah putus asa. Pengecut lantaran takut dipencilkan oleh masyarakat. Pengecut kerana berlainan dengan sikap kebanyakan orang. Atau pengecut untuk membela sesuatu nilai murni. Kemudian menjerumuskan pelakunya kepada sikap yang terumbang-ambing tanpa prinsip.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian. Apabila orang melakukan kebaikan, maka aku pun melakukannya. Namun apabila orang melakukan keburukan, maka aku pun ikut melakukannya juga. Tetapi jadilah orang yang mempunyai pendirian dan keberanian. Jika orang melakukan kebaikan, maka aku melakukannya. Namun jika orang melakukan keburukan, maka aku tinggalkan sikap buruk mereka.” (Riwayat Tirmidzi)

Allah s.w.t ‘menyemarakkan semangat’ orang yang beriman agar jangan menjadi penakut, usah menjadi pengecut kerana rasa rasa takut akan membawa kepada kegagalan dan kekalahan. Keberanian menjadi seruan yang terus berulang-ulang dikumandangkan kerana keberanian adalah tuntutan keimanan. Beriman pada Allah s.w.t mengajarkan kita menjadi orang yang berani menghadapi pelbagai risiko dalam hidup ini, lebih-lebih lagi risiko dalam memperjuangkan dakwah.

Syaja’ah atau keberanian merupakan jalan untuk mewujudkan sebuah kemenangan dan sebagai izzah keimanan. Tidak perlu ada kata ‘gentar’ bagi pendakwah sewaktu memikul tugas jika ingin meraih kegemilangan. Dari sisi inilah kaum yang beriman berada jauh di atas berbanding kebanyakan orang kerana izzah keimanan memimpin mereka untuk tidak takut dan gentar barang sedikit pun.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 139)

Dahulu, apa yang membuat musuh-musuh Islam gentar adalah kerana keberanian pejuang-pejuang Islam yang mara ke medan perang dengan rasa ‘gembira’ kerana keyakinan dan ketakwaan, yakni hidup mulia dengan meraih kemenangan atau mati syahid di jalan Allah. Bahkan mereka jauh mencintai kemuliaan sebagai syahid sebagaimana kecintaan kaum kafir terhadap dunia. Dengan sikap inilah kaum Muslimin banyak memperoleh anugerah kemenangan dakwah di pelbagai tempat dan masa.

Golongan kafir amat takut terhadap orang beriman yang memiliki prinsip ini sehingga mereka berusaha sedaya upaya agar sifat berani tidak bersemayam dalam diri orang mukmin. Lalu mereka menakut-bakutkan kaum Muslimin dengan situasi dan keadaan masa depan yang suram, ancaman, dan tekanan-tekanan lainnya agar umat Islam tidak lagi berani memperjuangkan nilai dan norma yang diyakininya. Akhirnya, timbullah sikap penakut yang luar biasa sehingga melemahkan semangat juangnya.

Oleh hal yang demikian itu, usahlah tertipu dek tipu muslihat orang kafir untuk menghilangkan sifat syaja’ah. Ingatlah bahawa syaja’ah merupakan harga diri orang beriman. Lantaran sifat itulah,  tercatat dalam sejarah kegemilangan umat Islam zaman silam, bahawa sebulan sebelum kedatangan kaum Muslimin, warga di Babylon telah lari bertempiaran apabila mendengar umat Islam akan tiba di negeri mereka. Apabila sampai, Khalid bin Walid r.a menenangkan masyarakat Romawi agar tidak perlu takut terhadap kaum Muslimin kerana kedatangan umat Islam hanya untuk menyerukan Islam dan mengajak mereka menghambakan diri kepada pada Allah s.w.t.

Asy syaja’ah (keberanian) menjadi salah satu ciri yang dimiliki orang yang istiqamah di jalan Allah, selain ciri-ciri berupa al-ithmi’nan (ketenangan) dan at-tafaul (optimisme). Dengan demikian orang yang istiqamah akan sentiasa berani, tenang, dan optimis kerana yakin berada di jalan yang benar dan yakin pula akan dekatnya pertolongan Allah s.w.t. Bagaimanapun, memang tidak mudah untuk menjadi orang yang istiqamah atau teguh pendirian memegang nilai-nilai kebenaran dan sentiasa berada di jalan Allah.

Rasulullah s.a.w sendiri amat memahami makna istiqamah yang sesungguhnya sampai ketika Abu Sufyan bertanya hal terpenting, apa dalam Islam yang membuatnya tidak perlu bertanya lagi. Baginda menjawab yang bermaksud: “Berimanlah kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (terhadap yang kamu imani tersebut).” (Riwayat Bukhari)

Pada kesempatan lain, Rasulullah s.a.w juga mengatakan dugaan bagi orang yang istiqamah, memegang Islam pada akhir zaman, begitu berat umpama menggenggam bara api.

Keberanian untuk tetap istiqamah walau nyawa menjadi taruhannya, terlihat pada diri orang yang beriman sebagaimana terakam di dalam surah Al-Buruuj, ayat 4-8, yang dimasukkan ke dalam parit dan dibakar oleh as-habul ukhdud hanya kerana mereka menyatakan keimanannya kepada Allah s.w.t. Begitu juga Asiah, isteri Firaun, dan Masyitah, hamba kepada Firaun, kedua-duanya perlu menebus keimanan mereka kepada Allah s.w.t dengan nyawa mereka. Mereka diseksa kerana mereka tidak ‘mempertuhankan’ Firaun. Demikian sukarnya untuk mempertahankan keistiqamahan di jalan Allah, dan demikian sukar dan perit pula untuk mewujudkan asy syaja’ah sebagai salah satu bentuk keimanan.

Tuntutan dakwah

Dalam memikul amanah dakwah, slogan ‘Jangan pernah takut, Pantang berundur, Berani kerana benar’ tidak seharusnya luntur, malahan harus tetap terpateri dalam sanubari pendakwah. Melekatnya doktrin itu, membuat pendakwah tidak akan lari ke belakang demi kemenangan dalam melaksanakan misi dakwah. Ini kerana asy syaja’ah (keberanian) memikul amanah umat merupakan tuntutan dakwah.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada dalam gua, pada waktu dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah beserta kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 40)

Di samping itu, sikap syaja’ah para pendakwah menjadi faktor penting di atas kesinambungan dakwah di muka bumi ini. Dengannya, dakwah terus berjalan meskipun perlu menembusi bukit kukuh ataupun tembok besar; berisiko besar ataupun kecil. Dengan keberanian para pejuang dakwah, ajaran Islam ini berkembang ke pelbagai pelosok dunia, bahkan sampai kepada diri kita ketika ini, walhal apabila dilihat dugaan dan rintangan yang dihadapi, memang amat berat. Dugaan dan cabaran alam dan budaya datang tunda-menunda, begitu juga rintangan daripada musuh-musuh dakwah.

Tonggak keberanian

Oleh kerana sikap asy-syaja’ah merupakan tuntutan dakwah, maka para pendakwah perlu selalu memperteguhkan keberanian dan ketakwaan agar kata ‘takut’ dan ‘pengecut’ tidak lagi melekat dalam dirinya. Takut dan pengecut tidak boleh ada dalam memperjuangkan dakwah. Adapun tonggak yang membuat diri seseorang pendakwah memiliki sifat asy-syaja’ah adalah seperti yang berikut:

1. Beriman dengan yang ‘ghaib’

Tonggak yang amat kukuh untuk menguatkan sikap asy-syaja’ah dalam diri para pendakwah adalah memperkuat keyakinannya akan hal-hal yang ghaib. Seperti yakin akan pertolongan Allah s.w.t. Yakin akan malaikat-malaikat-Nya yang sentiasa membantu orang yang memperjuangkan agama Allah s.w.t. Begitu juga yakin akan kehidupan akhirat yang ditentukan oleh amal kita di dunia ini, khususnya amal-amal dakwah.

Keyakinan terhadap perkara yang ‘ghaib’ menerbitkan sikap berani, tidak takut terhadap apa yang terjadi kerana baginya semua yang bakal terjadi telah menjadi ketentuan dalam kehidupan seseorang. Ia merupakan takdir yang telah ditetapkan. Sebagaimana contoh seorang pendakwah yang diancam atas perjuangannya. Tatkala di atas kepalanya  diletakkan pedang, lalu si pemenggal kepala berkata, “Mana Tuhanmu? Apakah dia dapat menyelamatkan kamu jika pedang ini kukelar ke lehermu? Dan putuslah lehermu.” Jawab si pendakwah itu, “Apabila Tuhanku tidak mengizinkan pedang ini memotong leherku, maka aku tidak akan mati. Atau kalaupun pedang itu kau cantas, namun jika Tuhanku tidak menetapkan aku mati, maka aku pun tidak akan mati.”  Jawapan ini sebagai jawapan atas keyakinan kepada yang ‘ghaib’, yakni kekuasaan Allah s.w.t.

Keyakinan seumpama ini adalah hasil daripada tarbiyah yang telah menanamkan rasa takut hanya pada Allah s.w.t dan sentiasa bergantung kepada-Nya sehinggakan para pendakwah memiliki pegangan yang teramat kuat. Lantaran pegangan dirinya kepada Yang Maha Kuasa, dia tidak pernah mengalah untuk menghadapi cubaan dan rintangan dakwah. Demikianlah hasil daripada proses tarbiyah yang panjang dan berkesinambungan, membina jati idri para pendakwah untuk sentiasa yakin dengan sebenar-benarnya pada kekuasaan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan Abu Bakar r.a. akan keyakinan pada Rabbul Izzati. Di saat orang-orang kafir sudah berada di Gua Tsur untuk membunuh mereka, Abu Bakar berkata dengan cemas, “Ya Rasulullah, sekiranya salah seorang daripada mereka melihat betisnya, maka mereka pasti akan melihat kita.” Nabi s.a.w menenangkan Abu Bakar dengan menyatakan, “Wahai Abu Bakar, apakah kamu fikir kita di sini cuma berdua? Tidak, Abu Bakar. Kita di sini bertiga. Janganlah takut dan gentar, Allah bersama kita.”

Oleh hal yang demikian itu, jiwa para pendakwah tidak seharusnya luput untuk sering bermohon dan bermunajat kepada Allah s.w.t agar dikuatkan diri dan jiwa dalam memperjuangkan dakwah kerana kemenangan para pejuang dakwah bukan ditentukan oleh kekuatan material, tetapi kekuatan daripada Yang Maha Perkasa.

2. Menundukkan rasa takut

Rasa takut adalah sebagai lawan daripada asy syaja’ah, memang amat manusiawi sifatnya. Kenyataan ini merupakan watak alamiah yang dimiliki setiap insan. Bagaimanapun, rasa takut seperti itu harus berada di bawah khauf syar’i, yakni takut kepada Allah s.w.t semata-mata.

Hal tersebut secara indah dan ‘heroik’ terlihat pada kisah Nabi Musa a.s., Ibrahim a.s, dan Muhammad s.a.w. Rasa takut kepada kemungkinan tenggelam di Laut Merah dapat diatasi dengan ketenangan, optimisme, dan keberanian Nabi Musa a.s yang sentiasa yakin bahawa Allah bersamanya dan akan menunjukkannya jalan. Dan benarlah Allah memberikan Nabi Musa a.s jalan keluar berupa mukjizat dengan terbelahnya Laut Merah menerusi pukulan tongkatnya. Kemudian laut itu menyatu kembali dan menenggelamkan Firaun beserta pengikutnya.

Kisah yang tidak kurang menggetarkan kalbu terlihat pada peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s. Rasa takut tabii terhadap api dan terbakar olehnya dapat ditundukkan oleh rasa takut syar’i, yakni takut kepada Allah semata-mata. Dan subhanallah, pertolongan Allah datang dengan perintah-Nya kepada api agar menjadi dingin dan sejuk serta menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s.

Sudah sewajarnya setiap pendakwah sentiasa menundukkan rasa takut insaniahnya dengan mendominasikan rasa takut syar’inya sehingga apa yang selalu tertanam dalam dirinya hanyalah takut kepada Allah semata-mata, dan tidak berasa gentar terhadap apa saja ‘kekuatan’ selain Allah s.w.t.

3. Mewariskan perkara yang terbaik

Tonggak lainnya adalah dengan mempertimbangkan keadaan generasi berikutnya yang perlu lebih baik daripada sebelumnya. Maka warisan yang ditinggalkan untuk mereka adalah warisan-warisan kemuliaan sehingga mereka mengikuti jejak para pendahulunya yang mempunyai akhlak mulia. Apabila menginginkan generasi sesudahnya menjadi generasi yang berani, maka wariskan sifat berani kepada mereka. Bagaimanapun, apabila mewariskan sifat takut dan pengecut, maka jangan harap generasi berikutnya menjadi manusia yang heroik dan patriotik.

Abul ‘Ala Al-Maududi menegaskan bahawa untuk mewariskan keturunan dan generasi yang lebih baik, maka jangan lakukan sifat-sifat yang menjurus kepada kerendahan jiwa kerana itu akan menjadi contoh bagi mereka. Ingatlah bahawa kebaikan akan mewariskan kebaikan dan keburukan akan mewariskan keburukan pula. Oleh hal yang demikian itu, Allah s.w.t telah mengingatkan kita agar memperhatikan nasib generasi berikutnya dengan mewariskan nilai-nilai kebaikan untuk menjadi dhawabith khairiyah bagi mereka.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (an-Nisaa’: 9)

Para pendakwah perlu sentiasa menanam tekad dan kemahuan agar melahirkan generasi yang terbaik dengan sentiasa berpegang pada sikap-sikap keteladanan yang di antaranya sikap asy syaja’ah.

4. Bersabar terhadap ketaatan

Keberanian akan terus ada pada diri para pendakwah apabila mereka bersabar. Kesabaran itu merupakan senjata ampuh yang memberikan ketahanan menghadapi tekanan berat sekalipun. Dengan kesabaran, kita pun dapat membandingkan kejadian yang dirasakan generasi yang lalu dengan yang sedang kita rasakan. Mereka tentu telah mengalami dugaan yang lebih berat berbanding apa yang kita alami ketika ini. Dengan kesabaran ini kita dapat bertahan dan terus maju melangkah di atas jalan dakwah dengan gagah berani.

Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w ketika menasihati Khabbab bin Al-Ard yang mengeluh terhadap beratnya penderitaan yang dialaminya. Baginda mengingatkan Khabbab akan perjuangan para Nabi dan orang salih terdahulu yang jauh lebih berat tetapi mereka tetap berani dan tabah. Jadi kita dapat memupuk keberanian dan kesabaran dengan berkata, “Ah… Dugaan ini tidak seberapa dibanding dengan dugaan yang pernah dialami orang salih terdahulu.

Oleh hal yang demikian itu, bekalan kesabaran tidak boleh dalam keadaan defisit (berhutang). Kesabaran mesti dalam keadaan yang sering mencukupi dan bertambah kerana kesabaran yang kukuh akan menjadi ‘penolong’ dalam menyelamatkan diri terhadap dugaan-dugaan berat dakwah ini. Allah s.w.t mengingatkan kita agar sentiasa bersabar dan memperkukuhkan kesabaran itu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali-Imran: 200)

5. Berharap balasan daripada Allah

Seseorang pendakwah juga perlu memikul tanggungjawab dakwah ini dengan berani kerana berharap akan balasan yang besar daripada Allah s.w.t. Balasan yang dijanjikan ini mengendurkan perasaan takut terhadap ancaman dalam memperjuangkan dakwah. Rasa takut akan segera lenyap apabila balasan yang dijanjikan jauh lebih besar daripada apa yang dideritai ketika itu. Bahkan balasan yang pasti diberikan itu dapat membakar semangat juang para pendakwah untuk terus berada di jalan dakwah.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. Kamilah pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) daripada Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Fussilat: 30-32)

Apabila balasan yang dijanjikan Allah s.w.t sentiasa terngiang-ngiang dalam benak para pendakwah, maka tidak ada alasan untuk takut dan menjadi pengecut. Rasulullah s.a.w mengingatkan Abdullah bin Harith yang menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam. Bagaimanapun, dia mengajukan dua syarat kepada Rasulullah. Pertama, tidak dibebankan infak kerana dia adalah orang yang termiskin di keluarga dan kabilahnya dan tidak pula diwajibkan berperang kerana dia seorang yang penakut. Nabi s.a.w membalas, “Wahai Abdullah, apabila itu yangkamu syaratkan, lalu dengan apa kamu akan masuk syurga?” Maka Abdullah menjawab, “Kalau begitu, ya Rasulullah, aku akan berinfak dan akan berjuang di jalan Allah s.w.t.” Begitulah akhirnya Abdullah bin Harith berada di barisan paling hadapan di jalan dakwah tanpa rasa takut dan lemah semangat.

Syaja’ah atau berjiwa berani tentu saja berbeza dengan bersikap nekad, membuta tuli atau melakukan sesuatu tanpa pertimbangan akal. Asy syaja’ah adalah keberanian yang didasari pertimbangan matang dan penuh rasa tanggungjawab mengharapkan keredaan Allah s.w.t semata-mata. Dan untuk memperoleh keredaan Allah s.w.t, tentu saja diperlukan ketekunan, berhati-hati dan kerja yang tersusun dan terancang (itqan). Bukan keberanian yang tanpa pertimbangan akal yang melahirkan kenekadan, malahan bukan juga terlalu memikirkan pertimbangan yang memunculkan ketakutan.

Peri pentingnya memiliki sikap asy syaja’ah dalam kehidupan ini begitu banyak. Lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan dakwah. Pelaksananya dapat dilihat dalam pelbagai bentuk penampilan diri. Di antaranya adalah seperti yang berikut:

a. Memiliki daya tahan

Seseorang dapat dikatakan memiliki sifat berani jika ia memiliki daya tahan yang kuat untuk menghadapi kesukaran, penderitaan dan mungkin saja bahaya dan penyeksaan kerana ia berada di jalan Allah.

Begitu banyak orang yang tidak memiliki daya tahan yang tinggi terhadap segala dugaan dan kesukaran sehingga mudah mengalah, menyerah, atau berputus asa. Padahal dalam kehidupan yang semakin berat dan sukar ketika ini begitu banyak dugaan dan cabaran yang harus dihadapi dengan berani, kerana bersikap pengecut dan melarikan diri daripada persoalan atau permasalahan hidup yang berat tidak akan pernah menyelesaikan masalah. Apalagi dalam perjuangan dakwah untuk mencapai kemenangan.

Daya tahan yang tinggi terhadap tekanan akan memberikan kemampuan menanggung beban-beban berat secara bersendirian tanpa melibatkan orang lain. Malah ia tidak mahu saudara-saudaranya menanggung kesusahan berpunca daripada dirinya.

Khubaib bin ‘Ady pernah ditawarkan oleh Abu Sufyan ketika akan dihukum mati. Kata Abu Sufyan: “Wahai Hubaib, bagaimana kalau dirimu digantikan dengan Muhammad yang akan duduk di atas kerusi hukuman itu.” Khubaib menjawab, “Demi Allah bahawa diriku dalam genggaman-Nya. Aku tidak akan rela Muhammad menggantikan diriku begini. Sekiranya aku tahu bahawa Muhammad sekarang ini tertikam duri, maka aku tidak dapat tenang dan aku beserta keluargaku akan menggantikannya menanggung kesakitan tertikam duri itu.” Inilah daya tahan yang tinggi, berani menanggung beban dan risiko secara bersendirian dan tidak mahu melibatkan kesusahan dirinya kepada saudaranya.

b. Berterus terang pada kebenaran

Sikap berterus terang dalam kebenaran merupakan ‘cermin’ keberanian. Berkata sesuatu yang benar dengan terus terang memang sesuatu yang pahit apabila dilihat dari sisi kesannya yang bakal muncul. Bagaimanapun, apabila dilihat dari sisi manfaat dan izzah keimanan, maka ia menjadi sebuah keharusan. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Katakan yang benar meskipun itu pahit.”

Banyak orang yang ‘tergelincir’ dalam bersikap berterus terang, lalu ia berdusta atau diam kerana bimbang akan risiko-risikonya. Sikap ini dipilih untuk mencari jalan selamat. Atau memang ia seorang pengecut dan penakut.

Sikap berani menyampaikan kebenaran yang berrisiko tinggi menjadi ‘harga diri’ seseorang pendakwah dalam memperjuangkan dakwah.

c. Kemampuan menjaga atau meyimpan rahsia

Kemampuan menyimpan rahsia merupakan bentuk keberanian lahir daripada rasa penuh tanggungjawab. Orang yang berani adalah orang yang bekerja dengan baik, cermat dan penuh pertimbangan terutama dalam persiapan jihad menghadapi musuh-musuh Islam termasuk mampu menyimpan rahsia dengan serahsia-rahsianya.

Menyimpan rahsia bukanlah perkara yang mudah. Ia merupakan tugas berat yang tidak sembarangan orang mampu melakukannya. Hanya orang yang berani dan berketrampilan menyimpan rahsia sajalah yang dapat melakukannya. Oleh hal yang demikian itu, tidak ramai sahabat Rasulullah s.a.w yang memiliki kemampuan sebegitu. Mereka adalah sahabat pilihan Nabi s.a.w untuk dapat menjaganya. Ada pepatah yang menyatakan “kerana pulut santan binasa, kerana mulut (lidah) badan binasa.” Tentu juga hal ini termasuk menjaga atau menyimpan rahsia.

Huzaifah ibnu Yaman, salah seorang sahabat Nabi s.a.w yang turut dikenali dengan panggilan shahibus sirri diakui sebagai orang dapat menyimpan rahsia dengan baik sehingga orang lain tidak tahu akan tugas dan tanggungjawabnya menjaga rahsia. Dia berani menghadapi konsekuensinya sekalipun terasa amat berat. Bagaimanapun, apa dibimbangkannya adalah jika musuh berjaya menangkapnya sebagaimana yang pernah dikatakannya kepada Rasulullah s.a.w: “Ya Rasulullah, saya tidak takut bila saya harus mati, tetapi apa yang saya takutkan adalah apabila aku tertangkap.”

d. Mengakui kesalahan

Salah satu sifat orang yang dianggap pengecut adalah tidak mahu mengakui kesalahan atau kesilapan, mencari ‘kambing hitam’ dan bersikap “lempar batu, sembunyi tangan”. Sebaliknya, orang yang memiliki sifat syaja’ah adalah orang yang berani mengakui kesalahan, sedia meminta maaf, bersedia memperbetulkan kesalahan atau kesilapan, dan bertanggungjawab.

Memang untuk mengakui kesalahan tidaklah mudah. Mungkin terbetik rasa malu, dan rasa bimbang terhadap pandangan sinis orang lain akibat kesalahannya itu. Padahal mengakui kesalahan diri sendiri amat terpuji kerana dapat melihat kesalahan diri sendiri. Maka, ia pun tidak menyalahkan orang lain. Ia juga akan cepat memperbaiki dirinya. Dan berani mengakui kesalahannya itu akan membuka pintu keinsafan selebar-lebarnya.

Allah s.w.t memberikan contoh teladan daripada sikap Nabi Adam a.s ketika melakukan kesalahan. Baginda tidak menyalahkan syaitan / iblis yang menggodanya tetapi lebih menyalahkan dirinya sendiri sehingga terbukalah pintu keampunan untuknya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kedua-duanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang dalam golongan orang yang erugi.” (Al-‘Araf: 23)

e. Bersikap objektif pada diri sendiri

Ada orang yang cenderung bersikap over estimasi terhadap dirinya, menganggap dirinya baik, hebat, mumpuni dan tidak memiliki kelemahan serta kekurangan. Sebaliknya, ada yang bersikap pesimis terhadap diri sendiri, yakni menganggap dirinya bodoh, tidak mampu berbuat apa-apa dan tidak memiliki kelebihan apa-apa pun. Kedua-dua sikap tersebut jelas tidak profesional dan tidak objektif. Orang yang berani akan bersikap objektif dalam mengenali dirinya yang memiliki sisi baik dan buruk.

Umar bin Abdul Aziz ketika diangkat menjadi khalifah, beliaua berpidato di hadapan khalayak rakyatnya. “Aku bukanlah orang yang paling baik daripada kamu. Aku hanyalah manusia seperti kamu semua, tetapi aku memikul amanah yang amat besar melebihi kamu. Kerana itu bantulah akan dalam menunaikan amanah ini.” Begitulah layaknya orang yang berani melihat dan menilai kemampuan dirinya secara objektif.

f. Menahan nafsu ketika marah

Seseorang dikatakan berani apabila ia tetap mampu bermujahadah li nafsi, melawan nafsu dan amarah. Kemudian ia tetap dapat mengendalikan diri dan menahan tangannya padahal ia memiliki kemampuan dan peluang untuk melepaskan kemarahannya. Orang yang melakukan semua itu akan dipandang sebagai ‘orang yang kuat’ kerana kemampuannya menahan amarah.

Amarah dapat menggelincirkan manusia kepada sikap tidak menentu. Seseorang itu akan kehilangan kawalanl diri dan menjadi lupa diri akan sikapnya yang ‘keliru’ itu. Malah ia tidak akan dapat menyelesaikan masalahnya itu. Oleh hal yang demkian itu, Islam memerintahkan kita untuk mengendalikan diri daripada amarah.

Keberanian adalah kelaziman dalam dakwah dan ia perlu menjadi sikap yang melekat dalam diri para pendakwah. Ia adalah identiti pemikul amanah umat untuk dapat menunaikan tugas berat yang digalasnya.

Penerbit MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 21, 2009.

 
%d bloggers like this: