CAHAYA REJAB : PERSIAPAN DIRI MENJELANG RAMADAN


_r9903the200_2Bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan antara bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh para sahabat baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta’azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah s.w.t akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya. Di sini akan disorot fadilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah s.a.w berkenaan dengannya.

Disebabkan kebesaran dan kemuliaan Rejab itu, Allah melimpahkan rahmat, kemurahan dan kebajikan-Nya terhadap hamba yang beriman serta beramal salih pada bulan Rejab dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Dalam membincangkan kelebihan bulan ini, perlu diteliti bahawa banyak fadilat berkenaan bulan ini diterangkan dalam hadis dhaif.

Berkenaan kekuatan hadis ini, ulama bersependapat bahawa ia tidak boleh digunakan untuk berhujah, sebaliknya diharuskan untuk beramal demi men’taqarrub’ (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t.

Kelebihan Rejab dalam al-Quran dapat dihayati melalui firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah: 36)

Hampir semua ulama tafsir terkemuka dalam menafsirkan empat bulan yang dimaksudkan dalam ayat tadi iaitu tiga bulan berturut-turut – Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam serta satu bulan tersendiri, iaitu Rejab.

Rejab dikaitkan dengan pelbagai kebaikan, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rejab adalah bulan untuk bertanam. Maka berniagalah kamu semoga Allah merahmati kamu pada bulan Rejab kerana ia adalah musim untuk berniaga dan makmurkanlah waktu kamu (dengan beramal) dalamnya kerana ia adalah waktu berbuat amal.”

Ulama berkata, Rejab adalah bulan istighfar. Maka perbanyakkan istighfar sepanjang Rejab sebagaimana hadis diriwayatkan Ad-Dailami daripada Saidina Ali Abi Talib.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan (seorang) daripada api neraka.” Allah s.w.t Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). (Al-An’aam: 160)

Namun amal kebajikan yang dilakukan pada bulan Rejab digandakan sebanyak 70 kali ganda. Begitu juga sembahyang pada waktu malam akan memberi cahaya kepada hati dan membwa kepada keredaan Allah.

Rejab juga adalah pembukaan kepada bulan kebaikan dan berkat. Jika tahun diibaratkan sebagai pohon, Rejab ibarat waktu keluarnya daun, Syaaban ibarat keluarnya bunga, dan Ramadan ibarat keluar buahnya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Aku melihat pada malam Mikraj sebuah sungai yang airnya lebih manis daripada madu dan lebih sejuk daripada air batu dan (baunya) lebih harum daripada kasturi. Aku bertanya kepada Jibril, Ya Jibril, untuk siapakah ini? Jibril berkata: Untuk mereka yang berselawat atasmu pada bulan Rejab.”

Umum menyedari Rejab adalah permulaan bulan mulia dan bagi mukmin bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab bagi melipatgandakan amal salih lebih-lebih lagi ibadat puasa sunat.

Ibadat ini adalah persediaan menghadapi penghulu segala bulan, iaitu Ramadan. Maka, tidak hairanlah, Rasulullah s.a.w kerap kali berdoa setiap kali tiba Rejab sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam Rejab dan Syaaban ini dan sampaikan kami kepada Ramadan.”

Begitulah persiapan mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya hingga mereka mempersiapkan diri bukan saja dari sudut fizikal, malah dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut Ramadan.

Inilah sifat mukmin sejati sebagaimana dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Mereka itulah orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah juga orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al-Mukminun: 61)

Sebagai renungan, ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun daripada segala dosa dan Syaaban pula adalah memperbaiki hati daripada segala kecacatan. Ramadan pula memberi penerangan hati. Sedangkan malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

Oleh hal yang demikian itu, amat wajarlah setiap Muslim menginsafi diri dan merebut ganjaran disediakan Allah agar dia dapat menempatkan diri dalam kalangan mukmin berjaya di dunia dan akhirat.

Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah s.a.w tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:

§  Puasa 1 hari – Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi.

§  Puasa 2 hari – mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.

§  Puasa 3 hari – dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.

§  Puasa 4 hari – diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.

§  Puasa 5 hari – aman daripada azab kubur.

§  Puasa 6 hari – dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.

§  Puasa 7 hari – Allah mengunci 7 pintu neraka Jahanam baginya.

§  Puasa 8 hari – Allah membuka 8 pintu syurga baginya.

§  Puasa 9 hari – keluar dari kuburnya lalu menyeru “Laailahaillallah” dan tidak ditolak dia daripada memasuki syurga.

§  Puasa 10 hari – Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratulmustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratulmustaqim.

§  Puasa 13 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.

§  Puasa 14 hari – Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.

§  Puasa 15 hari – Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.

§  Puasa 16 hari – dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

§  Puasa 19 hari – Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.

§  Puasa 20 hari – Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.

§  Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratulmustaqim.

§  Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.

§  Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.

§  Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.

§  Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka. Orang yang lemah daripada berpuasa di bulan Rejab, hendaklah bersedekah setiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain bulan Rejab

1.    Di dalam bulan lain Allah membalas amalan hamba-Nya 10 kali, tetapi di dalam bulan Rejab Allah akan membalas amalan hamba-Nya 70 kali.

2.    Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

3.    Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Rasulullah s.a.w, Ramadan bulan umat Rasulullah s.a.w.

4.    Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai.

5.    Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati, manakala Ramadan menyucikan roh.

6.    Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Syaaban bulan syafaat, manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

7.    Rejab adalah bulan taubat, Syaaban bulan muhibbah, manakala Ramadan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

8.    Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala, dan Ramadan diganda 1,000 pahala.

Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab

1.    Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun.

2.    Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir.

3.    Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat.

4.    Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya.

5.    Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah s.a.w dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1.    Israk dan Mikraj (27 Rejab)

2.    Solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)

3.    Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad s.a.w telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitulmuqadis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah s.w.t di mana solat lima waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah s.a.w. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israk: 1)

Doa bulan Rejab

Maksudnya:

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya. Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hamba-Mu dan aku dalam genggaman-Mu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepada-Mu sekadar kemampuan yang ada padaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya Allah.”

Istighfar paling baik dalam bulan Rejab

Maksudnya:

“Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya.”

Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan suatu bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperoleh itu ada keberkatannya.

Oleh: Penerbit, MutiaraIslam Online

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 28, 2009.

 
%d bloggers like this: