Perpecahan Diatas Kejahilan


SemutPerselisihan dan permusuhan selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsunya. Keinginan memuaskan tuntutan nafsu yang terhalang menjadikan manusia mengambil jalan mudah dan mengenepikan sifat kemanusiaannya. Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri, akan menjelmakan pelbagai perilaku dan tindakan yang bukan sahaja merugikan diri sendiri bahkan menjejaskan bangsa dan ummah keseluruhannya.

Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan  persaudaraan antara seagama menjadi satu petanda bahawa berlakunya kekeruhan iman. Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan di dalam masyarakat itu sendiri malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai. Islam, yang ditegakkan melalui hubungan damai dan mementingkan perdamaian terobek dengan sendirinya oleh sikap lemah dan jahil para penganutnya yang sanggup mengetepikan rasa cinta sesama manusia dan membiarkan tuntutan nafsu menggantikan keimanan.

Perselisihan saperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi munkar.  Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, setiap orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Tuduh menuduh antara pihak yang berselisih pendapat perlu dielakkan.

Sehubungan ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu,maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (an-Nisaa’: 59)

Perpecahan  sesama umat Islam berlaku di mana-mana sehingga mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan pendapat atau aliran..Kononnya perpecahan tidak dapat kita delakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu pecah. Di samping mengunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpechan yang telah terjadi.

Apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir? Perpecahan bukan harus diterima begitu sahaja, tetapi harus diselesaikan dengan melakukan muhasabah perilaku kita sendiri. Ketika Nabi s.a.w menyebut bahawa di antara umat baginda ada yang taat dan ada yang melakukan maksiat.

Ini bererti  Nabi s.a.w menunjukkan masih ada jalan penyelesaian terbaik bagi dua kumpulan yang bersengketa. Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaran akan bertaut kembali dengan lebih kukuh. Pilihan itu selalu ada,dan kita selalu diberikan peluang  untuk membuat pilihan.

Kita jangan jadi saperti golongan Khawarij yang sangat patuh menjalankan ibadah ritual, tetapi sangat kaku dalam hubungan sosial, terutama sesama kaum Muslim. Sejarah Islam telah mengajarkan kita  bahawa di kalangan mereka ada yang sanggup membunuh saudara seislam kerana berbeza pendapat dalam masalah agama,terutama dalam masalah kepimpinan Ali bin Abi Talib. Malah yang lebih malang lagi apabila  mereka lebih menghormati Nasrani (kerana kaum dzimmi menurut al-Quran harus dilindungi)daripada orang Islam sendiri. Mereka menghukum kafir sesiapa saja yang memutuskan perkara tidak berdasarkan al-Quran.

Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan hadis hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita dan tidak menghomati pemahaman kelompok yang lain. Apakah kita lebih menghargai orang nasrani daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara saperti fitnah,penyalahgunaan kuasa  untuk untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita?Khawarij masih berada di sekitar kita.

Mungkin kita boleh mengambil sikap membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan. Kita mungkin boleh merenung suatu teguran yang pernah dilluahkan oleh Dr. Jan Oberg pada tahun 1998, Pengarah Yayasan Transnasional Untuk Keamanan dan Penyelidikan Masa Depan. Katanya:

Adalah lebih mudah untuk membaiki rumah dan infrastruktur, adalah lebih mudah untuk membuang wang ringgit dan bercakap mengenai hak asasi manusia.

“Tetapi apalah maknanya jika jauh di dalam diri manusia itu terpendam perasaan benci terhadap satu sama lain? Apakah mereka akan hidup bahagia dan aman dengan diri mereka sendiri? Mungkinkah dengan anak-anak mereka juga begitu? Apakah jenis masyarakat jika kita tidak dapat hendak membaiki jiwa, dan membantu mencipta toleransi, kewujudan bersama, malah bekerjasama dan kasih sayang?

Oleh: Penerbit MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Jun 28, 2009.

 
%d bloggers like this: