SEMBAHYANG ISTIKHARAH


munajat

ISTIKHARAH

Erti Istikharah ialah memohon jalan kebaikan.

MANUSIA MEMANG TERBATAS

Kebolehan dan kemampuan manusia adalah sangat terbatas walaupun seseorang itu berilmu pengetahuan, kekuasaan , kekuatan, kelebihan dan lain-lain lagi, tetapi semua keistimewaan itu tidak dapat menolong untuk mengambil satu-satu keputusan yang dirasa baik untuk dirinya. Ini semua disebabkan oleh rasa Bimbang dan ragu-ragu yang timbul dalam jiwa bagi mengambil keputusan terakhir. Apalagi kalau satu-satu hal atau pekerjaan itu selalunya menimbulkan risiko yang mendatangkan kegagalan, di sinilah letaknya kelemahan dan keterbatasan itu.

Dalam keadaan begini seseorang muslim mustahak mencari pertolongan yang dapat memberi kata pemutusnya dan boleh menolong menentukan pilihan. Oleh itu barangsiapa yang tidak tahu tentang buruk baik perkara yang akan dilakukannya, atau apakah ia akan melakukannya atau tidak, maka apakah tindakan yang pasti dilakukan, Nabi Muhammad SAW bersabda :

Picture12

Ertinya –Dari Jabir ibn Abdullah. Adalah Rasulullah SAW , mengajar kami melakukan istikharah (memohon petunjuk bagi mendapat pilihan yang tepat) pada segala urusan atau pekerjaan. Baginda bersabda apabila seseorang itu ada cita-cita mengenai satu-satu urusan, pekerjaan , hendaklah ia dirikan sembahyang dua rakaat bukan sembahyang fardhu dan kemudian berdoa.

Berdasarkan hadis ini adalah seseorang dikehendaki melakukan sembahyang istikharah itu dua rakaat sebagaimana sembahyang sunat biasa, apabila ada satu cita-cita untuk satu-satu urusan atau pekerjaan semoga Allah menetapkan hati untuk menghadapainya. Dalam hadis itu juga disebutkan sembahyang istikharah itu dapat dilakukan pada semua urusan pekerjaan. فِيْ الأُمُوْرِ كُلِّهَاpada semua urusan atau pekerjaan.

As-Syaukani perpendapat hadis ini sebagai dalil bahawa sembahyang istikharah itu boleh dikerjakan mengenai semua urusan pekerjaan samada pekerjaan itu berat atau tidak. Ulamak feqah pula berpendapat sembahyang sunat istikahrah hanya boleh dilakukan terhadap satu-satu urusan atau pekerjaan yang diharuskan oleh agama sahaja. Urusan atau persoalan yang hukumnya wajib atau sunat tidaklah boleh diistikharahkan , demikian juga pekerjaan-pekerjaan yang tetap haramnya ditegah melakukan istikahrah, contohnya seorang kaya raya, semua cukup , wang banyak, kesihatan baik tiba-tiba hendak istikharah bagi menyempurnaka rukun Islam yang kelima (haji) pada hal semua syarat cukup, begitu juga tidak boleh diistikharahkan untuk perkara yang haram, contohnya seperti riba’, rasuah, merompak dan lain-lain kerana semua itu nyata haram dikerjakan di sisi syarak. Sebaliknya pula seseorang itu ditawar dua jawatan di mana-mana jabatan atau perusahaan yang sama kedudukannya. Ketika itu boleh dilakukan istikharah, mudah-mudahan diberi Allah petunjuk bagi mendapatkan mana-mana satu pilihan yang tepat.

CARA SEMBAHYANG ISTIKHARAH

Sembahyang sunat Istikharah boleh dilakukan bila-bila masa sahaja samada  waktu siang atau malam.

RAKAAT SEMBAHYANG ISTIKHARAH

Bilangan rakaatnya dua rakaat

RUKUN SEMBAHYANG ISTIKHARAH

Rukunnya serupa dengan rukun sembahyang yang lain dan lafaz niatnya :

Picture14

Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, rakaat pertama-baca fatihah-kemudian surah  Qulya Ayyuhal Kafiruun atau mana-mana surah dan pada rakaat yang kedua Al-fatihah kemudian baca Qulhuallahu Ahad atau mana-mana surah, selepas salam hendaklah dibacakan doa istikaharah ini dan bawa tidur dengannya.

DOA ISTIKHARAH

Picture13

Ertinya : Ya Allah sesungguhnya aku memohon petunjuk baik (pilihan) dengan pengetahuanMu, aku meminta diberi kekuatan dengan kekuatanMu. Aku memohon kemurahanMu yang luas, sesungguhnya Engkau berkuasa dan aku tidak mempunyai kekuasaan, Engkau mengetahui, sedang aku  tidak mengetahui, Engkaulah yang Maha Mengetahui semua hal yang ghaib.

Ya Allah kalaulah Engkau mengetahui pekerjaan ini baik bagiku untuk ugamaku, duniaku, kehidupanku dan untuk hari kemudiaku, maka berikanlah kepadaku, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan itu buruk bagiku, untuk ugamaku, duniaku, untuk penghidupanku dan untuk hari kemudianku, maka jauhkanlah dia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya, berikanlah kepadaku kebaikan di mana sahaja berada kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan kurniaanMu itu- (sesudah itu sebutkan perkara yang dimaksudkan dengan istikharah).

TIGA MASALAH YANG TERKANDUNG DALAM DOA INI.

  1. Pengakuan tentang kesempurnaan Allah.

Manusia menyatakan tentang kekuarang ilmu sebab ilmu yang Allah kurniakan kepada manusia sangat sedikit : وَمَا أُوْتِيْتُم مِنَ الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيْلاً – Al-Isra’:85

Ertinya : Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.

Di dalam ini juga dinyatakan tentang pemurahnya Allah SWT itu laksana lautan yang tidak dapat dipandang tepinya. Sifat inilah sahaja yang dapat memberi kebahagiaan, kenikmatan , kemenangan, dan sebagainya terhadap mereka yang dikehendaki, sekalipun manusia sealam jagat ini cuba menghalanginya.

Pengakuan dan iqrar ini boleh menyedar atau menambahkan kesedaran hati manusia tentang kelemahan, kekurangan diri sendiri, kesedarang itu mempertebalkan keimanan terhadap Allah juga mendorong manusia mengenali dirinya sendiri untuk mengabdikan diri terhadap Allah.

  1. Memohon Hidayah, Inayah dan Berkat

Bila manusia menyedari dirinya lemah maka dengan sendiri mereka menyedari bahawa tidak ada kuasa lain yang dapat memberi petunjuk kecuali Allah jua yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, tidak ada tangan yang lain boleh memberi pertolongan (inayah) kecuali Tuhan yang pemurah lagi pengasih kepadaNyalah sahaja wajib dipinta untuk mendapat sesuatu, semoga hidup kita dilimpahi nikmat kebahagian dan jauh dari sebarang kejahatan dan bencana.

  1. Sikap Redha

Bila sudah dikurniakan pilihan apakah sudah sesuai dengan apa yang diharap atau diidam-idamkan, semua itu hendaklah diterima dengan penuh redha “dengan perasaan tulus ikhlas dan bersyukur” jangan menyesal kalau dirasanya belum memuaskan, hendaklah diterima apa yang dapat itu.

ISTIKHARAH DAN REDHA

Kedua-dua ini ada kaitan, istikharah mengandung unsur berusaha, sedang redha menerima hasil usaha itu dengan ikhlas. Kedua-dua sikap ini adalah satu cara hidup yang membawa kebahagian.

Nabi bersabda –

Picture15

Ertinya : Tanda-tanda kebahagian seseorang manusia itu ialah selalu bermohon kepada tuhannya bagi mendapatkan satu-satu pilihan dan redha terhadap sesuatu yang ditakdirkan. Tanda-tanda manusia yang tidak bahagia ialah mereka yang meninggalkan istikharah dan tidak redha menerima sesuatu takdir.

DUA CARA MENGHADAPI TAKDIR

1.      Istikharah (membuat permohonan bagi mendapatkan pilihan yang tepat) sebelum berlaku.

2.      Bersikap redha apabila takdir menjadi kenyataan. Inilah pegangan seseorang mukmin. Di dalam satu hadis yang lain pula Rasulullah SAW. ada bersabda :

Picture16

Ertinya : Tidak rugi orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang selalu bermesyuarat dan tidak akan miskin orang yang selalu bersederhana.

Oleh itu apabila anda ingin kemantapan jiwa menghadapi sesuatu urusan atau pekerjaan atau ragu-ragu dalam menentukan satu-satu pilihan maka lakukanlah sembahyang istikharah , mudah-mudahan Tuhan akan mengurniakan kebulatan hati dan kecenderungan menentukan pilihan di kala menghadapi sesuatu hal dengan harapan memberi guna kepada kaum muslimin dan muslimat serta mendapat hidayah dan inayah dari Allah SWT- Amin

MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 4, 2009.

 
%d bloggers like this: