Makna Fenomena Michael Jackson Terhadap Islam


michael-jackson5

Bagi dunia, karya dan kisah hidup Michael Jackson amat menarik hinggakan berjaya menjadi satu fenomena yang menghimpun jutaan peminat di seluruh dunia, tanpa mengira bangsa dan agama.

Selain daripada kehebatan karyanya yang meliputi persembahan tidak ada tolok bandingnya, Michael Jackson berjaya menampilkan budaya Amerika Syarikat yang tarikannya bersifat global, maknanya ia dapat diterima oleh banyak bangsa di dunia, terutama anak-anak muda. Ini bermakna karya Michael Jackson menepati citarasa kontemporari.

Di Amerika, Michael Jackson menambah lagi ikon dari kalangan kaum kulit hitam yang seringkali mencorak dunia hiburan dan sukan negara itu. Ia juga bermakna ia diterima oleh rakyat Amerika, khususnya di kalangan kulit putih. Dan seterusnya apabila dibawa ke persada dunia, ia dapat diterima hinggakan menjadi Michael Jackson sebagai sebuah fenomena.

Bagaimanapun, bukan saja karyanya menjadi tarikan perhatian dunia, cara hidupnya yang dianggap kontroversi juga turut menjadi percakapan orang di seluruh dunia. Kegemarannya terhadap kanak-kanak hingga ke tahap yang pelik, kegagalan perkahwinannya yang juga aneh serta penyakit-penyakitnya yang tidak dapat difahami, menjadikan Michael Jackson sebagai seorang yang kompleks.

michael-jackson1

Mungkinkah juga  cara hidup beliau yang aneh itu sebenarnya merupakan pemangkin kepada kreativiti dalam karya-karyanya? Tetapi bagi umat Islam, sudah tentu juga dianggap sebagai sebahagian daripada keanehan cara hidup beliau ialah berita yang menyatakan bahawa Michael Jackson memeluk agama Islam.

Kisah Michael Jackson memeluk agama Islam sememangnya memnarik bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini kerana bagi umat Islam, mereka amat gembira jika berlaku pemindahan agama dari kalangan orang Barat kepada Islam. Lebih-lebih lagi jika yang memeluk agama Islam itu seorang tokoh seperti Michael Jackson.

michael-jackson3

Sebelum ini, orang yang terkenal dalam dunia hiburan memeluk agama Islam ialah Cat Steven yang kini menggunakan nama Yusuf Islam.  Di kalangan orang Amerika kulit hitam, tokoh yang  terkenal memeluk Islam ialah Cassius Clay yang dikenali sebagai Muhammad Ali.

Maka jika benar-benar Michael Jackson memeluk Islam, maka ia lagi diberi sambutan oleh umat Islam di seluruh dunia. Laporan mengenai perkara ini tersebar sejak November tahun lalu, walaupun ia tidak dapat disahkan. Sememangnya terdapat kecenderungan di kalangan umat Islam untuk cepat mempercayai sebarang khabar angin tokoh-tokoh Barat memeluk agama Islam. Antara yang pernah mengalami suasana ini ialah angkasawan pertama yang menjejakkan kaki ke bulan, iaitu Neil Armstrong. Tetapi ternyata ia hanya khabar angin. Apa yang boleh hampir disahkan adalah sepertimana apa yang diperkatakan oleh abangnya, Jermaine yang telah memeluk Islam bahawa Michael Jackson menunjukkan minat terhadap agama itu walaupun tidak dinyatakan bahawa beliau telah mengucap dua kalimah syahadat.

Walaupun katakanlah bahawa Michael Jackson tidak memeluk agama Islam, atau tidak sempat mempelajari agama itu, tetapi bagi umat Islam khususnya dunia Arab sudah menerima Michael Jackson seperti saudara mereka. Michael Jackson pernah tinggal setahun sebagai tamu kepada seorang putera raja Bahrain bernama Sheik Abdulla bin Hamad Isa Al Khalifa.

ENTERTAINMENT EMIRATES JACKSON

Bagaimanapun, selain itu Michael Jackson tidak mempunyai sebarang hubungan dengan dunia Islam. Ia hanya muncul sebagai seorang penghibur kulit hitam di mana kaumnya mempunyai masalah dengan penduduk majoriti di Amerika. Walaupun kini Amerika dipimpin oleh seorang presiden kulit hitam, tidak pula timbul persoalan beliau mengambil kesempatan untuk  turut memberi reaksi kepada kematian Michael Jackson.

Dimaklumkan pula, pihak presiden dilaporkan tidak menyenangi kes-kes kontroversi yang membabitkan Michael Jackson dengan dianggap bahawa seseorang yang ada kaitan dengan kontroversi berhubung kanak-kanak tidak wajar diraikan, bimbang ia menjadi ikutan pihak lain.

Apa yang perlu diteliti oleh umat Islam ialah bagaimana hakikat sebenar mengenai fenomena Michael Jackson. Semeamngnya beliau hanyalah seorang individu yang dianugerah Allah s.w.t mempunyai bakat dan keupayaan melahirkan karya begitu menakjubkan, tetapi sistem ekonomi Amerika membolehkan beliau muncul sebagai fenomena.

Industri hiburan di Amerika bersifat global yang rangkaiannya sampai ke seluruh dunia. Bahkan kekuatan budaya Amerika ini dilihat dari satu segi adalah seumpama suatu bentuk penjajahan ke atas dunia. Dengan dorongan komersial, sistem kapitalis ini dapat menggerakkan budaya hiburan ini hingga ke seluruh dunia. Maka bakat asas Michael Jackson berjaya diubah kepada satu fenomena komersial yang berjaya.

Perlu diingat betapa industri hiburan ini perlu ditopang dengan lain-lain industri. Bukan saja industri muzik tetapi juga media dan pengiklanan bagi menjadikannya fenomena. Malah keadaan sosiopolitik Amerika juga turut ditampilkan sebagai pendorong kepada kejayaan komersial budaya Amerika.

Industri hiburan dan Michael Jackson ini merupakan sebahagian daripada fahaman yang menggalakkan orang ramai berbelanja secara besar-besaran dan berterusan. Kemewahan dan kesenangan merupakan natijah kepada industri hiburan. Maka para penghibur termasuk Michael Jackson menjadi komoditi atau produk konsumer yang dibeli dan diguna oleh manusia seluruh dunia.

michael-jackson2

Malah bukan saja kehidupannya tetapi kematiannya juga telah dikomersialkan. Dilihat dari sudut lain, beliau juga menjadi mangsa kepada kapitalisme dan masyarakat konsumer di mana Michael Jackson telah berbelanja dan bermewah sehingga beliau bankrap, dan akhirnya kini dalam kematian, amalannya telah dijual kembali untuk melunaskan hutang-hutangnya.

Oleh: Penerbit Mutiara Islam Online

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 10, 2009.

 
%d bloggers like this: