Langkah Berlaku Adil Terhadap Wanita


_r9903the200_1Di Malaysia, Mahkamah Syariah bukan sahaja memainkan peranan simbolik sebagai satu tradisi keagamaan tetapi juga berfungsi sebagai agensi pengurusan masalah kekeluargaan. Bagi kebanyakan wanita Islam, mahkamah adalah tempat terakhir untuk menyelesaikan pelbagai masalah perundangan berhubung soal perkahwinan dan kekeluargaan. Dalam soal perceraian misalnya, adalah menjadi kewajipan isteri untuk membawa ketidakpuasan mereka terhadap suami kepada pengetahuan hakim syarie atau Mahkamah Syariah.

Cabaran utama bagi Mahkamah Syariah ialah meninggikan syiar Islam dengan pelaksanaan undang-undang Islam yang dapat menegakkan keadilan dan kesaksamaan semua pihak. Dan, seterusnya membuktikan bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang yang dapat menepati keperluan manusia dan dapat mengatasi kelemahan manusia untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan adil.

Sebelum ini kedengaran pelbagai isu membabitkan soal keengganan suami membayar nafkah untuk anak-anak dan isteri selepas berlaku perceraian. Walaupun Mahkamah Syariah telah mengeluarkan perintah, namun isu nafkah ini diambil ringan oleh pihak suami.

Justeru, bagi mengatasi masalah ini timbullah cadangan agar dibuat satu perisytiharan muflis golongan yang gagal membayar nafkah selepas perceraian. Seharusnya kegagalan pembayaran nafkah anak-anak dianggap sebagai hutang yang boleh membawa kepada writ penyitaan dan penyiaran harta.

Contoh yang paling praktikal buat masa ini ialah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam iaitu wujudnya Enakmen Nafkah Anak. Mengikut enakmen ini nafkah anak dikira sebagai hutang sampai mati.

Hak yang diberi oleh Islam kepada wanita jauh lebih baik berbanding agama-agama lain. Sebagai contoh, seorang wanita yang dikahwini berhak mendapat habuan daripada suami, nafkah, tempat tinggal, kemudahan rumah, dan harta sepencarian walaupun selepas bercerai.

Hanya wanita yang cetek ilmu sahaja tidak mengetahui tentang hak-hak mereka yang boleh dituntut berdasarkan enakmen-enakmen keluarga Islam. Berdasarkan statistik, 80 peratus pengadu yang datang ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk membuat aduan adalah wanita.

Kebanyakan mereka datang setelah mengalami krisis rumah tangga sama ada sebelum atau sesudah berlakunya perceraian. Namun begitu, berdasarkan pemerhatian yang dibuat, jelas memperlihatkan kebanyakan pengadu (wanita) tidak mengetahui hak mereka yang sebenar.

Ini termasuklah nafkah diri, nafkah anak-anak, hak penjagaan anak dan sebagainya. Wanita yang mendakwa diri dizalimi ini sebenarnya berpunca daripada sikap mereka sendiri yang tidak mengambil tahu hak-hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang termasuklah isu hak tuntutan nafkah sepencarian dan pembayaran muta’ah.

Kebanyakan kes yang diadukan ke pejabat-pejabat agama membabitkan tuntutan selepas lima atau enam tahun berlakunya perceraian. Tindakan ini sebenarnya adalah sesuatu yang tidak bijak dan merugikan masa depan anak-anak dan diri sendiri.

Isu yang membolehkan tuntutan harta sepencarian terhadap suami yang ingin berpoligami dan membabitkan perceraian untuk berpoligami amatlah disokong kerana ia menjamin hak dan masa depan anak-anak isteri pertama atau isteri yang diceraikan akibat suami berpoligami.

Peruntukan ini adalah jalan tengah bagi isteri-isteri yang bimbang diri mereka diceraikan akibat suami berpoligami tetapi tidak mahu kehilangan hak dari segi harta. Sewajarnya isteri pertama mendapat bahagian mereka lebih awal kerana kemungkinan suami akan membelanjakan harta kepada isteri yang baru.

Pindaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) ini akan dibentangkan pada 22 September nanti. Di bawah seksyen 23 (10) (b) pindaan tersebut, isteri pertama dibolehkan menuntut harta sepencarian walaupun tidak diceraikan sekiranya suami mereka berpoligami.

Penulis pernah berhadapan dengan realiti sesetengah lelaki yang sudah berusia, layak mendapat wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ingin berpoligami tetapi mengetepikan hak isteri pertama dengan membelanjakan duit tersebut untuk isteri baru dan muda pula.

Kebanyakan wanita keliru dengan konsep harta sepencarian. Mereka membayangkan harta sepencarian ini adalah hak suami apabila isteri tidak bekerja. Sebenarnya, isteri yang tidak bekerja berhak ke atas harta sepencarian sepanjang perkahwinan mereka.

Dalam satu kes yang dilaporkan di Pulau Pinang pada tahun 1984, Hakim Tun Saleh Abas ketika itu telah memutuskan seorang wanita mempunyai hak ke atas harta sepencarian walaupun wanita itu hanya seorang suri rumah tangga.

Dalam kes tersebut ada disebutkan: ‘Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut (suami) adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan.”

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Bagi orang laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisaa’: 32)

Pindaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) itu bukanlah bertujuan untuk menyekat para suami daripada berpoligami. Seandainya para suami disekat daripada berpoligami, mereka masih lagi mencari ruang dan peluang, malah sehingga ada yang sanggup ke negara jiran semata-mata untuk tujuan itu.

Pindaan undang-undang ini sebenarnya memberi peluang kepada suami supaya berfikir panjang tentang masa depan anak-anak dan isteri pertama sebelum berpoligami. Ingatkanlah kembali saat-saat manis ketika bersama dengan isteri pertama seawal mendirikan rumah tangga. Jangan sesekali memikirkan hati sendiri kerana si isteri juga mempunyai hati dan perasaan.

Pada peringkat usia 50-an hingga 70-an, usahlah difikirkan lagi soal ingin mendirikan masjid kedua, ketiga atau keempat tetapi fikirkan juga soal amal ibadah yang mungkin tertinggal selama ini.

Oleh yang demikian, para wanita seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai hak-hak yang tersendiri baik sebelum berkahwin atau selepas berlakunya perceraian. Apa yang penting adalah kesedaran mereka untuk mendalami ilmu atau bidang-bidang yang berkaitan dengan kekeluargaan. Setidak-tidaknya pengetahuan itu bermanfaat untuk diri sendiri walaupun tidak untuk orang lain.

Sebenarnya, Enakmen Keluarga Islam dan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) serta enakmen keluarga Islam di negeri-negeri yang lain memberi ruang yang luas kepada pembelaan hak wanita.

Oleh: Penerbit, MutiaraIslam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 20, 2009.

 
%d bloggers like this: