Apa Manfaat Konflik Dan Sengketa


180px-Hattin

Setiap apa yang kita lakukan – berfikir, bercakap dan bekerja – jika ia memberikan kebaikan sama ada kepada diri kita sendiri atau orang lain, Islam tetap menganggapnya sebagai ibadah. Seperti dijelaskan oleh Dr. Yusuf Qardhawi:  “Sepertimana yang dihuraikan dan ditegaskan oleh Ibnu Taimiyah bahawa ibadat itu mempunyai skop dan daerah yang luas, ia meliputi segala jenis amalan fardu dan syiar Islam yang wajib, … ia juga meliputi budi bahasa yang baik…”

Berdasarkan pengertian itu, segala apa yang kita lakukan hendaklah berlandaskan tuntutan Islam bahawa setiap manusia perlu menjaga hubungan baik dengan Allah s.w.t (bagi dirinya) dan keharmonian masyarakat serta bernegara. Besar pahalanya jika kedua-dua hubungan itu disepadukan dalam seluruh kehidupan, dan bukannya sekadar menjaga perbuatan baik untuk diri sendiri, tetapi memusnahkan masyarakat.

Dengan berkata bahawa “kumpulan tertentu tidak Islamik”, “menyebarkan ajaran sesat”, “perjuangan komunis” dengan tujuan untuk mendeskripsikan orang lain, menimbulkan kesan negatif dan menakut-nakutkan, ia amat bertentangan dengan konsep ibadah. Oleh hal yang demikian itu, usaha menjatuhkan kumpulan lain yang bertentangan falsafah politik sebagai perjuangan tidak meletakkan model perpaduan di kalangan orang Melayu dan rakyat, sebenarnya lebih merupakan usaha untuk menutup kelemahan perjuangan mereka sendiri.

Itu mungkin kita boleh membuat praduga yang jelas bahawa pemimpin-pemimpin PAS telah ketandusan semangat dan kekeringan idea baru bagi menyelesaikan masalah dalam parti mereka dan antara parti-parti yang bersengkongkol dalam Pakatan Rakyat.

Kini terdedah kepada umum, DAP Kedah telah mengisytiharkan diri keluar daripada gagasan pakatan pembangkang apabila mendakwa kegagalan kerajaan negeri menjaga kepentingan masyarakat Cina. Penduduk asal Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang telah menyatakan kebencian kepada Ketua Menteri kerana gagal menghalang dan menyelesaikan tuntutan penduduk apabila diminta oleh pemaju meninggalkan kampung tradisi mereka. Yang lebih kritikal lagi apabila jurucakap penduduk meminta supaya Lim Guan Eng meletakkan jawatan dan balik ke Melaka kerana tidak dapat memahami masyarakat Pulau Pinang.

Di mana akhirnya akan dikambus seluruh kemegahan Presiden PAS yang beberapa hari lalu semacam mendabik dada bahawa perjuangan mereka adalah “berdasarkan hubungan akidah, tetapi UMNO gagal bahagian itu.” Tuduhan yang nyaring juga memberikan petanda bahawa PAS turut gagal menyatukan akidah setiap penyokongnya, jika tidak, mungkin tidak akan berlaku konflik dalaman sehingga Timbalan Presiden PAS sendiri dikenakan ‘ugutan keras’ oleh Mursyidul Amnya sendiri, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dua Tok Guru sedang memperlihatkan aksi sedang bercatur sesama sendiri apabila Haji Hadi mengulas Nik Aziz tidak memberitahunya mengenai cadangan untuk mengadakan debat dengan Presiden UMNO. Sebelumnya, Nik Aziz marah apabila ada orang tidak mahu mendengar ‘kata dan nasihatnya’.

Berdasarkan pengertian dan luasnya makna ibadah, percaturan pendapat dan tindakan antara dua pemimpin PAS itu sudah menggambarkan hubungan sesama manusia menjadi semakin panas, meski kedua-dua pemimpin itu pernah – seolah-olah – menggambarkan bahawa merekalah yang paling baik ibadatnya. Setiap pagi Jumaat memberikan ceramah – Haji Hadi di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, manakala Nik Aziz di markas PAS, Kota Bahru.

Pernah juga membuat selaran bahawa pemimpin yang boleh memimpin rakyat ialah mereka yang bersih, beriman dan boleh menjadi imam sembahyang berjemaah. Alasan ini sengaja diciptakan bagi menggambarkan seolah-olah pemimpin PAS sahaja yang baik dan mempunyai pengetahuan agama yang terbaik. Jika diteliti secara mendalam, walaupun mempunyai pengetahuan agama yang tinggi, tingkat ibadat tidak boleh dikatakan tinggi, kerana tidak diiringi dengan kata-kata yang baik dan boleh membulatkan kerukunan berbudi bahasa.

Setiap orang Islam sedar bahawa tujuan seseorang melakukan ibadat ialah menjembatani kehidupan yang harmoni, aman, sejahtera dan damai. Ia tidak akan dapat direalisasikan jika setiap amalan yang dilakukan, walaupun tidak pernah meninggalkan zikir dan mengabdi kepada Allah s.w.t sepanjang masa, tetapi memutus dan menghasut manusia lain akan terkeliru pandangannya, terkehel pemikiran jernihnya, perbuatan tersebut tidak boleh dianggap sebagai amalan yang salih.

Amalan yang salih (dikelompokkan dalam amar makruf) tidak dapat diukur oleh banyaknya sumbangan yang kita berikan, akan tetapi ia akan turut diukur oleh banyaknya kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain, termasuk usaha dan inisiatif yang kita ambil bagi menghapuskan pertenglingkahan atau penderitaan hidup orang lain. Tetapi jika kita bertindak dan berfikir untuk terus menambahkan lagi pertelingkahan dan memercikkan api perpecahan, perbuatan tersebut dianggap sesuatu yang memudaratkan. Kemudaratan ditegah oleh Islam dan tindakan itu termasuk dalam senarai dosa-dosa besar yang dikelompokkan dalam kategori nahi munkar.

Bagi mereka, meletakkan takwa sebagai pengembaraan melengkapkan keimanan, mereka percaya bahawa agama juga adalah wahana untuk menyatukan umat manusia. Agama merupakan usaha untuk mengatur tata kehidupan manusia demi mencapai ketenteraman, keselamatan dan kebahagiaan. Kalau ada orang yang suka mempersendakan ajaran-ajaran agama, apatah lagi sesama agama, orang itu pasti belum sampai pada darjat bertakwa, sama halnya jika ada orang yang cuba mencari perbezaan orang dan menggunakan hakikat perbezaan itu sebagai senjata menyerang orang lain sehingga berlakunya bibit-bibit perpecahan umat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia  ialah orang yang bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat at-Tabrani)

Ada satu riwayat yang mengisahkan bahawa di antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda salih (Ashabul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing tertidur dengan kuasa Allah s.w.t.

Apabila seseorang beramal dengan amal salih ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun.

Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan baik yang dituntut  oleh Islam dan dihayati oleh semua manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Orang yang salih bukanlah dari kalangan manusia yang paling panjang sujudnya, bukan juga orang yang banyak kali mengerjakan haji, tetapi mereka adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal. Manusia yang ideal adalah manusia yang berhati tulus ikhlas dan berlidah lurus. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w: “Apa yang dimaksud dengan berhati tulus?” Nabi menjawab: “Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki.” Nabi ditanya lagi: “Sesudah itu siapa?” Kata Nabi, “Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat.” Nabi s.a.w ditanya lagi: “Sesudah itu apa lagi?” Baginda menjawab: “Mukmin yang berakhlak baik.”

Manakala manusia yang paling jahat pula ialah yang suka menyebarkan fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain.

Kemunafikan manusia hari ini jelas tergambar melalui pengakuan mereka sebagai pejuang Islam dan meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama serta merasai lebih alim daripada manusia lain, tetapi hakikatnya mereka jahil. Atas perbezaan ideologi yang disertai dengan kejahilan, telah menutup pintu hati dan pemikiran mereka sehingga berani membuat tuduhan kafir, munafik ke atas sesama Muslim. Malah mereka mengkhususkan ‘syurga’ hanya untuk puaknya dan ‘neraka’ untuk puak lain.

Pengucapan dua kalimah syahadah, ikhlas atau tidak bukanlah urusan manusia, ia adalah hak mutlak Allah s.w.t untuk menilainya. Begitu juga dosa dan pahala, Allah s.w.t boleh mengkadarkan berapa berat dosa seseorang akibat perbuatan dan tingkah lakunya. Berapa nilai pahala yang akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t terhadap kebaikan yang kita lakukan, dan bukannya ulama yang mempolitikkan agama yang berhak menentukannya. Allah s.w.t menjanjikan syurga kepada mereka yang mengerjakan kebaikan dan bukannya pemimpin berhak memberikan kedudukan tersebut atas dasar menyokong dan mengundi parti berkenaan.

Kita memerlukan setiap umat Islam tampil dengan wajah yang ramah dan penuh kasih sayang. Kita tidak memerlukan umat Islam yang terikat pada bentuk-bentuk lahiriah yang terlalu setia sehingga mengabaikan inti sebenar daripada ajaran Islam. Akibat terlalu setia, seakan-akan wujud pemimpin ‘separuh dewa’ yang dianggap bebas daripada melakukan kesalahan. Setiap perkataannya seolah-olah sempurna, walhal keterbatasan akal rasional telah menutup emosi dan jerat ketaksuban pengikut tegarnya.

Demikian juga apa yamg berlaku kepada sesetengah golongan apabila memberi syarahan agama yang bertujuan mengajak manusia dekat dengan agama, tetapi bentuk ceramah itu pula disirami dengan celaan, ejekan, kecaman dan jenaka dusta sehingga menjauhkan kecintaan orang ramai kepada agama.

Janganlah kita membangga diri dengan ilmu yang banyak dan tinggi sehingga meletakkan orang lain semuanya bodoh dan jahil. Janganlah kita takbur dan riak kerana bakal menimbulkan kerosakan di muka bumi ini, apabila ada segolongan manusia yang seagama menghulurkan tangan untuk bermaafan demi agama Islam yang murni, sambutlah dengan mesra dan penuh budi bahasa.

Orang yang mulia dan baik di sisi Allah s.w.t ialah mereka yang memulakan salam dan menghulurkan tangan pada saudaranya untuk berdamai. Manakala orang yang paling jahat adalah sebaliknya. Oleh hal yang demikian itu, golongan yang menolak tawaran berdamai adalah orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. Islam itu adalah agama yang meletakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian di atas segala-galanya. Agama tidak seharusnya digunakan sebagai senjata dan peluru hidup dalam perpecahan umat. Kita tidak mahu dunia ini hancur di tangan orang-orang yang hanya bijak berkata-kata dan memanipulasikan agama, kerana akhirnya sentimen kebencian dan sengketa bermaharajalela.

Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ”Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah mensia-siakan perbuatannya sepanjang kehidupan di dunia ini, sedangkan sangkaan mereka telah melakukan kebaikan.” (Al-Kahfi: 103-104)

Sesungguhnya dengan amalan yang salih akan membendung konflik dan sengketa. Ke mana lagi arah impian bersama?

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 21, 2009.

 
%d bloggers like this: